RAMA menduduki tempat ke-39 daripada 442 peserta dalam Kategori Terbuka Lelaki.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MELANGKAUI rutin harian menghantar piza kepada pelanggan, penghantar Domino’s Pizza menunjukkan kepantasan dan keazaman mereka ketika menakluki Larian Menara Antarabangsa 2019 Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) pertama baru-baru ini.

Empat ‘Abang Domino’s’ menyahut cabaran pendakian ketinggian 200 meter dengan 54 tingkat dan sejumlah 1,296 anak tangga menara TM, Kuala Lumpur.

Penghantar Domino’s Pizza dan atlet J Ramachandran yang dikenali sebagai Abang Domino’s Rama, mencatatkan masa terbaiknya dalam masa 10 minit 24 saat dan menduduki tempat ke-39 daripada 442 peserta dalam Kategori Terbuka Lelaki.

Muhammad Luqman Hakim, yang dikenali sebagai Abang Domino’s Man pula menduduki tempat ke-135, mencatatkan masa terbaiknya selama 13 minit 58 saat.

Pelari separa maraton, Mohd Zulkarnain yang dikenali sebagai Abang Domino’s Ezzu menyempurnakan larian dalam masa 14 minit 29 saat manakala Hafiz Adnan yang dikenali sebagai Abang Domino’s Apis pula mencatat masa terbaiknya pada 23 minit 47 saat.

Ramachandran berkata, peluang mengambil bahagian dalam larian menara pertama adalah pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan buatnya malah ia lebih bermakna kerana turut disertai rakan sekerjanya.

Katanya, tugas harian menghantar piza memerlukan mereka untuk sentiasa pantas dan aktif sebagai sebahagian daripada gaya hidup semasa melaksanakan tugas dalam memberikan perkhidmatan yang baik dan cepat kepada pelanggan.

“Semasa berlari dengan beg penghantaran termal piza, kami membayangkan ia seolah-olah sedang menghantar piza kepada pelanggan.

“Ia sekali gus membuatkan kami dapat mengekalkan momentum ketika berlari menaiki anak tangga untuk sampai ke penamat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Pemasaran, Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura Linda Hassan berkata, pihaknya berbangga kerana mempunyai pelumba sebagai sebahagian daripada larian ini, lanjutan gaya hidup mereka yang sangat aktif.

Katanya, larian adalah sukan yang hebat dan larian menara khususnya adalah sesuatu yang boleh dikaitkan dengan penghantar piza kerana kadang-kadang mereka juga perlu menaiki tangga untuk menghantar piza kepada pelanggan.

“Penyertaan pasukan ini dan catatan masa yang hebat menunjukkan semangat, ketangkasan dan kesungguhan mereka. Kami percaya ini diterjemahkan dengan tenaga positif dan kualiti perkhidmatan ketika penghantaran dibuat kepada pelanggan,” katanya.

ANTARA peserta dari Domino’s Pizza yang menyahut cabaran larian menara.

Manfaat menaiki tangga

Menaiki tangga kini menjadi senaman urban yang semakin diminati penduduk kota seluruh dunia. Tidak hairanlah jika Abang Domino’s turut teruja menyertainya. Ia adalah senaman unik yang memberi kesan besar dan positif kepada kesihatan secara keseluruhannya jika diamalkan setiap hari.

Kajian sains menunjukkan aktiviti fizikal yang dilakukan setiap hari seperti berjalan pantas dan menaiki tangga mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan tahap kesihatan seseorang.

Malah pakar perubatan dan kesihatan turut menyarankan kita menggunakan tangga berbanding lif kerana manfaatnya. Antaranya adalah:

• Menaiki tangga boleh merendahkan risiko kematian awal akibat penyakit gaya hidup sebanyak 33 peratus.

• Menaiki tangga selama tujuh minit sehari boleh mengurangkan 50 peratus risiko serangan jantung selama 10 tahun.

• Menambah dua minit untuk tempoh anda menaiki tangga setiap hari boleh membantu mencegah pertambahan berat badan khususnya dalam kalangan pertengahan umur sama ada lelaki atau wanita khususnya selepas menjengah gerbang usia 40 tahun.

• Menaiki tangga juga memberi kesan positif kepada kesihatan jantung kerana ia dikelaskan sebagai ‘senaman lasak’ yang membakar lebih banyak kalori dalam seminit berbanding berjoging.

Justeru, jika masa bersenam agak terhad, jadikan aktiviti menaiki tangga sebagai rutin untuk mengawal berat badan yang pada masa sama membantu menguatkan tulang dan otot serta menambah stamina.

• Menaiki tangga membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan sesetengah jenis kanser.

• Malah menaiki tangga juga adalah senaman yang baik untuk tulang dan otot. Ia membantu meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang serta membentuk otot. Ini sangat penting bagi wanita yang mempunyai kerjaya sedentari (kurang bergerak) kerana mereka lebih berisiko mengalami masalah osteoporosis.

EMPAT Abang Domino’s dengan pingat penamat masing-masing.

Jadikan latihan peribadi

Selain berjalan cepat, menaiki tangga adalah senaman yang paling mudah dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Tiada sebarang peralatan tambahan diperlukan, cuma sepasang kasut yang selesa.

Malah, dalam corak perumahan sekarang (rumah bertingkat dan pangsapuri), ‘trek’ senaman ini tersedia di depan mata kita. Jadi, tiada lagi alasan untuk tidak bersenam kerana semua kemudahan ada di sekeliling kita untuk dimanfaatkan pada bila-bila masa.

Kini aktiviti menaiki tangga semakin popular khususnya dalam kalangan penduduk b

andar kerana kebanyakannya menghabiskan banyak masa dalam bangunan. Kita juga boleh menyertai mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan asas yang ada di sekeliling kita.

Malah tidak keterlaluan untuk kita menjadikan aktiviti ini sebagai latihan kecergasan peribadi kerana:

• Ia tidak memerlukan skil atau latihan khas.

• Ia membolehkan kita menggunakan masa dengan cekap. Contohnya menaiki tangga apabila berada di stesen LRT, MRT atau di pejabat jika mahu ke aras lain.

• Membolehkan kita menggunakan kemudahan yang ada di sekeliling tanpa kos.

• Mulakan dengan satu aras bangunan dan tambahkan cabaran dengan menaiki lebih banyak anak tangga secara berperingkat.

• Tidak perlukan pakaian khas untuk bersenam kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja walaupun dengan pakaian kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:00 AM