X
MASJID Niujie. FOTO AFP
MASJID Niujie. FOTO AFP
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Baru-baru ini, penulis bersama rombongan penuntut Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) menganjurkan program Kembara Ilmuwan ke Beijing, China.

Di samping itu, penulis turut diundang menyampaikan ucaptama di Persidangan Dakwah Antarabangsa kali ke-3 (ICOD 2018) yang turut dihadiri penyelidik dari KUIS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam persidangan itu, penulis membicarakan mengenai sejarah kedatangan serta perkembangan Islam di China dan hubungannya dengan Nusantara.

Turut hadir, Imam Masjid Besar Xian, Yahya Ma Yi Ping.

Pada acara itu, beliau turut menunjukkan kemahiran serta kesenian kaligrafi Islam yang diadun dengan seni Cina.

Rombongan Kembara Ilmuwan juga berpeluang melawat beberapa tempat bersejarah di Beijing seperti Kota Larangan dan Tembok Besar China.

Sejarah Kota Larangan terletak di tengah Kota Beijing bermula pada abad ke-15 iaitu dari 1406-1420 oleh Maharaja Dinasti Ming.

Ia menjadi istana bagi Maharaja dari pertengahan Dinasti Ming sehingga penghujung Dinasti Qing selama 500 tahun dan berakhir pada 1912.

Mulai 1925, ia menjadi sebuah muzium dan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1987 oleh UNESCO. Selain itu, rombongan turut melawat tiga masjid iaitu Masjid Niujie, Masjid Fa Yuan dan Masjid Jambatan An He serta menyaksikan dengan lebih dekat kehidupan Muslim di Beijing.

Islam bertapak di China apabila rombongan wakil Khalifah Usman diketuai sahabat Nabi SAW iaitu Saad Abi Waqqas membina masjid pertama di Guangzhou, China iaitu Masjid Huei Sheng pada 651.

Saad bertemu Maharaja Dinasti Tang iaitu Maharaja Gaozong (650-683) di ibu kota Dinasti Tang di Chang’an atau dikenali sekarang sebagai Xi’an ketika itu.

Islam terus berkembang di China selepas itu termasuklah ke Beijing. Masjid terbesar dan tertua di Beijing, Masjid Niujie mula dibina pada 996 ketika Dinasti Liao.

Ia dibina hasil inisiatif seorang ulama Arab bernama Nasuruddin. Pengubahsuaian dan pembesaran masjid dilakukan Maharaja Kang Xi (1661-1722) ketika Dinasti Qing.

Masjid Jambatan Anhe mula dibina pada penghujung Dinasti Ming dan mempunyai sejarah lebih 300 tahun. Dewan solatnya sangat unik kerana mempunyai empat tingkat bersegi lapan.

Masjid itu terpilih sebagai tempat bagi menjalankan aktiviti kerohanian ketika Sukan Olimpik pada 2008. Ia terletak tidak jauh dari Istana Musim Panas.

Masjid Fa Yuan yang terletak di kawasan Timur Laut atau Pintu Deshengmen mula dibina ketika penghujung Dinasti Ming dan awal Dinasti Qing.

Pengubahsuaian terbaru dijalankan pada 2003 dan dibuka semula kepada umum pada 2007.

Ketiga-tiga masjid itu dibina menggunakan seni bina Cina kerana Islam meraikan budaya tempatan. Malah, masjid pertama dibina oleh sahabat Nabi SAW iaitu Saad Abi Waqqas di Guangzhou juga menggunakan seni bina yang sama.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:04 PM