MUDAH naik angin antara simptom selain hilang minat dalam aktiviti biasa dilakukan.
Oleh Aida Adilah Mat


KEBANYAKAN wanita mungkin tidak berdepan sebarang masalah ketika datang bulan.

Namun, di sebalik perubahan hormon yang berlaku seiring kitaran haid wanita, ada lagi satu perubahan iaitu dari sudut emosi, psikologi dan mood yang tidak diundang dipanggil gangguan disforia prahaid (PMDD).

Tidak faham pada perubahan emosi yang dilalui wanita menyebabkan ada sesetengah lelaki menggunakan keadaan ini untuk melabel wanita dengan kata-kata yang tidak enak didengar.

Hakikatnya, tiada wanita yang meminta untuk mengalami perubahan emosi begini ketika haid kerana ia cukup memberi kesan kepada hidupan harian. Kalau boleh semua orang mahu tampil ceria dan bertenaga seperti hari lain.

Perubahan hormon yang menjejaskan kehidupan harian wanita ini biasanya dikaitkan dengan ketidakseimbangan hormon, tetapi keadaan sebenarnya tidak begitu.

Pada umumnya PMDD adalah gangguan yang jauh lebih parah daripada sindrom prahaid atau sebelum haid (PMS).

Biarpun PMDD dan PMS menunjukkan gejala fizikal dan perubahan emosi hampir sama, PMDD meninggalkan kesan lebih teruk sehingga pesakitnya tidak mampu melakukan apa-apa aktiviti seperti biasa.

Malah segelintir daripadanya akan bersikap di luar kawalan sehingga boleh menjejaskan hubungan dengan orang yang terdekat.

Pakar Psikiatri yang juga ahli MedTweetMY, Dr Ahmad Rostam Md Zin berkata, masih ramai wanita yang tidak tahu mengenai masalah ini menyebabkan kehidupan mereka terus terganggu.

Lebih teruk ada pihak menganggap mereka yang menghadapi PMDD ini sebagai wanita yang bermasalah dan perlu dielak.

Bagaimanapun, menurutnya, kefahaman terhadap masalah itu boleh memberi impak besar kepada wanita yang mengalami masalah ini. Malah secara tidak langsung kita boleh membantu golongan ini menjalani hidup secara sihat.

DR Rostam

Menjelaskan perkara itu, Dr Ahmad Rostam berkata, PMDD adalah masalah kesihatan mental yang berkaitan dengan kitaran haid.

PMDD berlaku pada kira-kira lima peratus wanita (dalam umur subur). Kebanyakan wanita yang mengalami PMDD juga cenderung berdepan masalah keresahan dan kemurungan.

“PMDD tidak sama dengan PMS biarpun simptom dan tanda masalah ini hampir serupa dengan masalah kesihatan mental yang lain seperti kemurungan, masalah kegelisahan dan gemuruh.

“Ia bukan disebabkan ketidakseimbangan hormon dan puncanya masih tidak dapat dipastikan secara tepat.

“Antara simptom PMDD ialah kemurungan, keresahan dan ketegangan, emosi yang berubah mendadak, mudah naik angin (marah), hilang minat dalam melakukan aktiviti biasa termasuklah perkara yang disukainya,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara kesan PMDD adalah kurang tenang, mudah penat serta perubahan selera makan dan tidur. Wanita yang mengalami masalah ini juga boleh mengalami sakit buah dada, sendi atau otot selain perut kembung dan kenaikan berat badan.

“Simptom ini akan bermula seminggu atau dua minggu sebelum haid yang berakhir beberapa hari selepas haid.

“Bagaimanapun, untuk mengesahkan seseorang wanita itu mengalami PMDD bukanlah mudah. Antara kriteria wajib ada untuk dikelaskan mengalami PMDD adalah seseorang wanita itu mestilah ada sekurang-kurangnya lima simptom, gangguan ini mestilah berlaku atau disahkan selama dua kitaran haid berturut-turut dan dalam majoriti kitaran haid dalam setahun.

“Walaupun ia berlaku ketika haid tetapi masalah ini boleh mengganggu fungsi harian individu itu termasuk pekerjaan, sosial dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Rostam berkata, apa yang dijelaskan dalam artikel ini masih tidak cukup untuk anda membuat diagnosis sendiri kepada PMDD meskipun anda berasakan mengalami gejala seperti disenaraikan.

Anda perlu mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat dari doktor anda untuk dapatkan penilaian menyeluruh agar tidak masalah lain yang serius.

Masalah PMDD boleh dirawat dengan ubat antikemurungan, pil perancang dan melalui pengurusan tekanan seperti teknik bertenang. Malah melakukan aktiviti yang disukai juga boleh membantu wanita menangani perkara ini.

Pada masa sama, amalkan gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan membuat perubahan dari segi pengambilan makanan. Pilih sajian sihat, kurangkan penggunaan garam dan gula dalam masakan. Sebaiknya, kurangkan juga makanan manis dan masin walaupun ia adalah sajian kegemaran anda. Semua faktor ini boleh membantu mengurangkan simptom PMDD.

Bagaimanapun jika anda berasakan simptom yang dilalui agak ‘berat’, segeralah bertemu doktor supaya rawatan sewajarnya boleh diberikan. Jangan berlengah kerana ia bukan saja boleh menjejaskan prestasi kerja malah tidak mustahil akan mengancam hubungan anda dengan pasangan, anak dan ahli keluarga yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:20 AM