X
MASYARAKAT perlu peka sekiranya keganasan rumah tangga berlaku di sekeliling mereka.
MASYARAKAT perlu peka sekiranya keganasan rumah tangga berlaku di sekeliling mereka.
Hafiz Ithnin

“SAYA suka ‘bunga merah’ yang di ‘post’ di FB,” mungkin boleh menjadi kod rahsia mangsa keganasan rumah tangga (KRT) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Penggunaan kod rahsia seperti itu boleh membantu masyarakat untuk memaklumkan kepada pihak ketiga yang lebih luas bagi membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai KRT yang berlaku dalam masyarakat,” kongsi Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (Kanita), Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Noraida Endut.

Beliau turut melihat keadaan terkurung menyebabkan pergerakan mangsa terhad untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, penggunaan teknologi yang luas ketika ini boleh dijadikan saluran untuk membantu individu yang menjadi mangsa KRT supaya tidak mendatangkan syak kepada si pemangsa untuk melakukan sesuatu yang lebih agresif terhadap mangsa kerana ingin meminta bantuan.

“Situasi KRT dalam keadaan PKP seperti sekarang ini mungkin sudah berubah kerana perlakuan si pelaku dapat disembunyikan memandangkan mangsa tiada ruang untuk keluar dari tempat tinggal bersama.

“Jika sebelum ini, mangsa ada akses yang lebih mudah untuk mendapatkan pertolongan kerana mereka boleh keluar atas alasan untuk pergi ke tempat kerja atau sekolah, pihak ketiga seperti rakan sepejabat atau kaunselor yang dapat menjadi tempat mangsa menceritakan keadaan yang berlaku di dalam rumah,” katanya.

Pada Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob menerusi sidang media menyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima 135 pangilan berkaitan KRT menerusi Talian Kasih.

KEADAAN terkurung menyukarkan mangsa mendapatkan bantuan.
KEADAAN terkurung menyukarkan mangsa mendapatkan bantuan.

Katanya, kerajaan memohon orang ramai supaya terbabit sama membantu kerana mungkin mangsa tidak berani membuat aduan.

“Mungkin telefon mereka (mangsa) dirampas dan sebagainya. Jadi mereka tidak mempunyai ruang untuk membuat aduan walaupun di Talian Kasih.

“Saya memohon orang ramai terutama jiran tetangga supaya membantu jika mendengar sesuatu yang menghairankan di sebelah rumah mereka dan terus membuat aduan ke Talian Kasih di nombor 15999 atau kiriman Whatsapp kepada polis iaitu 0192615999,” katanya.

Dr Noraida berkata, ketika ini terdapat aliran kes statistik yang dinyatakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi platform media sosial yang menyatakan mengenai kehendak mereka supaya kerajaan turut memandang serius kes KRT dalam masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, antaranya Women’s Aid Organisation mencatatkan peningkatan 44 peratus bilangan panggilan dan pertanyaan di talian bantuan keganasan rumah tangga miliknya dari Februari hingga Mac lalu iaitu dalam tempoh PKP berlangsung.

“PKP dilaksanakan bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang menjadi perkara utama negara, bagaimanapun sebagai masyarakat kita juga perlu bersama-sama memerangi isu KRT yang turut berlaku dalam tempoh PKP seperti dilaporkan NGO.

ANAK-ANAK mendapat kesan sekiranya berlaku keganasan rumah tangga.
ANAK-ANAK mendapat kesan sekiranya berlaku keganasan rumah tangga.

“Terdapat faktor tertentu yang menyebabkan kenaikannya seperti masyarakat bertoleransi terhadap keganasan iaitu tidak menghalang atau tidak peduli, masyarakat terus merasakan suami atau lelaki ada hak melakukan keganasan terhadap isteri atau ahli keluarga,” katanya.

Beliau menambah, tekanan dalam kehidupan turut meningkatkan kecenderungan pelaku melakukan keganasan kepada mangsa antaranya kesukaran mendapat mata pencarian untuk kelangsungan hidup.

“Keganasan mental juga mungkin meningkat kerana ruang bergerak yang terhad. Jika pelaku biasa keluar rumah untuk bersosial seperti berkerja atau berjumpa kawan untuk melepaskan tekanan, kini perkara itu tidak boleh dilakukan lagi.

“Bagaimanapun, dalam tempoh ini mereka tidak dapat melakukan perkara seperti itu dan akhirnya melepaskan tekanan kepada mangsa,” katanya.

Jelasnya, disebabkan itu masyarakat juga perlu memainkan peranan terutama jiran apabila kerap mendengar sesuatu yang mencurigakan mungkin boleh menghubungi mangsa dengan berkomuniksi menggunakan kod rahsia supaya mangsa dapat memaklumkan keadaan itu seterusnya jiran boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa.

“Seharusnya dalam situasi PKP ini institusi rumah tangga menjadi lebih erat dan bukan menjadi permulaan KRT kerana perkara itu adalah satu jenayah dan pelaku boleh didakwa.

MANGSA keganasan rumah tangga boleh mengalami trauma.
MANGSA keganasan rumah tangga boleh mengalami trauma.

“Di Malaysia mempunyai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang memperuntukkan hukuman kepada pelaku keganasan,” katanya.

Sementara itu, All Women Action Society (Awam) memaklumkan kepada Harian Metro dalam tempoh PKP berlangsung, pihaknya menerima laporan tiga kes membabitkan KRT dan aliran statistik itu sama seperti tahun lalu.

Pengurus Program dan Operasi Awam, Nisha Sabanayagam berkata, tiga kes yang diterima itu dilaporkan pihak ketiga iaitu rakan-rakan dan ahli keluarga memandangkan mangsa tidak dapat akses keluar dari rumah.

“Sebagai contoh, terdapat satu kes dilaporkan suami melakukan keganasan dalam bentuk emosi kepada isteri dan memukul anak mereka.

“Isteri yang menjadi mangsa KRT itu tidak pasti untuk membuat laporan polis dalam tempoh PKP dan berceritakan masalahnya kepada saudara terdekat untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Pertubuhan itu juga berharap pihak berkuasa menyalurkan maklumat lebih luas kepada orang ramai sekiranya mereka berdepan KRT.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 7:00 AM