SUMBANGAN pakaian dalam penyerap peluh berteknologi tinggi kepada 5,000 pekerja kesihatan barisan hadapan bagi membolehkan mereka kekal selesa untuk memberi tumpuan dan membantu pesakit.
SUMBANGAN pakaian dalam penyerap peluh berteknologi tinggi kepada 5,000 pekerja kesihatan barisan hadapan bagi membolehkan mereka kekal selesa untuk memberi tumpuan dan membantu pesakit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PENULARAN pandemik Covid-19 jelas merubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia kepada norma kehidupan baharu yang sememangnya jauh dari kepompong keselesaan.

Selain itu, wabak berkenaan turut menyatukan masyarakat global untuk bersama-sama berganding bahu mengekang dan menghalang penularannya.

Di Malaysia umpamanya, pelbagai pihak terutama syarikat korporat, swasta mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan kepada kerajaan bagi membantu petugas barisan hadapan melaksanakan tugas mereka membantu masyarakat.

Tidak terkecuali, peruncit pakaian terkenal UNIQLO dan syarikat induknya, Fast Retailing yang baru-baru ini mengumumkan pembuatan 10 juta pelitup muka untuk didermakan kepada kemudahan perubatan berkeutamaan tinggi di Jepun dan lokasi lain seluruh dunia.

Antara 19 negara yang menerima sumbangan ialah Malaysia dan dengan bantuan Kementerian Kesihatan (KKM), fasa pertama pelitup muka muka berkenaan diagihkan kepada hospital awam di seluruh negara termasuk Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di Putrajaya.

Manakala fasa kedua dijadualkan diagihkan pada minggu terakhir bulan ini.

SEBANYAK 12,000 pakaian dalam AIRism disumbang kepada pekerja kesihatan barisan hadapan.
SEBANYAK 12,000 pakaian dalam AIRism disumbang kepada pekerja kesihatan barisan hadapan.

Bukan itu sahaja, pada Mac lalu UNIQLO Malaysia turut menyumbang 12,000 pakaian dalam penyerap peluh berteknologi tinggi, AIRism bagi memastikan 5,000 petugas kesihatan barisan hadapan kekal selesa dan nyaman di sebalik uniform serta pakaian pelindung yang diperlukan untuk mengelakkan jangkitan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UNIQLO Singapura dan Malaysia, Yuki Yamada, sasaran pihaknya dalam mendermakan AIRism adalah untuk membantu petugas penjagaan kesihatan barisan hadapan kekal selesa bagi membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya dalam membantu pesakit ketika saat sukar ini.

Kata beliau, UNIQLO Malaysia juga mengambil inisiatif mengedarkan pakaian kitar semula bagi membantu golongan miskin, gelandangan dan keluarga pelarian menerusi kerjasama dengan NGO tempatan.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian, kami memilih kembali pakaian terpakai menerusi program kitar semula untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

"Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mengutamakan keluarga yang mempunyai keperluan mendesak seperti mereka yang mempunyai bayi baru lahir atau anak sedang membesar.

"Inisiatif yang dijalankan itu berjaya mengedarkan 1,750 pakaian kepada lebih 500 penerima yang memerlukan," katanya.

Menurut Yamada, seiring dengan misi kelestarian global UNIQLO mengenai 'Unlocking the Power of Clothing' pihaknya memanfaat pakaian yang dihasilkan untuk menyokong barisan hadapan dan masyarakat memerlukan.

"Kami akan terus memberi sokongan apabila diperlukan.

"Penghargaan turut diberikan kepada pekerja bidang perubatan dan yang berkaitan selain ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang ketika penularan wabak Covid-19 ini, " katanya.

SYARIKAT induk UNIQLO Malaysia, Fast Retailing menyumbang 500,000 pelitup muka kepada petugas barisan hadapan bagi membantu mengekang penularan Covid-19.
SYARIKAT induk UNIQLO Malaysia, Fast Retailing menyumbang 500,000 pelitup muka kepada petugas barisan hadapan bagi membantu mengekang penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:00 AM