LELAKI sering dilihat sebagai tonggak kekuatan dan menghalang mereka berkongsi masalah kesihatan secara terbuka (gambar hiasan)
LELAKI sering dilihat sebagai tonggak kekuatan dan menghalang mereka berkongsi masalah kesihatan secara terbuka (gambar hiasan)
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Tahukah anda bahawa jangka hayat lelaki di Malaysia adalah hampir lima tahun lebih pendek berbanding wanita?.

Meskipun lelaki menyumbang kepada lebih daripada separuh jumlah populasi di Malaysia namun ketika ini jangka hayat golongan itu berada sekitar angka 72.7 tahun berbanding 77.4 tahun untuk wanita.

Sebahagian besar iaitu 68 peratus kematian pramatang dalam kalangan lelaki adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD), diikuti penyakit berjangkit adalah 20 peratus dan disebabkan kecederaan pula 12 peratus.

Dengan kadar peningkatan membimbangkan berkaitan NCD, tahap kesedaran dalam kalangan lelaki bagaimanapun masih rendah selain kurangnya perbincangan terbuka dan tabiat tidak mengutamakan kesihatan.

Pada tahun 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan angka yang rendah dalam kalangan lelaki untuk mendapatkan saringan kesihatan iaitu hanya 4.7 peratus (yang menjalani saringan kesihatan) berbanding 5.8 peratus wanita yang sudah disaring.

KKM mengambil langkah segera dengan memperkenalkan pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan (2018-2023) untuk menekankan kepentingan memberi tumpuan dan perhatian khusus kepada isu yang berkaitan kesihatan lelaki.

Bagaimanapun, untuk memahami halangan sebenar yang dihadapi lelaki dalam mendapatkan rawatan perubatan, terdapat berbagai faktor dan komponen yang timbul.

LAKUKAN saringan awal dengan kerap untuk mengurangkan risiko.
LAKUKAN saringan awal dengan kerap untuk mengurangkan risiko.

Pertamanya, mereka mungkin berada dalam penafian mengenai keadaan atau diagnosa dan tidak rela menerima batasan yang datang dengan peningkatan usia.

Keadaan itu akan mengakibatkan mereka meneruskan tabiat buruk seperti pemakanan kurang sihat, merokok, tidak mendapat tidur dan rehat yang mencukupi serta kekurangan aktiviti fizikal tatkala usia semakin lanjut.

Selain itu, satu lagi cabaran adalah internalisasi emosi disebabkan stereotaip dan tekanan daripada masyarakat.

Golongan lelaki mungkin berasa tidak selesa untuk membincangkan masalah yang dihadapi memandangkan mereka merasakan perlu untuk mengekalkan imej kuat dan enggan menunjukkan kelemahan kepada orang sekeliling.

Semua faktor itu mungkin menghalang mereka daripada mendapatkan bantuan dan rawatan yang diperlukan.

Itulah sebabnya mengapa adalah penting untuk menjadikan satu norma baharu iaitu bercakap mengenai keadaan kesihatan yang menyelubungi mereka.

KANSER buah zakar boleh berlaku dalam kalangan lelaki lebih muda namun kesedaran terhadap faktor risiko serta pemeriksaan testis sendiri masih tidak diberikan penekanan.
KANSER buah zakar boleh berlaku dalam kalangan lelaki lebih muda namun kesedaran terhadap faktor risiko serta pemeriksaan testis sendiri masih tidak diberikan penekanan.

Ia juga membolehkan pendekatan holistik untuk kesihatan lelaki dilakukan yang merangkumi aspek kesihatan psikologi, sosial dan fizikal untuk menangani pergelutan yang dihadapi mereka.

Justeru, seiring dengan gerakan global, Movember bulan iniā€ bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan lelaki seperti barah prostat dan kanser buah zakar, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) kini giat mengadakan ceramah selain menggalakkan perbincangan terbuka supaya mereka boleh menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Pakar Perunding Urologi SMCV, Datuk Dr S Selvalingam berkata, golongan lelaki harus memberi perhatian kepada simptom berbeza yang wujud pada peringkat berlainan dalam kehidupan mereka.

Kata DR Selvalingam, ia adalah supaya mereka tahu apa yang perlu untuk diperhatikan dan berwaspada demi untuk mengambil tindakan susulan.

"Merentasi semua kumpulan usia, nyahfungsi seksual adalah agak biasa namun masalah kesuburan lelaki dalam kumpulan usia reproduktif semakin membimbangkan hari ini terutamanya pasangan muda yang baru berkeluarga.

"Manakala masalah pembesaran kelenjar prostat, diabetes melitus, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung pula lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki yang melebihi usia 50-an.

PERBINCANGAN terbuka dapat membantu menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
PERBINCANGAN terbuka dapat membantu menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

"Untuk itu, saringan penyakit berkenaan dan juga barah, termasuk barah urologi adalah lebih relevan untuk kumpulan usia terbabit memandangkan mereka lebih terdedah jika wujud sejarah penyakit seumpamanya dalam keluarga," katanya.

Menurut Dr Selvalingam lagi, pihaknya turut menyaksikan peningkatan kes barah urologi dalam kalangan lelaki yang lebih muda dan ia berkemungkinan besar disebabkan pilihan gaya hidup.

Beliau berkata, barah testikular pula adalah contoh barah yang boleh berlaku dalam kalangan lelaki lebih muda namun kesedaran terhadap faktor risiko dan pemeriksaan testis sendiri masih tidak diberikan penekanan.

Katanya, adalah penting untuk menjalani saringan kesihatan dengan kerap kerana pengesanan awal adalah kunci untuk mengurangkan serangan penyakit itu dan menurunkan potensi kadar kematian.

"Dalam sebuah masyarakat di mana norma budaya memainkan peranan utama dan golongan lelaki seringkali dilihat sebagai tonggak kekuatan selain ketua isi rumah, ia kerapkali menjadi penghalang bagi mereka untuk berkongsi serta membincangkan masalah secara terbuka.

"Namun, ia memberikan golongan lelaki keyakinan sekiranya mereka memperoleh sokongan baik terutamanya daripada isteri atau pasangan yang menggalakkan untuk mendapatkan rawatan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 7:00 AM