PROSEDUR amniosentesis untuk mengenal pasti keadaan spesifik daripada sampel sel plasenta.
PROSEDUR amniosentesis untuk mengenal pasti keadaan spesifik daripada sampel sel plasenta.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ADAKAH bayi saya sihat? Soalan itu pastinya sering berlegar dalam fikiran ibu hamil.

Setiap ibu hamil mengharapkan bayi yang dikandung dan dilahirkan sihat sempurna selepas sembilan bulan dalam kandungannya.

Namun siapa kita untuk melawan takdir kerana terdapat beberapa faktor yang boleh berisiko menyebabkan berlaku keabnormalan pada janin.

Pakar Perunding Obstektrik dan Sakit Puan IMU Healthcare, Profesor Dr Nazimah Idris berkata, persoalan itu menggentarkan ibu namun teknologi kini membolehkan doktor menjalankan ujian seperti imbasan ultrabunyi pada fetus bagi mengesan sebarang keabnormalan.

Kata Dr Nazimah, maklumat itu penting bagi membolehkan doktor dan si ibu bersiap sedia berhadapan apa yang mungkin berlaku kelak.

"Dalam masa sama, ada beberapa cara boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko keabnormalan janin.

"Selain itu, terdapat juga situasi di mana bayi dilahirkan sempurna walaupun pada awalnya janin mempamerkan risiko keabnormalan yang tinggi," katanya.

RAMAI ibu yang memutuskan untuk meneruskan kehamilan walaupun tahu peluang bayi mereka untuk hidup tipis selepas dilahirkan.
RAMAI ibu yang memutuskan untuk meneruskan kehamilan walaupun tahu peluang bayi mereka untuk hidup tipis selepas dilahirkan.

Dr Nazimah berkata, sesetengah ibu bapa mahu tahu dan memilih untuk melakukan semua ujian yang diperlukan manakala ada juga yang sebaliknya.

Katanya, kedua-dua pilihan itu boleh diterima dan terpulang kepada ibu bapa untuk membuat keputusan.

"Ini kerana keabnormalan pada fetus biasanya diletakkan dalam dua kumpulan iaitu keabnormalan berstruktur, di mana bayi mempunyai keabnormalan fizikal atau keabnormalan kromosom dan genetik.

"Keadaan seperti talasemia atau sindrom Down pula berada dalam kategori kedua," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nazimah berkata, keabnormalan akan dinilai mengikut jenis dan tahap bahaya kerana ada sesetengah anomali yang boleh membawa maut, contohnya apabila organ penting seperti buah pinggang belum terbentuk sepenuhnya.

Dr Nazimah
Dr Nazimah

Katanya, anomali yang membawa maut apabila diketahui peluang untuk fetus hidup amat tipis apabila dilahirkan, ini bermakna kemungkinan bayi takkan hidup selepas dilahirkan.

"Sebaliknya, anomali tidak membawa maut merangkumi rangkaian keabnormalan berstruktur seperti kehilangan upaya, kaki belantan dan lelangit sumbing, kepada keadaan lebih kompleks seperti kecacatan jantung.

"Sesetengah daripada permasalahan itu boleh diperbaiki, manakala sesetengahnya memerlukan pembedahan terperinci dan prosedur yang berisiko tinggi serta boleh membawa maut.

TEKNOLOGI moden membolehkan doktor menjalankan ujian seperti imbasan ultrabunyi pada fetus bagi mengesan sebarang keabnormalan.
TEKNOLOGI moden membolehkan doktor menjalankan ujian seperti imbasan ultrabunyi pada fetus bagi mengesan sebarang keabnormalan.

"Begitupun anomali genetik atau kromosom yang menyebabkan keadaan seperti sindrom Down juga dianggap tidak membawa maut," katanya.

Menurut Dr Nazimah, laluan ke arah diagnosis bermula dengan proses saringan pada ibu hamil dan ia biasanya dalam bentuk nuchal translucency scan (NTS) atau ujian darah.

"NTS mengukur cecair di bawah kulit pada belakang leher bayi dan ia boleh menilai sama ada bayi anda berdepan risiko sindrom Down atau tidak.

"Ujian darah itu dikenali sebagai ujian pranatal tidak invasif (NIPT) dan ia menguji sel darah janin yang terdapat dalam darah ibu untuk sebarang kromosom tidak normal," katanya.

Tambah beliau, ujian yang dilakukan, sejarah dan latar belakang pesakit membolehkan doktor memutuskan sama ada pesakit perlu menjalani ujian diagnostik seperti persampelan vilus korionik (CVS) atau amniosentesis.

Kata Dr Nazimah, tujuan utama dua ujian itu ialah untuk mengenal pasti keadaan spesifik daripada sampel sel plasenta.

KEABNORMALAN akan dinilai mengikut jenis dan tahap bahaya.
KEABNORMALAN akan dinilai mengikut jenis dan tahap bahaya.

"Begitupun, ujian itu juga ada risikonya. Biarpun kecil, masih terdapat satu peratus risiko ia menyebabkan keguguran kepada janin yang sempurna," katanya.

Kata Dr Nazimah, jika keabnormalan dikesan, beberapa pilihan rawatan akan diberikan kepada pesakit kerana ada setengah kes keabnormalan memerlukan pembedahan sejurus bayi dilahirkan, manakala ada yang boleh dilambatkan.

Katanya, ada juga dalam sesetengah kes, rawatan ex-utero intrapartum (Exit) disarankan, di mana prosedur dilakukan ketika bayi dilahirkan separa dan masih bersambung dengan tali pusatnya.

"Biarpun terhad, sesetengah kes atau keadaan boleh dirawat in utero iaitu apabila fetus masih dalam rahim, contohnya prosedur penyaliran untuk mengurangkan lebihan cecair dalam fetus," katanya.

Dalam pada itu, Dr Nazimah turut memberi contoh kes di mana seorang ibu hamil anak ketiga (dengan dua anaknya sebelum ini menghidap beta talasemia major, sejenis penyakit yang menyebabkan anemia teruk hingga memerlukan transfusi darah setiap bulan) dan fetus berkenaan didiagnos dengan talasemia major, maka penamatan kehamilan perlu dipertimbangkan.

Jelas Dr Nazimah, penamatan kehamilan sangat terkawal dan termaktub dalam undang-undang.

Selain itu, pilihan berkenaan hanya dilakukan seandainya jika meneruskan kehamilan, ia akan memudaratkan ibu sama ada secara fizikal ataupun mental.

Kata beliau, dalam keadaan itu, doktor akan merujuk pakar psikiatri untuk menilai sama ada ibu terbabit mungkin berdepan risiko kemurungan melampau atau kegusaran.

"Ini kerana ramai juga yang memutuskan untuk meneruskan kehamilan walaupun tahu peluang bayi untuk hidup tipis selepas dilahirkan.

"Ia juga berkaitan isu emosi. Jika ibu mahu bersama dengan bayi kandungannya untuk tempoh lebih lama, mereka akan meneruskan kehamilan sehingga penghujung.

"Dalam tempoh itu, mereka akan persiapkan diri dan kelahiran bayi memberikan mereka babak penutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:00 AM