AZLIANA tekun mencurah ilmu.
Siti Nadirah Hafidzin

MENGENALI wanita berwajah manis ini sungguh mengujakan, bukan saja cantik malah memiliki personaliti dan aura luar biasa sebagai wanita inspirasi.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga bijak mengatur kata, setiap bait-bait ayat diungkap penuh makna terutama kepada wanita yang masih samar mencari arah kejayaan.

Berkecimpung dalam bidang kecantikan dan estetik sejak lebih enam tahun lalu membuatkan dirinya kini berjaya menyimpan seribu satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli.

Bagi Azliana Yusof, tidak bermakna setiap ilmu dan pengalaman jika yang tidak dikongsi bersama. Lantas wanita ini tekad mencari ruang dan peluang untuk membantu wanita lain terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

Atas niat murni itu, wanita inspirasi ini tekad berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam bidang kecantikan melalui kelas kecantikan yang dijalankan secara percuma kepada individu kurang berkemampuan bermula tahun ini.

AZLIANA menjalankan program amal secara percuma.

“Tercetusnya hasrat ini apabila saya sendiri melihat ramai golongan wanita hidup susah kerana terpaksa bergantung harap kepada pendapatan suami. Saya mula terfikir bagaimana kaedah terbaik untuk saya membantu mereka melalui ilmu yang saya ada.

“Berbekalkan niat itu, saya kemudian bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jawatankuasa Kebajikan Penduduk (JKKP) di Puchong untuk memulakan program amal ini. Objektif saya mudah, saya mahu mencurahkan ilmu dalam bidang kecantikan supaya mereka dapat memulakan perniagaan sendiri kelak,” katanya.

Menurut Azliana yang mengusahakan BelleNina Spa, dia yang berharap apa yang diimpikan itu berjalan dengan lancar meminta JKKP kawasan untuk mengenal pasti wanita yang benar-benar layak untuk menerima bantuan kelas percuma ini.

“Apa yang penting wanita itu mahu belajar, tidak mudah berputus asa dan paling utama jangan berhenti separuh jalan. Saya akan gunakan semua ilmu dan kemahiran dalam bidang kecantikan untuk diberikan secara percuma.

“Sasaran kami adalah memastikan sifar miskin bandar di kawasan ini sekali gus membantu menaikkan taraf hidup mana-mana keluarga kurang berkemampuan terutama dalam kalangan wanita,” ujarnya.

Tambahnya, dalam masa sama, kerjasama amal dijalankan itu juga membuka peluang kepada wanita untuk membuat pinjaman kewangan daripada AIM untuk memulakan perniagaan.

“Jika semua kriteria lulus, saya sendiri akan turun padang mengenal pasti wanita yang layak sebelum mereka memulakan kelas percuma itu. Seperti yang saya sering ingatkan, paling utama perlu rajin dan jaga disiplin diri.

“Syukur untuk permulaan tahun baru ini, kami berjaya mengenal pasti calon-calon yang layak,” katanya.

Berkongsi kejayaan

Bagi Azliana, kelas kecantikan percuma dijalankan itu juga mengikut semua kriteria serta silibus estetik yang membolehkan golongan itu mampu memulakan perniagaan sendiri.

“Jika kurang minat boleh cuba pupuk, apa yang penting adalah ilmu kerana ia sangat penting untuk mengubah masa depan.

“Wanita era kini tidak lagi seperti dulu yang hanya duduk di rumah. Keadaan ekonomi masa kini sangat memerlukan kaum hawa keluar membantu suami mencari rezeki,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengingatkan supaya lebih ramai wanita rajin menambah ilmu serta kemahiran bagi mencari peluang rezeki.

“Jika tidak bekerja sepenuh masa boleh jadikan ia sebagai kerjaya sampingan, bidang kecantikan kini sangat luas terutama spa bergerak kerana anda boleh melakukannya di rumah pelanggan di sekitar kediaman
anda.

“Servis yang diberikan juga perlu setimpal dengan bayaran. Percayalah sesiapa saja boleh berjaya dalam bidang ini asalkan rajin dan terus rajin,” ujarnya.

Menurut Azliana, selain mencurah ilmu dia juga berkongsi nasihat serta pengalaman supaya setiap wanita yang dibimbing bersedia berdepan pelbagai kerenah pelanggan juga cabaran dalam bidang diceburi.

“Saya seronok melihat ada insan gembira menerima ilmu, saya juga puas tatkala wanita dibantu mampu mengubah nasib hidup sendiri terutama jika
sudah mempunyai anak.

“Semua ini sangat bermakna dalam hidup saya, selain aktif menjalankan perusahaan dalam bidang ini saya juga sangat berhasrat untuk berdiri sama tinggi dengan anak didik yang dibantu pada masa akan datang,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:05 AM