TERTEKAN melihat kenalan di media sosial lakukan pelbagai aktiviti. - FOTO Google
TERTEKAN melihat kenalan di media sosial lakukan pelbagai aktiviti. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail

Perkembangan teknologi yang semakin pesat membangun di seluruh dunia memberi impak yang besar dan mengubah landskap kehidupan manusia tanpa mengira peringkat usia.

Bagaimanapun, kebergantungan yang tidak dikawal terhadap teknologi ini boleh memberi kesan negatif termasuk kepada kesihatan mental antaranya sindrom Fomo (Fear of Missing Out).

Fomo adalah sindrom 'ketakutan kehilangan' sesuatu peristiwa, perkembangan semasa dan masa kini di media sosial.

Di negara ini, Fomo masih baharu dalam kalangan masyarakat disebabkan masih kurang kajian dilakukan untuk memperkenalkan istilah itu sendiri.

Namun dengan kebergantungan kepada gajet dan akses kepada media sosial yang tinggi maka sebenarnya sindrom ini sudah melanda masyarakat kita.

Kebergantungan hidup kepada media sosial jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak kepada masyarakat kita dari segi kemerosotan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental.

Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, Fomo adalah sejenis gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengalami rasa cemas, was-was dan khuatir apabila mendapati individu yang dikenali dilihat terbabit dalam aktiviti yang lebih baik daripada mereka sehingga menyebabkan mereka rasa takut kehilangan sesuatu yang signifikan kepada diri mereka.

"Ketakutan ini merujuk kepada perasaan dan persepsi yang orang lain menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding dirinya.

KEPESATAN teknologi mengakibatkan ramai terkena sindrom Fomo. - FOTO Google
KEPESATAN teknologi mengakibatkan ramai terkena sindrom Fomo. - FOTO Google

"Ini membuatkan seseorang itu cemburu dan iri hati dengan persekitarannya sehingga menjejaskan kepercayaan diri serta merasakan ketakutan kehilangan sesuatu.

"Secara tidak disedari Fomo akan terbentuk apabila anda mula membandingkan diri dengan orang lain dan seterusnya mula menjadi takut kerana anda rasa akan kehilangan sesuatu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kebiasaannya, Fomo berlaku disebabkan ketagihan media sosial di samping ketaasuban terhadap berita, gosip dan trend terkini di media sosial.

"Golongan ini sering menghabiskan masa yang lama melihat media sosial dan sering kali mengemas kini aktiviti di media sosial.

"Mereka juga sering mencuri masuk Instagram, Facebook, Twitter kenalan untuk melihat perkembangan terkini dan sering kali melakukan aktiviti yang menyamai atau lebih daripada kegiatan kenalan mereka untuk memuaskan hati.

"Jika sebaliknya berlaku, mereka akan mengalami tekanan dan seterusnya gangguan daripada segi emosi sehingga menyebabkan mereka kecewa dan mengalami tekanan serta kemurungan," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) berkata, seseorang itu mengalami sindrom Fomo apabila wujud sifat kebergantungan yang tinggi terhadap gajet untuk melayari media sosial.

"Selain itu, wujud tingkah laku kerap dan asyik memeriksa telefon bimbit di samping akan berasa resah dan gelisah apabila telefon mereka tidak berfungsi ataupun talian Internet perlahan kerana akan rasa ketinggalan sehingga merasakan hidup sudah tidak bermakna disebabkan ketinggalan media sosial.

"Pada masa sama, mereka mengalami simptom nomofobia, iaitu merasa takut dan menjadi tidak rasional apabila telefon bimbit atau talian Internet tidak dapat berfungsi dengan baik. Keadaan itu menyebabkan letupan emosi sehingga merosakkan pemikiran dan melahirkan tingkah laku yang negatif," katanya.

MENGHARAPKAN maklum balas positif daripada kenalan lain. - FOTO Google
MENGHARAPKAN maklum balas positif daripada kenalan lain. - FOTO Google

"Kebergantungan hidup kepada media sosial jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak kepada masyarakat kita dari segi kesejahteraan psikologi mereka dan kesihatan mental akan terjejas," katanya.

Katanya, remaja mudah terdedah kepada sindrom Fomo kerana golongan ini dalam proses pembentukan identiti.

"Kebergantungan kepada telefon pintar yang tinggi menyebabkan masa banyak dibazirkan dengan mencari rakan media sosial, rakan permainan dalam talian dan masa yang semakin banyak ada untuk melayari Internet untuk aktiviti dalam talian. Jika tidak dikawal, tingkah laku ini akan berkembang dan diperteguhkan apabila beralih kepada tahap dewasa awal iaitu pada usia 20-40 tahun.

"Mengikut kajian yang dilakukan oleh saya dan pasukan, sindrom ini tidak mengenal jantina kerana ia boleh dihidapi oleh lelaki mahupun wanita yang wujud ketaasuban yang tinggi pada peranti teknologi dan media sosial," katanya.

Fomo yang tidak dirawat boleh menyebabkan seseorang itu akan mengalami tekanan hidup yang tinggi di samping memperkembangkan sifat dan emosi negatif seperti takut, cemas, bimbang, resah, rasa tidak puas, cemburu dan marah.

Katanya, ia akan mengganggu pemikiran sehingga tidak dapat berfikir dengan jelas dan rasional yang menyumbang kepada tingkah laku negatif seperti kebergantungan dan obses kepada peranti teknologi, pergaduhan serta mencederakan diri sendiri. Paling teruk memusnahkan diri sendiri apabila sesuatu yang dilihat dalam laman sosial itu tidak dapat dilakukan mereka.

"Mereka akan merasakan diri mereka tidak berguna, kecewa dan tertekan hingga membawa kepada kemurungan iaitu hilang keseronokan untuk hidup dan akan mengakhiri dengan tingkah laku yang tragis iaitu merosakkan serta memusnahkan diri sendiri atau orang yang menjadi sasaran mereka," katanya.

Beliau berkata, rawatan yang sesuai untuk Fomo bergantung kepada kesedaran diri sendiri dengan meningkatkan kawalan kendiri terhadap media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:00 AM