KANAK-KANAK disiram menggunakan khidmat bomba sebelum berkhatan dijalankan.
KANAK-KANAK disiram menggunakan khidmat bomba sebelum berkhatan dijalankan.
Siti Zarinah Sahib


“TAK adalah sakit sangat bersunat ni, tahun depan pun saya boleh datang bersunat kali kedua,” itu antara komentar lucu yang menggelikan hati petugas di pekarangan Maahad Muhammadi, Pasir Mas, Sabtu lalu.

Gaya tenang Muhammad Adib Fakhrurazi, 10, memudahkan urusan petugas kesihatan daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).

Ibu kepada Muhammad Adib, Fatimah berkata, dia tidak menyangka proses khatan anaknya berjalan lancar tanpa sebarang tangisan kerana situasi ini jauh berbeza dengan abang kandungnya sebelum ini.

“Dia teruja mahu bersunat kerana ingin bersama rakan sekolah membuat persiapan yang sama. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, dia tidak menangis langsung, cuma menahan sakit semasa petugas menyuntik ubat bius,” kata Fatimah.

Bagi Mat Hussin Sarip, 45, yang membawa anak ketiganya berkhatan di situ turut teruja kerana peluang itu dapat meringankan bebanan keluarga.

Memandangkan musim persekolahan akan bermula tidak lama lagi, persiapan membeli kelengkapan sekolah memerlukan kos yang banyak.

PETUGAS daripada Papisma bergambar selepas upacara selesai.
PETUGAS daripada Papisma bergambar selepas upacara selesai.

“Sebelum ini, saya bertanya beberapa klinik untuk mendapatkan kos berkhatan ini cuma disebabkan kurang mampu, saya teruskan rancangan asal untuk Adib berkhatan beramai-ramai dengan kawannya di kawasan ini.

“Secara umumnya kos berkhatan kira-kira RM200 dan alhamdulillah melalui program Khatan

Nusantara ini saya hanya perlu bayar RM80. Sekurang-kurangnya baki wang dapat digunakan untuk membuat persiapan membeli barangan sekolah,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Program Khatan Nusantara 2019, Dr Haniif Ahmad Mazian, program itu membabitkan keseluruhan ahli Papisma dari seluruh negara.

Lokasi terpilih bukan saja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, malah sehingga ke Vietnam, Kemboja serta Filipina. Ia membawa gagasan Nusantara, menjangkau saudara seakidah yang memerlukan bantuan dan kepakaran, khususnya dalam ibadat khatan.

Katanya, sumbangan dan suntikan dana bagi program ini diterima daripada pelbagai pihak. Ia membabitkan sembilan lokasi dalam masa tiga hari. Anak asnaf di pedalaman Sabah disantuni dan dikhatankan bagi menyempurnakan ibadat.

Di Kelantan, tahun ini empat lokasi dijadikan pilihan dan dijalankan setiap Sabtu selama empat minggu berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:00 AM