FARZANA
Siti Zarinah Sahib


VIDEO gadis ini terjatuh ketika beraksi di pentas peragaan untuk satu acara pertandingan pernah menjadi tular di media sosial. Namun ketika acara berlangsung dia bangkit penuh bersahaja dan terus menghabiskan hayunan langkahnya sehingga selesai acara.

Bertitik tolak daripada itu, pemilik nama Farzana Zainul Abidin, 22, ini mula menjadi perhatian netizen. Malah ada yang menzahirkan kekaguman di atas keyakinan tinggi yang ditunjukkan gadis manis ini.

Menurut Farzana, apa yang diperkatakan orang ramai di dalam videonya itu langsung tidak menjadi ‘kudis’, malah dia tebal muka menjawab semula persoalan kerana bagi gadis kelahiran Johor Bahru ini, peristiwa itu dianggap sebagai pengalaman berharga.

“Sebenarnya memang ada rasa malu, namun saya perlu profesional dan meneruskan baki pertunjukan fesyen. Apa yang berlaku tidak meninggalkan kesan pun. Malah ia amat berharga dan mengajar saya bagaimana berhadapan situasi cemas di hadapan penonton,” katanya tersenyum.

Melihat susuk tubuh dan penampilannya, benarlah pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) ini sememangnya seorang yang kental serta kuat semangat.

Buktinya ketika masih menuntut pelbagai aktiviti disertai bagi memantapkan keterampilan diri. Dia sedar dunia kampus sewajarnya digunakan untuk mengasah bakat, mengeluarkan kreativiti dan kepemimpinan sebagai persediaan menuju alam pekerjaan.

“Sejak zaman sekolah saya memang aktif dalam sukan badminton sehingga berjaya mewakili daerah. Saya juga suka menari terutama tarian tradisional dan pernah mewakili Johor dalam tarian,” katanya.

Menjadikan kakak sebagai idola, ujar Farzana, dia terkesan dengan kejayaan kakaknya yang berjaya membahagikan masa di antara pelajaran dan tarian.

Tidak mahu membuang masa dengan perkara tidak berfaedah, sebaik ditawarkan menyambung pengajian di UM dia terus menghadiri uji bakat dan diterima sebagai penari kesenian (Feseni UM).

“Selain menyertai pelbagai aktiviti membabitkan seni tari peringkat universiti saya turut mengikuti kumpulan tarian terkenal, Nyala Group yang banyak dijemput untuk acara berprestij seperti Sukan Sea serta program di televisyen.

“Menerusi Nyala saya berpeluang beraksi ketika acara pembukaan Sukan SEA di Kuala Lumpur dan ia satu pengalaman yang sangat berharga,” katanya.

LIUK lentok seni tari Farzana yang pernah mewakili Johor dalam bidang tarian ketika

BIJAK BAHAGI MASA

Mengakui perlu membahagikan masa di antara pelajaran dan tarian, kata Farzana, ketika mula-mula menyertai Feseni UM pelajarannya agak terganggu. Memikirkan keutamaan adalah pelajaran, namun tidak mahu meminggirkan kokurikulum dia mula membuat jadual belajar.

Ketika itu dia juga sudah memanjangkan bakat kepada iklan komersial televisyen, pertunjukan fesyen dan menyertai pelbagai pertandingan seni yang lain.

“Memang jadual harian sangat padat kerana saya mahu mengejar semua perkara dalam satu masa. Tetapi akhirnya saya perlu mengutamakan pelajaran dan melupakan penggambaran jika jadualnya sama dengan kelas,” katanya.

Menurut Farzana, biarpun ada kala bagaikan tidak cukup masa, dia percaya apa yang dilakukan sekarang adalah persediaan untuk masa akan datang. Dalam dunia yang serba mencabar setiap individu harus mahir dalam pelbagai bidang.

“Sekarang bukan masa untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran semata-mata sebaliknya kemahiran sangat dinilai. Sejak menyertai pertandingan dan model iklan saya menjadi lebih berkeyakinan dan mahir berkomunikasi.

“Inilah yang diperlukan dalam dunia pekerjaan sebenar iaitu kemahiran berkomunikasi dan bagaimana berhadapan dengan khalayak,” katanya yang meminati cabang matematik dan perakaunan sebagai kerjaya masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:10 AM