X
Fairul Asmaini Mohd Pilus

RAMAI wanita bimbang dan mengaitkan dengan penyakit kanser apabila mengesan ketulan luar biasa pada payudara mereka.

Namun, tahukah anda bahawa bukan semua ketulan pada payudara adalah kanser kerana fibroadenoma contohnya benign (tidak merbahaya).

Fibroadenoma adalah ketulan yang abnormal pada payudara yang terdiri daripada tisu berserat (fibrous)

dan berkelenjar (adenomatous).

Ketulan itu kenyal dan terasa boleh bergerak di bawah kulit apabila diperiksa dan biasanya dirujuk sebagai 'tetikus payudara.'

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (PERDIM) yang juga pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, fibroadenoma adalah tumor yang tidak merbahaya dan paling biasa dalam kalangan wanita di bawah umur 30 tahun.

Kata Dr Zubaidi, ia biasa ditemui hanya satu ketulan, bagaimanapun 10 hingga 15 peratus wanita boleh mempunyai beberapa ketulan dan ada membabitkan kedua-dua payudara.

"Punca sebenarnya tidak diketahui namun ia boleh dipengaruhi hormon estrogen kerana fibroadenoma paling kerap ditemui pada wanita di peringkat usia pre-menopausal, hamil, wanita menopaus atau yang mengambil terapi hormon gantian (HRT).

"Ketulan fibroadenoma juga boleh ada dan hilang ketika kitaran haid, apabila tahap hormon badan wanita berubah, katanya.

Menurut Dr Zubaidi, fibroadenoma juga boleh ditemui dalam kalangan wanita muda yang berumur 15 hingga 30 tahun dan wanita hamil.

Bagaimanapun kata Dr Zubaidi, fibroadenoma jarang ditemui dalam kalangan wanita menopaus, melainkan jika wanita itu mengambil terapi estrogen.

"Kira-kira 10 peratus daripada semua fibroadenoma akan hilang dari semasa ke semasa dan 20 peratus daripadanya akan berulang.

SELEPAS pemeriksaan fizikal dilakukan dengan teliti, ujian akan dilakukan untuk mendapat maklumat lanjut (gambar hiasan).
SELEPAS pemeriksaan fizikal dilakukan dengan teliti, ujian akan dilakukan untuk mendapat maklumat lanjut (gambar hiasan).

"Jika ketulan fibroadenoma tidak hilang, ketulan itu biasanya berhenti membesar apabila saiz ketulan mencecah dua atau tiga sentimeter (sm), katanya.

Jelas Dr Zubaidi, ketika melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP), seseorang itu mungkin akan terasa ketulan fibroadenoma di payudara.

Katanya, ketulan fibroadenoma terasa kenyal, licin, bulat dan boleh bergerak.

"Malah, ketulan fibroadenoma tidak melekat pada tisu di sekeliling dan boleh bergerak apabila diperiksa dengan jari.

"Ia mungkin terasa sakit, terutama sebelum kedatangan haid dan boleh membengkak akibat daripada perubahan hormon.

"Saiz ketulan fibroadenoma antara satu hingga lima sm dan boleh membesar sehingga menjadi saiz sebiji buah limau kecil iaitu kira-kira 15sm, katanya.

Selepas pemeriksaan fizikal yang dilakukan dengan teliti, satu atau kedua-dua ujian berikut biasanya dilakukan untuk mendapat maklumat lanjut.

Antaranya, ultrasound payudara dan ujian mamogram untuk wanita yang mempunyai risiko kanser payudara.

Tambah Dr Zubaidi, biopsi ketulan fibroadenoma menggunakan jarum halus diperlukan untuk mendapat diagnosa yang tepat.

"Bagaimanapun, wanita di usia remaja atau awal 20-an mungkin tidak perlu biopsi jika ketulan fibroadenoma hilang dengan sendiri, katanya.

Mengulas mengenai soal komplikasi, Dr Zubaidi berkata, sekiranya ketulan fibroadenoma dibiarkan tanpa pembedahan dan diperiksa secara berkala, ia mungkin perlu dikeluarkan pada kemudian hari.

WANITA muda berumur 15 hingga 30 tahun dan wanita hamil juga tidak terkecuali (gambar hiasan).
WANITA muda berumur 15 hingga 30 tahun dan wanita hamil juga tidak terkecuali (gambar hiasan).

Ia khususnya jika saiz ketulan semakin membesar atau tidak hilang namun Dr Zubaidi berkata, ia jarang bertukar menjadi kanser.

"Ketulan fibroadenoma adalah tidak merbahaya (benign) dan rawatannya pula berbeza bergantung kepada diagnosa.

"Jika saiz ketulan kecil, tidak menyakitkan, kekal saiz yang sama dan biopsi menunjukkan tiada masalah, seseorang itu tidak memerlukan rawatan lanjut, tetapi mungkin mempunyai rawatan susulan bagi pemeriksaan ultrasound biasanya saiz ketulan kurang daripada satu sm).

"Namun jika ketulan adalah besar (melebihi dua sm), menyakitkan, semakin membesar atau keputusan biopsi menunjukan sel-sel atipikal (sangat aktif), rawatan untuk membuang ketulan melalui pembedahan atau dengan menjalani pembedahan lumpektomi akan dilakukan, katanya.

Menurut beliau, jika seseorang itu layak, ketulan fibroadenoma boleh dikeluarkan dengan prosedur mammotome namun ia tidak terdapat di Malaysia.

"Prosedur ini meninggalkan parut kecil dan cepat sembuh namun ia berisiko kerana pembuangan ketulan fibroadenoma yang tidak sempurna, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:01 AM