BERAT badan Ana Syuhada pernah mencecah 105 kilogram sebelum mendapat berat ideal.
BERAT badan Ana Syuhada pernah mencecah 105 kilogram sebelum mendapat berat ideal.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


ANAK jati kelahiran Kampar, Perak ini memaklumkan sejak kecil saiz badannya agak besar. Masih terngiang-ngiang di telinga dia sering diejek dengan pelbagai panggilan ketika di bangku sekolah.

Situasi itu menyebabkan Ana Syuhada Rudy, 34, mula mengasingkan diri kerana malu dan rendah diri untuk bergaul dengan masyarakat.

Malah dia sedar akan kekurangan dirinya. Dia pernah mengambil jalan singkat dengan memuntahkan semula makanan yang dinikmatinya.

Dia yang mesra disapa Ana yang kini menetap di Tanjung Malim menceritakan pernah pada suatu ketika berat badannya mencecah 105 kilogram (kg) dan termasuk dalam kategori obesiti melampau.

Sejak itu dia cuba beralih arah dengan mencuba pelbagai produk pelangsingan badan yang ada dalam pasaran.

"Pantang mendengar apa sahaja produk 'ajaib' yang dikatakan berupaya menurun berat badan dalam masa singkat pasti saya akan mendapatkannya walaupun perlu menghabiskan ribuan ringgit.

"Tetapi, usaha yang dilakukannya tidak berhasil. Berat badan saya semakin hari semakin bertambah," katanya.

Kemudian, hasil pemeriksaan perubatan yang dijalankan dia disahkan menghidap diabetes dan kolesterol tinggi.

SUKAKAN keindahan alam semula jadi.
SUKAKAN keindahan alam semula jadi.

BERSAMA rakan pendakian Rawang Hikers.
BERSAMA rakan pendakian Rawang Hikers.

Bermula dari situ, dia tekad untuk berubah dan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan diet seimbang.

Berkat kesabaran dan usaha yang berterusan akhirnya dia berjaya menurunkan berat badan walaupun perlu mengambil masa agak lama iaitu enam tahun.

Secara jujur Ana Syuhada menyatakan usahanya pernah terhenti seketika kerana berdepan kegagalan.

Namun dia bangkit semula dan segala kegagalan yang lalu dijadikan sebagai cabaran buat dirinya untuk mengharungi kehidupan lebih positif.

"Kini berat badan saya antara 58kg hingga 62kg. Bagi mengekalkan berat badan ideal, saya aktif membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti riadah seperti pendakian, zumba, gimnasium dan berjoging.

"Ia antara cara untuk saya meningkatkan kadar metabolisme badan, mengurangkan kandungan kalori dalam badan dan mengurangkan tekanan rutin harian selain memupuk budaya sihat.

"Syukur saya kini tidak perlu lagi hadir pemeriksaan doktor selanjutnya di klinik kesihatan," katanya.

Dalam menzahirkan segala keyakinan baharunya itu, Ana Syuhada sendiri tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti pendakian termasuk di Bukit Changkat Asa (Tanjung Malim), Bukit Dua Ringgit (Rawang, Selangor) dan Bukit Botak (Puncak Alam, Selangor).

ANA (duduk empat dari kiri) bersama sebahagian ahli keluarga besarnya ketika bercuti.
ANA (duduk empat dari kiri) bersama sebahagian ahli keluarga besarnya ketika bercuti.

"Sekurang-kurangnya saya berjaya mendapatkan suntikan motivasi buat diri sendiri.

"Selain itu, saya suka mencabar diri dengan menyertai pertandingan acara larian maya seperti Route68Ultra sejauh 10 kilometer (km), Ikram Muda Hulu Selangor (10km), Fit Malaysia time2Fit (20km), Malaysia Day Virtual Run (5km) dan Larian Ukhuwah Proton City," katanya yang mengakui keluarga adalah sumber kekuatannya.

Malah dia bersyukur dengan semua ujian Allah itu selain membuatkannya lebih menghargai kesihatan.

"Pada mereka di luar sana yang berhasrat menurunkan berat badan jangan berputus asa, mental kena kuat, disiplin perlu seiring matlamat.

"Tiada yang mustahil untuk kita beroleh kejayaan asalkan kita tahu dan suka apa yang dilakukan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 7:00 AM