SUHAIDA yakin dalam persalinan putih. FOTO Aziah Azmee & Ihsan
Nurul Husna Mahmud


Persepsi masyarakat mengenai ‘cantik’ biasanya dibayangi dengan gambaran susuk wanita yang kurus, potongan ramping, berkaki panjang dan berleher jinjang.

Apatah lagi wanita di luar sana sering dipandang sinis jika memiliki ‘plus size’ selain digambarkan kurang menarik.

Tidak hairanlah bayangan imej diberikan mengenai pilihan gaya dan fesyen bagi golongan ini sering kali menampilkan tona warna gelap, suram dan tidak memiliki sebarang potongan langsung.

Atas sebab itu pemenang gelaran ‘MRS Embodiment’ dalam pertandingan ratu cantik MRS Malaysia World 2019 lalu, Nur Suhaida Suhaimi memulakan kempen ‘Pretty In Plus’ untuk memberi persepsi bahawa golongan ‘berisi’ ini cantik dalam apa juga keadaan.

Dalam kempen ini guru berusia 41 tahun itu yang mesra dengan panggilan Lily, memulakan dengan mengumpul kenalan terdiri daripada semua model atau ratu berbadan besar, kemudian memadankan mereka dengan busana serba putih.

Katanya, ini langkah pertama yang penting untuk membuka mata masyarakat bahawa wanita bertubuh besar masih cantik meskipun mengenakan pakaian berwarna putih.

KETIKA dinobatkan sebagai ratu embodiment. FOTO Aziah Azmee & Ihsan

“Kebanyakan orang mengatakan putih tidak sesuai untuk wanita gemuk, pada saya kenapa tidak, ia hanya warna. Malah sebelum saya mula projek ini, sudah ada dalam kalangan pereka fesyen sendiri menasihati saya elak guna warna putih.

“Ditambah pula kebimbangan kenalan model yang beranggapan mereka akan nampak lebih gemuk dengan fabrik berwarna itu.

“Pada fikiran saya begini sahaja, saya ini sememangnya gemuk dan boleh terima hakikat itu. Tetapi saya sukakan warna putih dan mempunyai minat mendalam terhadap fesyen.

“Jadi saya cuba ciptakan keajaiban menerusi pengalaman dan cita rasa fesyen sendiri, lalu digunakan ketika mereka bentuk potongan busana sesuai dengan warna putih bagi setiap model terbabit dalam kempen ini.

“Hasilnya memang memuaskan sebaik sahaja selesai rakaman untuk poster dan publisiti, kami meneliti semua gambar dan mereka nampak cantik dalam pakaian masing-masing.

“Paling penting mereka terima atau positif terhadap tubuh sendiri sekali gus membina keyakinan dan secara semula jadi kecantikan itu akan menonjol,” katanya.

KELUARGA banyak memberi sokongan terhadap kerja komuniti

Mengenai pengalaman sendiri kata Nur Suhaida, minatnya terhadap fesyen sudah bermula sejak zaman remaja lagi.

Dia lahir dalam keluarga genetik bertubuh besar dan ketika menyertai pertandingan ratu cantik tahun lalu beratnya mencecah 90 kilogram dengan hanya ketinggian 162 sentimeter. Dalam kalangan peserta pertandingan itu, dia ratu paling berisi dan pendek berbanding lain-lain.

“Saya masih ingat ketika di tingkatan dua, saya teringin menggayakan ‘overall’ disebabkan minat dengan ‘trend’ artis zaman itu iaitu kumpulan Feminin yang tampil dengan gaya sama. Jadi saya pergi ke butik pakaian tetapi tiada saiz sesuai untuk bahagian normal.

“Ketika itu tidak pula rasa malu sebaliknya fokus saya mahu melaram. Pendek kata saya tidak pernah rasa kecil hati atau termakan sindiran orang disebabkan memiliki tubuh gemuk. Sebaliknya saya akan beri teladan untuk orang terima perbezaan yang ada pada orang lain,” katanya menyimpan harapan lebih ramai selebriti serta ikon tempatan turut memberi sokongan dalam kempen berkenaan.

Satu lagi pencapaian menakjubkan mengenai wanita kelahiran Ipoh itu ialah dia masih sempat mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia dalam Pendidikan Lanjutan.

Sedangkan rutin harian sudah sibuk dengan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang Kepong Kuala Lumpur selain aktiviti hujung minggu sebagai aktivis dan perunding fesyen kepada golongan ‘comel’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:15 AM