FOTO hiasan. FOTO Chan Wai Yew
FOTO hiasan. FOTO Chan Wai Yew
Mohd Shahrizal Nasir

Sudah lebih enam dekad negara kita mencapai kemerdekaan. Selepas melalui pelbagai keperitan, bermula 24 Ogos 1511 Melaka jatuh ke tangan Portugis, kemudian silih bertukar ganti penjajah asing menguasai tanah air kita.

Selama 446 tahun lamanya negara dikuasai penjajah, akhirnya negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia berjaya muncul sebagai antara negara Islam yang maju.

Pejuang negara kita dahulu berkorban segala-galanya demi menegakkan sebuah negara merdeka. Mereka berjuang hingga ke titisan darah terakhir tanpa sedikitpun mahu nama mereka dijulang.

Mereka hanya mahukan negara terlepas daripada cengkaman penjajah. Betapa mulia dan sucinya perjuangan mereka.

Kita adalah pewaris untuk mengisi agenda ke arah menggemilangkan negara. Watak keperibadian generasi masa kini adalah cerminan peradaban negara pada masa akan datang.

Seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi Muslim perlu belajar dan mengambil iktibar daripada sikap pemuda Islam sewaktu zaman Rasulullah SAW.

Ketika itu, kebanyakan mereka sanggup berbuat apa saja demi agama, bangsa dan negara. Mereka pantang dipanggil untuk berjuang ke medan tempur, tanpa berlengah terus mengangkat senjata bersandarkan jiwa membara mempertahankan kedaulatan negara.

Mengambil contoh bagaimana unggul dan utuhnya semangat berkorban untuk agama yang ditonjolkan Al-Barra’ bin Malik.

Siapakah tokoh anak muda pada zaman Rasulullah SAW itu? Al-Barra’ adalah saudara kandung kepada Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah SAW.

Meskipun namanya tidaklah tersohor seperti saudaranya Anas, namun al-Barra’ bukan calang-calang anak muda.

Semangat sanggup berkorban nyawa demi agama dan negara begitu ketara dalam jiwa hinggakan Saidina Umar al-Khattab pernah menasihatkan panglima perangnya supaya tidak sesekali melantik al-Barra’ sebagai panglima kerana semangat juang luar biasanya boleh memudaratkan pasukan Muslimin.

Peristiwa teragung yang menaikkan imej dan reputasi al-Barra’ sebagai antara pemuda Muslim yang memiliki kekentalan jiwa tinggi ketika Khalifah Abu Bakar As-Siddiq mahu menggempur musuh yang mengancam kewujudan Islam dan negara Islam di Madinah.

Antara kumpulan orang murtad yang paling berbahaya ketika itu ialah kumpulan dipimpin Musailamah al-Khazzab.

Dalam usaha menggempur Musailamah dan kumpulannya bukanlah satu tindakan mudah kerana beliau diikuti sejumlah besar pengikut iaitu dianggarkan seramai 40,000 orang.

Pasukan Muslimin yang dipimpin panglima agung, Khalid al-Walid terpaksa bertempur habis-habisan dalam usaha menumpaskan Musailamah dan kumpulannya.

Pada peringkat awal, usaha pasukan tentera Muslimin pimpinan Khalid tidak berjaya, malah ada ketikanya terpaksa berundur buat seketika bagi menyusun atur strategi gempur yang baru.

Khalid al-Walid dengan segera mengatur kembali kedudukan strategi yang lebih ampuh dengan keanggotaan anak muda yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Kepelbagaian strategi yang diatur nyata masih belum mampu merobek kekuatan kubu pertahanan kumpulan Musailamah. Keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada Khalid al-Walid.

Selaku panglima agung yang diberi gelaran ‘Pedang Allah’ oleh Rasulullah SAW, beliau tidak berputus asa mencongak strategi baru yang boleh meranapkan keutuhan kumpulan Musailamah.

Pandangan Khalid al-Walid kemudiannya berpaling kepada seorang pemuda yang hanya bertubuh kurus, berambut kerinting dan berkulit hitam untuk memberikan isyarat kepadanya supaya berganding bahu bersama kaumnya, Ansar memperkukuhkan pendekatan menumpaskan musuh.

Tanpa membuang masa, anak muda itu berteriak lantang menyeru kaumnya dengan kata-kata semangat: “Wahai kaum Ansar, jangan kalian mahu kembali ke Madinah. Tidak ada lagi Madinah selepas hari ini. Ingatlah Allah! Ingatlah syurga!”

Sebaik saja melaungkan kata-kata suntikan semangat itu, beliau terus maju tampil menggempur musuh sambil diikuti perajurit golongan Ansar yang selama ini begitu setia kepada Rasulullah SAW.

Dengan penuh keberanian dan jiwa mahu memburu syahid, perajurit Muslimin menghayun pedang menebas leher musuh.

Musailamah mula dilanda ketakutan tatkala menyaksikan semakin ramai tenteranya yang gugur.

Hanya satu kubu saja yang menjadi medan terakhir Musailamah dan ia begitu sukar untuk ditembusi. Al-Barra’ mencari idea bagaimana mahu meruntuhkan keegoan Musailamah dan akhirnya beliau menyeru rakan-rakannya dengan berkata: “Angkatkan aku dengan galah dan lindungi aku dengan perisai daripada panah-panah musuh. Lalu kamu lemparkan aku ke dalam benteng musuh. Biarkan aku syahid bagi membuka pintu supaya kalian boleh memecah masuk ke kubu musuh Allah itu.”

Selepas rakan-rakannya berbuat seperti diarahkan, akhirnya pintu kubu Musailamah dapat dibuka dan menyebabkan pasukan Muslimin dengan mudah dapat memasuki, seterusnya menggempur kumpulan musyrikin.

Tentera murtad dan Musailamah akhirnya tumpas. Dianggarkan lebih 20,000 golongan murtad terbunuh termasuk Musailamah.

Betapa agung pengorbanan al-Barra’ untuk agama, bangsa dan negaranya. Meskipun impian bergelar syahid tidak tercapai dalam peperangan menggempur golongan murtad itu, Allah SWT akhirnya makbulkan juga hajat sucinya apabila beliau gugur syahid dalam Perang Tustar melawan pasukan Farsi.

Sejarah Islam memaparkan begitu ramai anak muda yang sentiasa bersedia berkorban jiwa dan nyawa demi agama, bangsa dan negara. Mereka sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk dipanggil bagi mempertahankan watan tercinta, apatah lagi bersendikan niat suci mendaulatkan kesucian agama Allah di atas muka bumi ini.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:13 PM