X
SURAYA manfaat masa PKP anjur kelas bimbingan perniagaan secara dalam talian. FOTO Suraya Ali
SURAYA manfaat masa PKP anjur kelas bimbingan perniagaan secara dalam talian. FOTO Suraya Ali
Muhamaad Razis Ismail

KEINGINAN yang kuat berkongsi ilmu dan melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini mendorong wanita ini menjadikan jurulatih perniagaan sebagai kerjaya sejak enam tahun lalu.

Suraya Ali atau lebih dikenali sebagai Cik Sue cukup dikenali dalam kalangan individu yang ingin terbabit secara serius dalam bidang perniagaan.

Jadi tidak hairan, Suraya bergelar Master Trainer eUsahawan bersama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), penerima Anugerah Jurulatih Paling Popular di Media Sosial pada 2018 selain pernah dicalonkan sebagai Top 30 Women Enterpreneurs Southeast Asia oleh Majalah SME Magazine pada 2013.

Lebih menarik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Suraya memanfaatkan masa yang ada dengan berkongsi ilmu keusahawanan dan pemasaran secara dalam talian.

Suraya berkata, terdahulu dia memulakan perniagaan pam susu dan keperluan bayi asuhan alami seperti lampin kain secara dalam talian pada 2008.

Menurutnya, dia memulakan karier sebagai jurulatih perniagaan pada 2014 kerana suka menerangkan sesuatu.

“Daripada kecil, saya memiliki kebolehan bercakap, menulis dan menerangkan sesuatu dengan cara tersendiri. Kelebihan ini saya gunakan sebaik mungkin dalam membantu lebih ramai usahawan.

LATIHAN pemasaran dalam talian di dalam kelas. FOTO Suraya Ali
LATIHAN pemasaran dalam talian di dalam kelas. FOTO Suraya Ali

“Minat dalam dunia pemasaran digital dan pengalaman menjadikan kerjaya saya semakin mudah.

“Kerjaya ini memerlukan saya sentiasa bersama dengan usahawan yang selalu ada idea bernas namun dalam masa sama rendah hati untuk belajar menjadikan saya semakin menyukai tugas ini,” katanya.

Tambahnya, jurulatih perniagaan berfungsi untuk membantu mengeluarkan kekuatan sama ada personaliti mahupun idea daripada individu yang dilatih.

“Saya ini bagaikan individu tambahan (partner) dalam syarikat yang akan menguji usahawan dengan soalan dan idea lain selain ‘menggali’ apa yang usahawan mahu lakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, seorang jurulatih yang baik mampu membuat penyampaian di dalam kelas sehingga keikhlasannya untuk membantu dapat dirasai peserta.

“Seperti penghibur, kelas yang dikendalikan adalah pentas kita. Kebolehan mengawal individu yang penuh dengan idea luar biasa dan tidak suka dikawal adalah kebolehan penting jurulatih perniagaan ketika dalam kelas.

“Saya percaya dengan kelebihan setiap individu. Apabila kekuatannya didorong dan diketengahkan, usahawan lebih yakin untuk mencapai satu demi satu kejayaan dalam perniagaannya,” katanya.

Katanya, sejak PKP dilaksanakan, kelas dilakukan secara dalam talian menggunakan komputer atau telefon pintar.

LATIHAN keusahawanan digital di Cyberjaya. FOTO Suraya Ali
LATIHAN keusahawanan digital di Cyberjaya. FOTO Suraya Ali

KENDALIKAN kelas eUsahawan pada setiap hari sepanjang PKP dengan aplikasi Zoom. FOTO Suraya Ali
KENDALIKAN kelas eUsahawan pada setiap hari sepanjang PKP dengan aplikasi Zoom. FOTO Suraya Ali

“Proses bimbingan yang berlangsung selama satu jam ke dua jam setiap usahawan. Latihan Asas Pemasaran Digital secara percuma juga dijalankan hampir setiap hari melalui aplikasi Zoom,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, pada awalnya dia agak ragu-ragu dengan penerimaan peserta menggunakan kaedah dalam talian.

“Namun hasil daripada soal selidik mendapati lebih daripada 85 peratus peserta memilih untuk belajar secara dalam talian berbanding secara berdepan walaupun mempunyai pilihan.

“Menjimatkan masa dan tenaga adalah antara faktor utama yang disukai peserta selain tidak perlu memandu untuk ke destinasi. Ternyata hampir 100 peratus peserta berpuas hati dengan penyampaian jurulatih walaupun disampaikan secara dalam talian dan tidak bersua wajah,” katanya.

Dalam pada itu, Suraya berkata, usahawan perlu sentiasa peka dengan perubahan yang bakal berlaku.

“PKP mempercepatkan tindakan kita yang selama ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk berubah, namun perlu ditukar dalam tempoh kurang enam bulan (atau lebih cepat).

MEMINATI aktiviti larian bersama suami. FOTO Suraya Ali
MEMINATI aktiviti larian bersama suami. FOTO Suraya Ali

KETIKA bercuti di Jepun. FOTO Suraya Ali
KETIKA bercuti di Jepun. FOTO Suraya Ali

“Model perniagaan yang banyak terbabit dengan pertemuan untuk tujuan ‘closing sales’ perlu mencari cara bagaimana transaksi urus niaga berlangsung dengan meminimumkan pertemuan.

“Perniagaan yang selama ini memerlukan aktiviti berkumpul seperti latihan, perlu pertimbangkan dibuat melalui dalam talian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan usahawan memanfaatkan sebaik mungkin platform dalam talian untuk membuat lebih banyak kebaikan kerana ia dapat tersebar dengan lebih cepat.

“Perniagaan adalah ibadah, jadi guna media sosial untuk berkongsi ilmu yang kita miliki untuk membantu menyelesaikan masalah orang lain. Oleh itu berkongsilah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:00 AM