Suriany Awaludin

Isteri saya memfailkan perceraian di mahkamah syariah dan disabitkan bercerai dengan talak satu.

Adakah perceraian dengan fasakh tidak boleh dirujuk? Bagaimana caranya jika saya ingin bersatu semula dengan isteri, malah dia juga mahu hidup bersama dengan saya semula?

Ingin Tahu, KL

Perceraian yang berlaku di mahkamah syariah khususnya bagi perceraian yang dibenarkan mahkamah lazimnya terdiri daripada perceraian secara talak, fasakh atau tebus talak.

Apabila mahkamah memerintahkan sesuatu perceraian, mahkamah juga akan menentukan tempoh idah isteri yang membolehkan suami merujuk isterinya.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan untuk rujuk bergantung kepada jenis perceraian yang berlaku.

Sekiranya perceraian secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), maka suami berkuasa merujuk isterinya selama tempoh idah itu.

Sekiranya perceraian yang diperintahkan bukan secara talak sama ada secara fasakh atau tebus talak, maka ia tergolong dalam perceraian yang tidak boleh dirujuk talak bain.

Talak bain tidak boleh dirujuk. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu talaq bain kubra dan talak bain sughra.

Talak bain kubra adalah talak yang berlaku kepada pasangan sebanyak tiga kali iaitu suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali.

Pasangan itu tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya melainkan isteri menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah.

Jika ditakdirkan isteri berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertama berhak menikahi bekas isterinya itu.

Kategori kedua adalah talak bain sughra. Ia adalah talak yang diucapkan suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya dalam idah.

Sebahagian daripada talak bain sughra adalah:

1. Talak yang diputuskan oleh hakam.

2. Talak melalui khulu’.

3. Talak yang difasakhkan oleh hakim.

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang menyentuh mengenai talak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk) dua kali. Setelah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik. (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Ayat itu menyatakan perceraian (yang boleh dirujuk) itu adalah dua kali.

Selepas itu hanya boleh dirujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.

Justeru, dalam isu perceraian yang diputuskan oleh mahkamah melalui permohonan fasakh, isteri termasuk dalam kategori talak bain sughra dan tidak boleh dirujuk.

Jika pasangan suami dan isteri sudah berbincang dan bersetuju untuk kembali dalam perkahwinan, maka hendaklah berakad nikah yang baru dan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan pejabat agama Islam setiap negeri.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 4:26 AM
Digital NSTP Subscribe