UMAT Islam ketika mengerjakan sai’e dalam ibadat haji.
Mohd Rizal Azman Rifin

Ibadat haji mempunyai keunikannya tersendiri. Ketika berada di Tanah Suci, setiap jemaah dikenakan pelbagai peraturan yang wajib dipatuhi supaya ibadat haji yang dilakukan diterima Allah SWT dan diangkat sebagai haji mabrur.

Menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci bukan seperti pergi melancong yang boleh dibuat sambil lewa saja.

Setiap jemaah perlu mempunyai kombinasi fizikal, mental, spiritual dan material yang baik. Keempat-empat aspek itu seharusnya dipelihara kerana seandainya satu diketepikan, ia akan menggugat kelancaran ibadat yang dilakukan.

Melakukan tawaf, sai’e antara Bukit Safa ke Bukit Marwah bukan suatu perkara mudah. Tanpa tubuh badan yang sihat dan cergas pasti agak sukar seseorang jemaah untuk melakukannya.

Melakukan tawaf, sai’e atau ketika berada di Padang Arafah, jemaah akan bertemu dengan jutaan jemaah lain yang datang dari seluruh dunia.

Mereka perlu memiliki ketahanan jiwa yang mantap dan tidak mudah terbawa-bawa sikap mementingkan diri sendiri.

Di situlah letaknya unsur toleransi sesama jemaah. Kepelbagaian bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya tidak memisahkan mereka kerana semuanya disatukan melalui ibadat yang satu.

Tiada darjat atau pangkat dunia dibawa ke sana. Sikap terbuka dan berlapang dada perlu ditunjukkan sepanjang di Tanah Suci.

Kita boleh saksikan bagaimana jemaah berasak-asak dan sanggup merempuh jemaah lain semata-mata mahu mencium Hajar Aswad.

Adakah perbuatan dan tingkah laku itu padan dengan status diri sebagai tetamu Allah? Berbuat sesuatu yang kasar terhadap jemaah lain di hadapan Baitullah menjelaskan kepada kita perasaan pentingkan diri masih gagal diketepikan meskipun ketika melakukan ibadat haji.

Haji mabrur tidak akan berhasil menerusi perbuatan berunsurkan kekasaran. Sebaliknya, haji mabrur dicerminkan melalui sifat mahmudah seperti bersikap penyayang, bertolak ansur dan suka membantu orang lain.

Amalan rukun dan wajib haji diterapkan dengan dua aspek iaitu Hablumninallah dan Habluminanas.

Hubungan dengan Allah SWT dan pada masa sama kita dianjurkan kayakan diri dengan sikap berbaik-baik dengan jemaah lain.

Ketika melakukan ibadat haji, setiap jemaah perlu menyedari mereka dilarang berlagak sombong dengan kedudukan dunia yang dimiliki.

Selepas jemaah selesai melaksanakan setiap rukun dan wajib haji, mereka akan disajikan dengan satu lagi elemen falsafah kerohanian iaitu sambutan Aidiladha sebagai kemuncak dan simbol pengorbanan.

Penyembelihan haiwan dilakukan apabila selesai saja menunaikan rukun dan wajib haji dilaksanakan. Ia perlu dihayati sebagai amal ibadat berunsurkan pengorbanan iaitu berkorban kerana Allah SWT dan sesama manusia.

Ibadat haji yang berkualiti juga tidak terhad kepada kesempurnaan amalan rukun dan wajib haji semata-mata, namun ia turut diukur dari segi amalan batin seseorang jemaah.

Justeru, sama-sama kita doakan semoga seluruh jemaah haji sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan pengembaraan haji mereka tahun ini dipermudahkan Allah SWT.

Semoga mereka dapat memperagakan imej serta sifat sebagai seorang hamba Allah SWT berkualiti tinggi, seterusnya pulang ke tanah air dengan memperoleh haji mabrur.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:21 AM