FOTO hiasan. FOTO Syarafiq Abd Samad
FOTO hiasan. FOTO Syarafiq Abd Samad
AL-FIQH

1. Adakah orang tidak siuman (gila) dan orang tidak sedarkan diri sepanjang hayatnya akan dikumpulkan di padang mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka ketika di dunia?

Mereka akan dibangkitkan dan dikumpulkan di padang mahsyar nanti sama seperti keadaan ketika mereka hidup iaitu dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedarkan diri.

Sehingga ada riwayat mengatakan, orang yang luka ketika meninggal dunia akan dibangkitkan dalam keadaan badannya luka. Begitu juga orang yang dipotong tangannya, ia akan dibangkitkan bersama tangannya yang dipotong sehingga terlaksana baginya hukum qisas.

2. Sekiranya seorang perempuan yang hamil meninggal dunia, adakah dia akan dihidupkan di akhirat dalam keadaan hamil? Adakah di akhirat nanti kandungan itu akan digugurkan dan dimasukkan ke dalam syurga?

Atau adakah diambil kira sekiranya kandungan itu sudah tidak bernyawa, dimasukkan ke dalam syurga dan jika belum bernyawa tidak dimasukkan ke dalam syurga?

Ulama mufasirin (ahli tafsir) berselisih pendapat mengenai perkara itu. Pendapat yang lebih jelas berpandukan kepada nas al-Quran dan sunah menyatakan, perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan hamil akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan hamil juga.

Syeikh Buqa’iy berkata, dalam firman Allah SWT bermaksud: “.... dan tiaptiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya.” (Surah al-Hajj, ayat 2)

Ayat itu menerangkan bagaimana hebat dan dahsyatnya apabila berlaku kiamat sehingga perempuan yang mengandung walaupun belum cukup bulan akan gugur kandungannya.

Ayat itu tiada kaitan dengan persoalan perempuan hamil yang meninggal dunia. Syeikh Muhammad Ramli menyatakan, yang jelas daripada perbahasan dalam masalah itu dan muktamadnya ialah perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan hamil akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan hamil juga.

Jika anak yang dikandung itu sudah ditiupkan roh, ia akan dimasukkan ke syurga tetapi jika belum lagi ditiupkan roh, maka samalah dia seperti makhluk jamadat (makhluk yang tidak bernyawa) lain yang tiada memberi kesan apa pun.

3. Bagaimana keadaan manusia yang dibangkitkan semula di padang mahsyar kelak?

Semua manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan di padang mahsyar nanti dalam keadaan berbogel.

Walaupun begitu, tidak ada seorang pun yang berkesempatan atau berpeluang untuk melihat aurat orang lain kerana keadaan huru-hara dan suasana kelam-kabut sekali sehingga dia sendiri tidak sedar yang dia juga dalam keadaan berbogel, inikan pula keadaan orang lain.

4. Bagaimana Allah SWT menimbang amalan setiap manusia sedangkan dosa dan pahala itu tidak dapat dilihat dan tidak berjisim?

Ketika Allah SWT menimbang amalan manusia, terlebih dahulu Allah menjadikan segala amalan itu berjisim (supaya senang diketahui berat timbangannya).

Semua amalan anak Adam akan ditimbang di akhirat kelak dengan alat timbangan yang mempunyai dua tadahan.

Setiap satu tadahan mampu memuatkan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

Berat atau ringan timbangan itu akan terbukti walaupun diisi dengan hanya sebiji sawi dalam tadahan sebesar itu. Ini membuktikan Allah itu Maha Adil lagi Maha Berkuasa atas apa yang Dia hendak lakukan.

Sumber: Furu al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun semula Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 9:49 PM