PEMANDANGAN bangunan utama Darul Uloom, Nadwatul Ulama, Lucknow.
Kembara Syahadah (Taman ilmu Islam di Bandar Lucknow)

India terletak di Asia Selatan. Negara yang terkenal dengan filem Bollywood itu juga memiliki antara kepadatan penduduk tertinggi di dunia.

Antara bandar yang terkenal di India adalah Mumbai dan Kolkata. Begitu juga Kashmir, ia memiliki kawasan yang sangat cantik selain terkenal dengan isu perebutan kuasa antara India dan Pakistan sejak sekian lama.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak pernah sampai ke Lucknow yang terletak di sebuah negeri di Uttar Pradesh.

Kawasan itu terletak di bahagian utara India bersempadan dengan Nepal. Jaraknya kira-kira satu jam perjalanan menaiki pesawat dari New Delhi.

Di bandar Lucknow, ada sebuah madrasah iaitu Darul Uloom, Nadwatul Ulama yang melahirkan ramai sarjana pengajian Islam khususnya bidang hadis.


RATUSAN pelajar pada Majlis Khatam sahih Al-Bukhari oleh Maulana Dr Taqiuddin Nadwi.

Penulis berkesempatan ke sana, baru-baru ini bagi mencari bahan penyelidikan kajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Kajian penulis tertumpu mengenai seorang tokoh yang membangunkan institusi berkenaan, Maulana Abu al-Hasan Ali an-Nadwi.

Institusi itu wujud sejak 1894 dan sudah melahirkan ramai sarjana untuk memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin dan Pendakwah terkenal tanah air, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi antara lepasan Darul Uloom, Nadwatul Ulama.

Syeikh Muhamad Baderudin menuntut di institusi itu pada 1976 manakala Syeikh Ahmad Fahmi Zam-zam menuntut di institusi itu pada 1980-an.

Begitulah hebatnya sumbangan Darul Uloom dalam usaha melahirkan pendakwah dari serata dunia termasuk Malaysia.

Darul Uloom tidak menerima sebarang pembiayaan daripada kerajaan India. Sebaliknya, semua perbelanjaan dan pembiayaan madrasah ditanggung berdasarkan yuran pengajian, sumbangan individu dan masyarakat Islam.

Natijahnya, perjalanan madrasah tidak terikat dengan polisi kerajaan yang mungkin bersalahan dengan misi dan objektif penubuhannya.

Ia juga institusi ilmu yang bebas daripada pengaruh politik. Suasana pembelajaran di Darul Uloom cukup sederhana, namun pelajarnya amat fokus dalam menuntut ilmu.

Mereka menelaah kitab besar seperti Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim selain kitab musnad hadis lain secara huruf demi huruf.

Di Darul Uloom, mereka membaca satu persatu kalimah terdapat dalam kitab sebelum dijelaskan oleh maulana.

Panggilan ‘maulana’ merujuk kepada guru atau pengajar sepanjang lima tahun pengajian.


PENULIS (tengah) bersama penuntut Darul Uloom bergambar di hadapan gerbang Rumi Darwaza.

Tempoh yang lama itu juga dapat mematangkan pelajarnya. Sesuai dengan salah satu daripada enam syarat menuntut ilmu yang dinyatakan oleh Imam Al-Shafie dalam bait puisinya, tempoh masa belajar yang panjang (tul az-zaman).

Suasana pencarian ilmu di sana juga sangat mengasyikkan. Anak muda dilihat sentiasa membawa kitab besar di tangan.

Mereka juga belajar dalam kelas secara talaqqi dengan maulana masing-masing. Bahasa Arab menjadi bahasa perantara bagi kelas yang dihadiri penuntut dari luar India.

Sesi pembelajaran tamat pada tengah hari. Ketika itu, masjid mula penuh untuk persediaan menunaikan solat secara berjemaah.

Satu pemandangan sangat indah apabila daripada saf pertama hingga belakang akan penuh dengan semua pelajarnya yang mengenakan pakaian berwarna putih.

Ketika kunjungan penulis ke Darul Uloom, kebetulan diadakan Majlis Kha-tam Sahih Al-Bukhari di masjid kampus berkenaan yang diketuai tokoh hadis terkenal dunia dari India, Maulana Dr Taqiuddin Nadwi.

Pada majlis itu, Maulana Dr Taqiuddin mensyarahkan sebuah hadis berkaitan untaian zikir yang disukai Allah SWT.

Zikir yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua kalimat (zikir) yang ringan diucapkan pada lidah, (tapi) berat (besar pahalanya) pada timbangan amal (kebaikan) dan sangat dicintai oleh Al-Rahman (Allah SWT), (iaitu): Subhanallahi wabihamdihi (Maha suci Allah dengan memuji-Nya), Subhanallahil ‘azim (Maha suci Allah yang Maha Agung).” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sepanjang pengembaraan di bumi Lucknow, penulis bertuah kerana disantuni pelajar Darul Uloom dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Farid Dzulkarnain dan Mohamed Jaffnie Mohamed Shalahudeen adalah dua pelajar dari Malaysia yang paling banyak membantu sepanjang menjadi musafir di bumi Lucknow.

Mereka fasih berbahasa Urdu. Itu menyebabkan banyak pemilik kedai di sekitar Lucknow mengenali mereka.

Bandar Lucknow juga terkenal dengan penduduk beragama Islam. Banyak masjid didirikan meskipun Lucknow adalah tempat terbesar didiami golongan Syiah di India.

Darul Uloom memperjuangkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perkara itu tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak.

Selain itu, keunikan bandar Lucknow ialah bangunan bersejarah dihiasi reka bentuk unik dan halus antaranya pintu gerbang Rumi Darwaza yang dibina ketika pemerintahan Nawab Asaf-Uddaula pada 1784.

Terdapat juga banyak gerai yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan segar di sekitar bandar itu.

Kenangan menikmati ‘chai’ (teh susu) dan air tebu dicampur limau juga akan sentiasa diingati kerana ia hanya terdapat di Lucknow, India.

Penulis ialah Mohd Shahrizal Nasir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 8:36 AM