MUNGKIN bukan tiada usaha untuk cari pasangan hidup, tetapi masih tidak temui jodoh diinginkan.
MUNGKIN bukan tiada usaha untuk cari pasangan hidup, tetapi masih tidak temui jodoh diinginkan.
Hafiz Ithnin

MUJUR juga tahun ini dapat 'berehat' sekejap daripada soalan maut tu, kalau tidak mahunya sampai habis cuti soalan bila nak kahwin tak habis," seloroh rakan penulis yang usianya bakal menginjak 40 tahun cuma dalam beberapa tahun lagi.

Sengaja penulis mengusik, agaknya terasa hati ke apabila acap kali ditanyakan soalan sebegitu?

"Kalau yang datang ke rumah atau kita datang ke rumah orang itu seorang dua bertanya tak apa. Ini asal jumpa baik saudara mahupun jiran mak aku, mana tidaknya bosan nak mendengar? Macamlah kita ini nak sangat membujang.

"Ini pun disebabkan tidak boleh rentas negeri untuk balik kampung, ada juga yang sinis bercakap, kalau dah kahwin tidaklah seorang, beraya," katanya lagi.

Tambahnya, bukan tiada usaha untuk mencari pasangan hidup, tetapi masih tidak temui jodoh diinginkan.

"Tipu kalau katakan aku ini jenis tak memilih. Mestilah untuk cari pasangan kita perlu pilih sebab nama pun pasangan hidup. Kalau yang ada pun baru-baru ini, suami orang pura-pura bujang! Takkan aku nak.

"Kalau yang muda sangat pula ada yang terasa bela 'anak ikan.' Itu belum lagi yang baru seminggu dua kenal sudah pandai nak pinjam duit!," katanya lagi sambil kami bersulam tawa di corong telefon.

PERBUATAN atau kata-kata memerli menjadikan golongan bujang terlajak semakin tertekan dengan keadaan. (Gambar hiasan)
PERBUATAN atau kata-kata memerli menjadikan golongan bujang terlajak semakin tertekan dengan keadaan. (Gambar hiasan)

Biarlah penulis namakan wanita yang menjadi sahabat sejak dari universiti itu sebagai Zaza (bukan nama sebenar).

Kalau diikutkan, dari segi paras rupanya sentiasa terjaga. Kerjaya juga bukan biasa-biasa. Cuma jodohnya masih rahsia.

Dalam Wanita Metro (WM) kali ini sengaja penulis bawakan kisah bujang terlajak. Meskipun ada yang merasakan tiap kali perjumpaan dengan mereka yang belum bertemu jodoh itu dengan menembak soalan 'bila nak kahwin?' adalah perkara biasa namun sebenarnya setiap manusia ada rasa sensitif apabila ditanya soalan sama. Apatah lagi pada musim perayaan.

Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Norwati Mansor berkata, soalan mengenai jodoh apabila kerap diajukan kepada individu terutama bukan dalam kalangan keluarga terdekat seharusnya perlu dielakkan kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa.

Beliau berkata, apatah lagi jika yang bertanya itu sudah tahu individu berkenaan menghampiri usia 40 tahun dan pada peringkat usia itu mereka tentunya matang untuk membuat keputusan dalam kehidupan selain ia bersifat peribadi.

"Tidak salah untuk kita bertanya kepada mereka yang belum berkahwin, tetapi ia perlu kena dengan situasi dan lebih bersifat empati.

"Kita bertanyakan soalan itu dirasakan sesuatu yang biasa, tetapi penerimaannya kadangkala boleh menggangu emosi si penerima. Oleh itu, apabila kita hendak bertanyakan sesuatu soalan mengenai jodoh yang sebenarnya lebih bersifat peribadi, tidak perlu secara terbuka. Lebih manis jika dari hati ke hati," katanya.

Jelasnya, sudah menjadi lumrah dalam diri setiap individu inginkan pasangan dalam hidup mereka sehingga akhir hayat, tetapi kadangkala terdapat cabaran dalam menemui teman hidup yang bersesuaian menyebabkan lanjut usia.

Katanya, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membantu emosi golongan yang belum menemui jodoh terutama elakkan bertanya secara langsung di hadapan anak-anak lain terutama yang sudah berkelurga.

MENJADI lumrah setiap insan mahukan pasangan hidup yang terbaik. (Gambar hiasan)
MENJADI lumrah setiap insan mahukan pasangan hidup yang terbaik. (Gambar hiasan)

"Sebagai ibu dan bapa, pertamanya perlu mendoakan kesejahteraan si anak untuk mudah bertemu jodoh kerana doa daripada ibu bapa paling berkesan apabila memohon kepada Allah. Jadi, sebagai langkah asasnya jangan berhenti mendoakan anak yang masih dalam keadaan 'mencabar' mencari pasangan hidup mereka.

"Kedua, apabila hendak bertanya kepada anak yang sudah di peringkat usia ini, kita perlu pandai berkias supaya komunikasi itu tidak nampak memberi tekanan kepada mereka untuk mencari pasangan hidup. Mungkin, kita boleh tanyakan soalan mengenai rakan-rakannya terlebih dahulu kemudian usik dengan impian untuk menimang cucu. Ia nampak lebih mesra dan lembut," katanya.

Dalam laporan terdahulu menerusi Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 35.7 peratus wanita bujang memberikan alasan tiada pasangan bersesuaian menjadi punca mereka membujang.

Pakar psikologi itu berkata, ahli keluarga terdekat juga boleh memberikan bantuan untuk mencari jodoh sekiranya diminta tuan punya badan itu selain tidak sewenang-wenangnya melakukan sesuatu di luar kemahuan mereka.

"Seperti yang dikatakan, pada usia yang sudah matang, golongan masih bujang merasakan soal jodoh itu sesuatu yang peribadi dan jika mereka bersuara untuk meminta bantuan ibu bapa atau adik-beradik mencarikan jodoh untuk mereka, baru kita boleh lakukan.

"Atau kita juga boleh memberi cadangan untuk memperkenalkan seseorang dengannya, tetapi bukan dalam bentuk paksaan untuk berkenalan dengan individu asing. Dalam masa sama, si bujang juga perlu berlapang dada menerima sesuatu yang baik untuk kehidupan memandangkan perkahwinan itu adalah sunah," katanya.

Ketika ditanya bagaimana cara untuk menolak soalan berkaitan jodoh supaya tidak nampak kasar, katanya, jawab dengan memintakan orang itu mendoakan jodoh terbaik.

"Boleh juga mengalih topik perbualan dengan cara lebih matang seperti spontan bercerita mengenai keadaan yang berlaku di sekeliling supaya nampak lebih lembut cara menolak soalan itu.

"Jika terasa hingga menimbulkan tekanan, jangan luahkan kata-kata yang kesat, tetapi berikan alasan untuk melakukan tugas lain dan perlu beredar daripada individu bertanya itu," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 7:00 AM