TEKUN menyediakan hidangan pada hari pertandingan.
Oleh Balqis Jazimah Zahari


“DAPUR ibu membuatkan saya jatuh cinta dengan dunia masakan,” kata Siti Nurliana Muhamad Nazri, 15. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura, Dungun, Terengganu itu bersama rakannya, Wan Najmiatul Fadhilah Wan Zailany, 15, dinobatkan johan dalam Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan anjuran MAGGI ®(MSSCC) 2019 yang berlangsung di Aeon Kinta City di Ipoh, baru-baru ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap bidang sukan tidak menghalangnya menceburi bidang masakan sebagai hobi.

“Saya aktif dalam sukan berbasikal BMX dan bercita-cita menjadi atlet disegani suatu hari nanti, tetapi ia tidak bermakna saya meninggalkan minat terhadap bidang masakan.

“Ibu menjadi inspirasi saya untuk membuat sesuatu yang diidamkan dan saya memilih kedua-dua bidang iaitu sukan dan mencipta resipi terbaik untuk dinikmati semua orang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program berkenaan di MH Hotel di Ipoh.

Siti Nurliana berkata, ibunya bekerja di kedai makan dan Terengganu sendiri kaya dengan pelbagai jenis makanan, membuatkan dia mendapat banyak pendedahan mengenai makanan yang setakat ini sudah mempelajari sekurang-kurangnya lima resipi.

HIDANGAN juara yang unik dan istimewa

Menurutnya, program MSSCC yang disertai itu membuka ruang dan peluang kepada remaja terutama pelajar sekolah mengembangkan bakat dalam bidang masakan.

Rakan sepasukannya, Wan Najmiatul Fadhilah pula berkata, ilmu memasak yang dipelajari menambahkan keyakinannya untuk berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

“Setiap menu yang dipelajari itu sangat berharga dan bagi saya memasak satu kemahiran jangka masa panjang,” katanya.

Menurutnya, pertandingan memasak itu landasan kepada cef muda seperti mereka untuk berfikiran kreatif dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu idea yang baru.

“Cabaran kotak misteri agak sukar dan mencabar kerana kita tidak menjangkakan bahan apa yang perlu digunakan dan kerjasama dalam pertandingan itu membuatkan kami dapat menghasilkan satu masakan yang di luar jangkaan.

“Kami juga mempelajari konsep ‘suku, suku, separuh’ yang menekankan amalan pemakanan sihat dalam setiap jenis masakan yang dihidangkan,” katanya.

Sementara itu, guru pengiring mereka, Azlina Arshad berkata, isu pembaziran makanan yang serius dalam negara menjadi sumber inspirasinya untuk mengerakkan dan memimpin cef muda di sekolah.

“Mengikut statistik, sebanyak 16,000 tan makanan yang dibazirkan oleh rakyat di negara ini dan isi rumah menjadi penyumbang terbesar iaitu 38 peratus.

“Jadi bermula dari situ, ia menjadi sumber inspirasi untuk saya membimbing pelajar sejak di bangku sekolah lagi agar mereka berubah dan lebihan makanan yang ada di rumah itu boleh diubah kepada sesuatu yang baharu,” katanya.

Katanya, dia berhasrat memimpin generasi muda khususnya wanita untuk membentuk pembangunan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.

DARI kiri: Siti Norliana, Azlina dan Wan Najmiatul Fadhilah bersama hadiah kemenangan.

“Saya akan menerapkan nilai murni dan inovasi dalam makanan terhadap pelajar, contohnya lebihan buah dan kuah asam pedas jangan dibuang kerana boleh ditambah tepung untuk dijadikan sos bagi dicicahkan dengan cucur,” katanya.

Azlina berkata, dia memang minat memasak sejak kecil dan mengambil kursus memasak di universiti. Kini dia menjadi guru Sains Rumah Tangga kepada pelajar tingkatan 4 dan 5.

Katanya, dia juga aktif memasuki pertandingan memasak ketika di institusi pengajian tinggi selain turut mengikuti pelbagai program dan pertandingan di peringkat kawasan dan persatuan.

“Saya pernah sertai pertandingan memasak inovasi peringkat kebangsaan anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya buat biskut daripada biji rambutan dan berjaya menjadi juara.

“Saya juga bertanding di peringkat sama menghasilkan produk inovasi nasi ayam segera dan mendapat tempat ketiga,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pengalaman yang ditimba ketika menceburi pertandingan memasak mahu dikongsi dengan pelajar.

Azlina berkata, kemahiran dan minat yang ditonjolkan pelajar itu turut membuat dia berkobar-kobar untuk mengembangkan bakat cef muda di sekolahnya ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka berminat dan tahu memasak. Saya cuba membawa pelajar ini menyertai pertandingan untuk mendapat lebih pendedahan.

“Kami juga mengadakan pertandingan memasak di sekolah. Saya mahu mereka menggunakan kemahiran yang ada untuk dikembangkan pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, selari dengan misinya mahu melahirkan cef muda berinovasi, program MSSCC dalam mengembangkan bakat pelajar menghasilkan produk inovasi makanan yang sihat juga tepat pada masanya.

“Dalam pertandingan ini pasukan kami memasak sata yang kebiasaannya dibungkus dengan daun pisang namun diubah suai kepada sata udang lilit berserta sos masak lemak cili padi sebagai menu utama.

“Menu lain yang kami sajikan adalah pasembor kuah cakni pudina dan koleh lemak sayur-sayuran. Semua menu ini diolah daripada gabungan masakan Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.

Bagi merangsang pemikiran kreatif pelajar, Azlina berkata, dia sentiasa mengingatkan pasukannya agar setiap resipi yang diubahsuai perlu menjadi lain daripada kebiasaan.

“Saya juga menggalakkan mereka menggunakan bahan lebih sihat, seperti menggantikan santan dengan susu, asam digantikan dengan yogurt dan masakan yang kebiasaannya bergoreng pula dikukus,” katanya.

Hasil kerjasama pasukan dalam menghasilkan pengolahan resipi yang begitu unik berjaya menarik perhatian juri dan seterusnya merangkul gelaran juara dengan menerima piala MSSCC dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:00 AM