IBU yang mengalami psikosis postpartum berhalusisnasi dan ada delusi.
IBU yang mengalami psikosis postpartum berhalusisnasi dan ada delusi.
Nurul Husna Mahmud


SATU kes pelik pernah dikongsi seorang pensyarah psikologi di sebuah universiti ketika merawat seorang kliennya iaitu wanita yang mengalami gangguan psikologi selepas melahirkan anak sulung.

Berdasarkan rekod latar belakang kes, wanita itu bukan sahaja enggan menyusukan anak malah tidak mahu langsung menyentuh bayinya. Lebih memeningkan perilaku wanita berkenaan bertukar agresif selain bersikap dingin terhadap suami.

Perawat tradisional dan bidan yang menjaga wanita berkenaan menyifatkan wanita itu sedang meroyan atau rayan.

Menyelami sejauh mana 'meroyan' boleh berlaku terhadap wanita selepas bersalin, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Suriati Akmal Mahari tampil membantu menghuraikan masalah itu.

Menurut Dr Suriati, perspektif perubatan melihat meroyan ini berlaku pada tiga tahap dan berbeza mengikut gejala serta seriusnya masalah itu.

"Berdasarkan pandangan perubatan, meroyan diterangkan dalam tiga keadaan si ibu yang terganggu akibat tekanan dengan tanggungjawab baru iaitu menjaga bayi mereka.

"Tahap yang biasa atau normal ialah 'materniti blues' atau 'baby blues' yang mana 85 peratus ibu yang melahirkan anak pernah mengalami masalah berkenaan.

"Ibu ini rasa seperti tertekan, gelisah dan ada ketika mereka berasa sayu sehingga menitiskan air mata kerana tidak yakin dapat menjaga bayi mereka dengan baik.

"Ini antara gejala normal dan biasanya bermula dalam tempoh lima hingga 14 hari bergantung kepada keadaan ibu mengurus diri dan anak mereka," katanya.

IBU tidak boleh tidur malam.
IBU tidak boleh tidur malam.

Menjelaskan fasa 'stres' tidak menemui penghujung, malah berlarutan sehingga sebulan dan boleh mencapai sehingga enam bulan, kata Dr Suriati, ia menandakan si ibu mengalami fasa atau tahap kedua yang dinamakan 'postpartum depression' atau kemurungan postpartum.

Situasi atau gejala kemurungan itu, ibu tidak boleh tangani tekanan mereka dengan baik sehingga mengundang rasa gelisah keterlaluan lantas menjadi murung.

"Gejala ketara bagi mereka yang menghidapi masalah kemurungan postpartum adalah berasa sedih keterlaluan, bimbang dan mudah cemas sehingga menjejaskan rutin serta 'sinergi' bersama keluarga.

SUAMI perlu banyak bersabar dan memberi sokongan.
SUAMI perlu banyak bersabar dan memberi sokongan.

"Walaupun ketika bayi tiada bersama, ibu mengalami kemurungan ini tidak boleh bekerja dengan baik, menguruskan rutin harian dengan lancar malah hubungan dengan suami juga terganggu.

"Boleh lihat mereka tidak boleh tidur malam, hilang selera makan dan badan susut mendadak kerana mereka berfikiran tidak dapat menjadi ibu yang baik," katanya.

Kemuncak kepada 'meroyan' iaitu ibu mula hilang kawalan pada diri menyebabkan insiden tragis hingga tidak sedar 'kelar' atau 'menghumban' bayi mereka.

Keadaan itu kata Dr Suriati, merujuk sebagai psikosis postpartum yang mana ada elemen gangguan mental atau psikologi lebih serius hadir hanya disedari selepas ibu bersalin.

KELUARGA yang temankan ibu dalam tempoh berpantang kurangkan risiko menghadapi masalah meroyan.
KELUARGA yang temankan ibu dalam tempoh berpantang kurangkan risiko menghadapi masalah meroyan.

"Pada tahap ketiga iaitu gejala lebih serius dan tempoh lebih panjang diperlukan untuk menangani ibu berkenaan kerana terdapat elemen gangguan mental. Ibu itu tadi berhalusinasi atau delusi menyebabkan mereka hilang rasional.

"Mereka ini kemungkinan ada genetik dan sejarah keluarga serta mungkin boleh berlaku tiba-tiba kerana tidak dapat mengawal emosi selain psikologi dengan komitmen baharu sebagai ibu," katanya.

Gejala lebih ketara pada ibu yang mengalami masalah psikosis postpartum kerana ada unsur 'self harm' termasuk membunuh diri jika dibiarkan tanpa rawatan.

Sejauh mana pengesanan awal untuk wanita yang mengalami masalah meroyan kata Dr Suriati, selain pengakuan pesakit dan testimoni keluarga boleh membantu doktor memahami keadaan itu.

"Mudahnya ialah dinilai pada personaliti wanita itu sendiri. Kalau dia seorang yang mudah bimbang dan cemas, dia lebih sensitif dengan tekanan serta melahirkan anak itu juga dilihat satu bentuk cabaran baharu buat si ibu.

SUSUT berat badan antara gejala kemurungan postpartum.
SUSUT berat badan antara gejala kemurungan postpartum.

"Usia terlalu muda juga antara faktor menyebabkan si ibu tadi lebih berisiko kerana tidak bersedia dengan komitmen menjaga anak.

"Selain itu, faktor persekitaran yang mana krisis dengan suami dan keseorangan tanpa ditemani ahli keluarga atau suami itu sendiri menyebabkan mereka lebih mudah mengalami masalah kemurungan postpartum.

"Kajian saintifik pula menerangkan ibu boleh terkesan dengan masalah itu disebabkan plasenta dan uri. Sekali gus menyebabkan paras hormon turun mendadak dan memberi kesan kepada emosi ibu itu sendiri," katanya.

Menjelaskan berkenaan rawatan, kata Dr Suriati, tahap pertama hanya memerlukan kaunseling dan sokongan ahli keluarga. Sementara untuk kemurungan postpartum dan psikosis postpartum pula perlu terapi ubat serta kaunseling.

"Masalah 'materniti blues' tidak serius dan hilang apabila ibu sudah mampu menyesuaikan diri dengan rutin serta bayi mereka.

"Cuma bagi kemurungan dan psikosis perlu kaunseling dan terapi tertentu. Pada tahap dua, pakar perbidanan serta doktor sakit puan masih boleh bantu tangani.

"Tahap tiga perlukan campur tangan pakar psikiatrik kerana ia membabitkan penggunaan ubat anti-psikotik. Ibu ini ada gejala gangguan mental dan perlu rawatan lebih intensif memastikan kesejahteraan ibu serta anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 7:00 AM