ANGGOTA tentera berkorban menjaga keselamatan negara.  Gambar hiasan
ANGGOTA tentera berkorban menjaga keselamatan negara. Gambar hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

TAKBIR raya bakal berkumandang menandakan kesyukuran umat Islam menamatkan ibadat puasa di bulan Ramadan al-Mubarak.

Ia lambang kemenangan setiap Muslim dalam ‘medan perang’ menentang hawa nafsu.

Kini, ketibaan 1 Syawal bakal diraikan dengan penuh kesyukuran dengan laungan kalimah suci tasbih, tahmid dan takbir ke hadrat Allah SWT.

Bukan mudah untuk ‘berperang’ dengan hawa nafsu kerana ia begitu licik dan menggoda kita untuk melakukan kehendaknya.

Syawal adalah hadiah daripada Allah SWT buat setiap hamba-Nya yang ‘lulus’ cemerlang dalam ujian besar pada bulan Ramadan.

Pada sebelah malam menjelangnya satu Syawal, umat Islam tanpa mengira kedudukan status sosial akan bersama-sama berada melaungkan ucapan takbir, tasbih dan tahmid.

Namun begitu, ketika kita semua sedang bergembira menyambut kehadiran satu Syawal di samping ibu bapa, isteri serta anak tersayang, ada dalam kalangan kita terpaksa berkorban demi negara.

Namun, semua itu tidak menjadi halangan atau perkara mendukacitakan bagi mereka yang sememangnya sentiasa berse-dia memegang amanah dan tanggungjawab untuk
negara.

Lihat bagaimana perajurit dan perwira negara yang terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta demi menggalas tanggungjawab mempertahankan perbatasan negara daripada pencerobohan musuh.

Sudah pasti mereka sedih dan sayu mengenangkan suasana bahagia berhari raya tanpa anak, isteri dan ahli keluarga.

Sungguh besar dan mulianya pengorbanan mereka. Sudah tentu mereka juga tidak dapat memakai pakaian serba cantik serta berwarna-warni pada pagi Aidilfitri nanti kerana tertakluk kepada tugasan.

Atas prinsip besar lagi mulia mempertahankan tanah air, mereka sanggup melupakan seketika kegembiraan sambutan hari raya demi keselamatan kita semua.

Justeru, kita wajib bersyukur dan berterima kasih atas pengorbanan mereka.

Kepada perajurit tanah air, kita doakanbanan murni mereka itu menjadi ibadat yang memperoleh ganjaran terbaik di sisi Allah.

Pengorbanan mereka itu adalah satu jihad yang sangat disanjung oleh seluruh lapisan masyarakat.

Disebabkan pengorbanan itu, maka rakyat mampu merayakan Aidilfitri dalam suasana penuh keceriaan dan kesejahteraan.

Demikian juga kepada doktor, jururawat, pembantu hospital serta kepada sesiapa sahaja yang terpaksa melupakan detik gembira bersama keluarga demi tanggungjawab terhadap kerja.

Yakinlah dengan niat semata-mata kerana Allah, segala pengorbanan itu tidak sia-sia kerana anda tergolong dalam kalangan yang pernah digelar Rasulullah SAW sebagai insan yang bermanfaat untuk insan lain.

Dalam satu hadis, Baginda SAW yang memberitahu, “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang berguna (bermanfaat) bagi manusia lainnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bagi kita yang diberi peluang dan rezeki dapat bercuti menyambut Aidilfitri tahun ini, pastikan kita mengenakan pakaian terbaik ketika menuju ke masjid dan berziarah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam. Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat, terutama pada hari Jumaat dan Hari Raya dan juga memakai wangian yang semerbak harumnya), dan makanlah dan minumlah serta jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampau batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 9:53 AM