PEMANDANGAN di sekitar kawasan yang menempatkan jambatan Stari Most di Mostar yang menjadi satu daripada tarikan pelancongan di Bosnia.
Fadly Samsudin

BOSNIA-HERZEGOVINA: pernah menjadi perhatian dunia akibat peperangan antara 1992 hingga 1995 yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.

Negara itu turut dikenali sebagai kumpulan negara Balkan terdiri daripada Serbia, Croatia, Slovenia dan Montenegro.

Serangan ke atas negara itu meletus selepas Presiden Republik Srpska, Radovan Karadzic mahu mengawal wilayah Serbia serta sebagai cara untuk mengusir rakyat Muslim Bosnia yang disebut sebagai Turks.

Karadzic dibantu Ratko Mladic iaitu pemimpin Tentera Republik Srpska dikatakan menyimpan dendam kepada Turki Uthmaniah yang pernah menakluk wilayah Balkan, termasuk Serbia.

Dalam konflik itu, etnik Serbia berusaha untuk melenyapkan etnik Muslim dan Croatia.

Akhirnya, berlaku peperangan serta pembantaian rakyat paling menyedihkan dalam sejarah moden Eropah terutama ke atas wilayah yang majoritinya Muslim.

Guru Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Hashfarul Amdan menceritakan pengalamannya membawa rombongan syarikat Kembara Sufi Travel & Tours melawat ke negara berkenaan.

Menurut Mohd Hashraful, bukan mudah untuk bangkit semula selepas melalui detik trauma peperangan.

“Sisa kekejaman konflik masih dapat dilihat terutama tinggalan bangunan yang musnah.

“Biarpun pernah ‘terluka’ akibat peperangan dan kekejaman paling teruk di Eropah selepas Perang Dunia Kedua, namun masyarakat Muslim di sana tetap berusaha untuk bangkit menjadi umat Islam terbaik selain memelihara tradisi mereka.


MASJID Gazi Husrev-bey dibina pada abad ke-l6 terletak di tengah bandar Sarajevo.

“Menurut pemandu pelancong, bangunan yang berlubang-lubang itu sengaja dibiarkan begitu supaya generasi akan datang dapat melihatnya. Bagaimanapun, banyak juga bangunan yang musnah dibaik pulih,” katanya.

Menurutnya, Bosnia-Herzegovina adalah wilayah yang bersempadan antara kebudayaan Barat dan Timur.

“Pada abad pertengahan, wilayah itu menjadi perebutan antara pengaruh Rom Barat (Katholik) dan Rom Timur (Ortodoks).

“Di tengah pergelutan itu, muncul kelompok aliran Kristian dipanggil Bogomil. Mereka yang berpegang kepada aliran kepercayaan itu adalah golongan kelas atasan Bosnia.

“Ketiga-tiga kelompok itu cukup berpengaruh dalam sejarah negara itu pada akhir abad ke-13. Bagaimanapun, ketika ditakluk kerajaan Turki Uthmaniyah yang beragama Islam, ramai pengikut aliran Bogomil memeluk Islam.

“Dalam perkembangan lain, umat Islam Bosnia tetap menjadi pembela kepada kesultanan Uthmaniyah. Apabila pemikiran nasionalisme menyerap masuk, ia membawa perubahan besar di Bosnia.

“Sebelum itu, secara umum penduduk wilayah itu dikenali sebagai warga Bosnia dan hanya dibezakan dengan agama. Namun, selepas itu warga Bosnia yang menganut Kristian Ortodoks dikenali sebagai orang Serbia manakala penganut Kristian Katholik dikenali orang Croatia,” katanya.

Katanya, selepas 27 tahun berlalu, negara Balkan itu giat mempromosikan pelbagai produk pelancongan terutama keindahan alam semula jadinya.


MOHD Hashfarul (kiri) ketika singgah menunaikan solat di Masjid Gazi Husrev-bey.

“Memandangkan sumber asli sangat terhad, ditambah pula pertukaran musim menyebabkan hasil pertanian juga terhad.

“Ibu negara Bosnia iaitu Sarajevo misalnya, ada satu kawasan dinamakan Bascarsiya. Di situ tempat bermulanya tamadun Islam ketika zaman kegemilangan kerajaan Turki Uthmaniyah.

“Sehingga hari ini, penduduk kawasan itu majoritinya beragama Islam. Di situ juga ada sebuah masjid dinamakan Masjid Gazi Husrev-bey dibina pada abad ke-l6,” katanya.

Katanya, kunjungan ke Bosnia tidak lengkap jika tidak ke Mostar yang terkenal dengan jambatan lamanya, Stari Most.

“Ia terletak lebih kurang 120 kilometer (km) dari Sarajevo. Jambatan lama itu dibina pada 1566 iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Suleiman, Sultan ke-10 Kerajaan Turki Uthmaniyah.

“Bandar Mostar diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu daripada bandar warisan dunia.

“Pada hari ini, jambatan Stari Most masih tersergam indah mengikut struktur dan seni bina asalnya selepas dibina semula pada 2004 akibat beberapa kali musnah dibom dalam peperangan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:06 AM