AKTIVITI berjoging menjadi trend dalam kalangan masyarakat negara ini.
AKTIVITI berjoging menjadi trend dalam kalangan masyarakat negara ini.
Muhamaad Razis Ismail

Aktiviti riadah seperti berbasikal, berjoging dan sebagainya kini menjadi trend dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Apa tidaknya, setiap hujung minggu tempat riadah menjadi tumpuan ramai untuk menjalani aktiviti itu sama ada bersendirian, bersama keluarga atau rakan.

Bagaimanapun tahukah anda, aktiviti sihat ini sebenarnya mengundang risiko kematian mengejut atau dipanggil Sudden Cardiac Death (SCD) dalam kalangan mereka menghidap penyakit jantung sama ada secara sedar atau sebaliknya?

Pakar Perunding Kardiologi di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz berkata, kerap kita dengar berita mengenai orang-orang muda pengsan dan meninggal dunia di gelanggang sukan.

"Walaupun sebenarnya pada luaran, golongan ini dilihat muda dan disangka sihat, namun ada dalam kalangan mereka ini yang sebenarnya menghidap masalah jantung yang tanpa disedari.

"Oleh kerana itu, adalah mustahak supaya individu yang berisiko tinggi dikenal pasti membuat saringan awal sekali gus membantu mengesan mereka yang berisiko tinggi menghidap SCD ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan kematian mengejut atau SCD ini terjadi akibat rentak nadi yang tidak stabil biasanya dari kategori Ventricular Tachycardia (VT) atau Ventricular Fibrillation (VF).

LATIHAN yang dijalankan untuk meningkatkan stamina, kecergasan dan kemahiran.
LATIHAN yang dijalankan untuk meningkatkan stamina, kecergasan dan kemahiran.

"Kedua-duanya adalah rentak nadi yang sangat laju dan tidak membolehkan pengepaman jantung yang efisien.

"Apabila pengepaman ini tidak efisien, pengaliran darah ke otak dan organ-organ lain akan terputus dan menyebabkan individu itu pengsan dan berkemungkinan meninggal ketika itu," katanya.

Mengulas lanjut, risiko mengalami rentak nadi yang merbahaya ketika bersukan ini ditingkatkan dalam kalangan individu yang menghidap sesetengah penyakit jantung seperti penyakit otot jantung yang terlalu tebal atau Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM), penyakit turun-temurun seperti sindrom Long QT atau sindrom Brugada atau masalah saluran darah koronari yang tersumbat.

Tambahnya, aktiviti lasak atau bersukan dalam individu sebegini yang akan meningkatkan kelajuan nadi, penghasilan hormon adrenalin yang meningkat atau peningkatan tekanan darah berlebihan adalah antara faktor-faktor yang mampu mencetuskan nadi VT atau VF ini.

BUKTIKAN wanita boleh terbabit dengan sukan MMA.
BUKTIKAN wanita boleh terbabit dengan sukan MMA.

"Secara amnya, bersukan dengan kerap sebenarnya lebih banyak mendatangkan kebaikan dari segi berat badan, kesihatan jantung, emosi dan mengurangkan risiko menghidap pelbagai penyakit.

"Risiko kematian mengejut atau SCD ketika bersukan ini adalah rendah. Bagaimanapun, bagi sesetengah golongan, ujian saringan adalah dinasihatkan," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa garis panduan daripada Amerika Syarikat dan Eropah yang mengenal pasti ciri-ciri individu yang wajar disaring antaranya mengalami sakit dada ketika bersukan, pernah pengsan secara tiba-tiba dan sesak nafas atau keletihan yang melampau ketika bersukan.

"Ciri-ciri lain adalah perasaan berdebar-debar, pengesanan bunyi 'murmur' ketika pemeriksaan fizikal, penghidap tekanan darah yang tinggi dan pernah dilarang dari bersukan atas apa-apa sebab serta (pernah) dinasihatkan jalani pemeriksaan jantung oleh pegawai kesihatan.

"Selain itu, sekiranya ahli keluarga berusia kurang daripada 50 tahun mengalami kematian yang dijangka atau mengejut, ahli keluarga berusia kurang daripada 50 tahun menghidap penyakit jantung dan mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit turun-temurun seperti sindrom Long QT atau sindrom Brugada perlu jalani saringan," katanya.

PELBAGAI lapisan masyarakat menjadikan berbasikal sebagai aktiviti riadah.
PELBAGAI lapisan masyarakat menjadikan berbasikal sebagai aktiviti riadah.

Jelasnya, antara ujian saringan yang perlu dilakukan adalah pemeriksaan oleh seorang doktor dan ujian electrocardiogram (ECG).

"Kadang-kadang ujian seperti echocardiography, ECG 24 jam, ujian stress (berlari sambil memakai ECG) atau Imbasan MRI jantung diperlukan untuk menyiasat dengan lebih lanjut," katanya.

Katanya, biarpun SCD ketika bersukan adalah kejadian yang jarang berlaku, individu yang berisiko dinasihatkan menjalani ujian saringan kerana ia mudah, cepat dan non-invasif.

"Individu yang mempunyai faktor risiko yang dinyatakan di atas dan risau mengenai keselamatan bersukan boleh membuat temu janji dengan doktor jantung untuk melakukan saringan dan langkah-langkah pencegahan kematian mengejut atau SCD," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:00 AM