REMAJA perlu bina keyakinan diri tangani ancaman buli.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


ISU buli dalam kalangan remaja tidak pernah berkurang, bahkan semakin merisaukan banyak pihak. Biarpun pelbagai garis panduan, peringatan dan nasihat dihimpunkan menerusi media massa, penyelesaian gejala sosial ini masih kabur.

Menyorot kembali kes buli yang hangat diperkatakan September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar sekolah berkenaan yang menjadi mangsa buli pada 2015.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan difailkan plaintif yang ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, pada 2 April 2017.

Dalam penghakimannya, Zainal Azman berkata, kejadian buli pada pada 26 April 2015 membabitkan plaintif yang ketika itu berusia 14 tahun menampakkan kecuaian pihak sekolah dan seperti dirancang kerana ia berlaku di bilik asrama ketua pengawas.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menangani isu buli di sekolah selepas ini? Ibu bapa sememangnya individu yang wajib memantau perlakuan, adab dan pergerakan anak. Malangnya mereka tidak dapat bersama anak 24 jam sehari.

ZAID

Kata Pakar Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, ramai tidak sedar kejadian buli dalam kalangan remaja boleh berlaku sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

“Buli adalah penyalahgunaan kuasa oleh individu kuat terhadap yang lemah. Ia juga disebut sebagai satu bentuk penguasaan seseorang kepada orang lain.

“Lazimnya dalam buli, satu pihak akan berasa menang dan satu pihak lagi tertekan kerana tidak mampu mengelak atau mempertahankan diri. Mereka yang menjadi mangsa akan berasa seolah-olah terperangkap dengan suasana dicipta pembuli.

“Persoalannya kenapa remaja dan kanak-kanak cenderung membuli? Inilah yang perlu menjadi fokus dalam mengawal, sekali gus menyelesaikan isu buli,” katanya.

SEBAB BERLAKUNYA BULI

Ada beberapa sebab kenapa kanak-kanak membuli. Ia boleh berlaku sama ada secara sedar atau tidak bahawa mereka sebenarnya sedang membuli orang lain.

1. Buli tidak sengaja

- Kebanyakan kes berlaku kerana terbiasa dengan keadaan seperti itu. Mungkin di rumah sendiri, ibu bapa membuli anak secara tidak sengaja. Ibu bapa mengarah anak melakukan itu dan ini, menyalahkan anak dalam pelbagai situasi sehingga membuatkan mereka berasa terperangkap.

- Dalam keluarga, ibu bapa mempunyai kuasa. Apabila kuasa disalah guna untuk mengambil kesempatan atau mendapatkan kelebihan, mereka secara tidak sengaja mengajar anak menjadi pembuli.

- Apabila anak ke sekolah dan melihat suasana serta peluang yang ada untuk mereka menggunakan orang yang lemah demi kepentingan diri, maka terjadilah buli secara tidak sengaja.

2. Sengaja buli

- Besar kemungkinan anak dalam keadaan kecewa ataupun tertekan di rumah. Jadi, untuk melepaskan tekanan dan menunjukkan kuasa, mereka mencari mangsa yang dilihat tidak mampu melawan semula. Inilah yang kerap mendorong buli secara sengaja.

ELAKKAN hanya menjadi penonton kegiatan buli.

Berikutan itu kata Zaid, contoh dan peranan ibu bapa dilihat menjadi aspek kritikal dalam menangani kes buli, tidak kira sama ada anak mereka mangsa atau pemangsa.

“Kita boleh lihat perubahan perilaku kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa buli. Biasanya mereka tertekan, terperangkap dan takut untuk meluahkan, apalagi melapor kes buli yang dialami.

“Kadang-kadang, ada juga yang langsung tidak perasan diri dibuli. Jadi, ibu bapa perlu peka melihat tanda fizikal dan emosi. Kalau anak selalu beri alasan tidak mahu ke sekolah. Itu tidak normal. Kemungkinan mereka ada masalah di sekolah. Untuk remaja berterus terang mengenai situasi dihadapi bergantung kepada tahap hubungan mereka dengan ibu bapa. Jika baik, mungkin mereka tidak takut.

“Tetapi dalam masyarakat kini ada ibu bapa yang suka menidakkan pendapat anak. Apabila anak mengadu, mereka kata itu semua biasa, awan bergurau memang begitu dan sebagainya. Ini membuatkan anak hilang tempat mengadu dan akhirnya memendam sehingga keadaan menjadi parah,” katanya.

REMAJA PERLU RASIONAL

Sebagai remaja yang membesar dalam teknologi moden, kelompok ini seharusnya semakin bijak berfikir, menimbang kesan baik dan buruk tindakan sebelum membuat keputusan.

Jauhi buli tidak kira sama ada secara fizikal, lisan, berkait hubungan mahupun buli siber yang kini semakin berleluasa di alam maya.

Ketahuilah bahawa buli bukan saja boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal, emosi dan kehidupan mangsa, bahkan turut menjejaskan masa depan diri.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi portal MyHealth menjelaskan kajian menunjukkan mangsa buli cenderung untuk berasa tertekan, sunyi dan cemas, mempunyai harga diri yang rendah, mengalami sakit kepala, sakit perut, keletihan serta kurang selera makan.

Dalam sesetengah kes, mangsa enggan ke sekolah, tidak suka sekolah dan mempunyai prestasi pembelajaran yang teruk. Paling membimbangkan, ada yang berfikir untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri.

Jadi, apa yang boleh remaja lakukan untuk menghentikan buli?

1. Elakkan menjadi penonton kegiatan buli

2. Jangan ikut orang ramai

3. Jangan ketawa semasa seseorang itu sedang di buli

4. Jangan babitkan diri dalam gosip

5. Elakkan buli siber untuk menyakiti seseorang

6. Keluar daripada kegiatan buli dan pergi dapatkan bantuan

7. Ketahui kualiti dan kekuatan diri

TIP MENGELAK DIBULI

1. Berkeyakinan diri

Pembuli suka membuli insan yang lemah dan tidak akan melawan. Ingat, pembuli hanya akan mengulangi membuli jika mereka fikir boleh meneruskan kegiatannya.

2. Bina kekuatan diri

Jangan tunjukkan reaksi perasaan anda kepada pembuli. Pastinya buli itu menyakitkan, tetapi pembuli akan mendapat kepuasan jika mereka tahu tindakannya berjaya menyakiti perasaan seseorang.

3. Cuba abaikan pembuli

Jika anda tidak boleh mengabaikan mereka, cuba untuk bersetuju dengan mereka (pembuli tidak akan mendapat kepuasan jika anda bersetuju dengan mereka)

4. Percaya kepada diri sendiri

Apa yang berlaku bukan salah anda dan tiada siapa patut dibuli. Anggaplah apa yang pembuli ucapkan sebagai gurauan tidak matang supaya ia tidak mengganggu perasaan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:10 AM