ZIKRI (kanan) bersama Imam Besar Masjid Kalibunar, Ali Cikotik yang menggerakkan masyarakat di sana membina masjid serta menganjurkan aktiviti pembangunan insan untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

SEBELUM ini, bumi Bosnia pernah menghadapi saat sukar apabila rakyatnya terbabit dengan perang saudara.

Malah, ia diingati sebagai peristiwa paling menyedihkan dalam sejarah Eropah moden.

Peperangan berlangsung selama empat tahun dari 1992 hingga 1995 itu menyaksikan pembantaian rakyat berlaku terutamanya di wilayah diduduki majoriti umat Islam.

Selepas 28 tahun berlalu, kini sudah terpancar sinar kebangkitan rakyatnya.

Malah, satu fenomena berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila negara itu menerima kehadiran ramai pelancong terutamanya dari negara Islam.

Perkembangan itu menjadikan aktiviti pelancongan di Bosnia kian melonjak. Jika sebelum ini, aktiviti pelancongan negara itu mungkin kurang popular.

Malah, pendapatan dijana melalui aktiviti pelancongan juga tidak ‘dirasai’. Namun, sejak 2015, aktiviti pelancongan melonjak sehingga menjadi antara pendapatan utama kepada negara berkenaan.

Ia dimulakan oleh syarikat pelancongan milik masyarakat Muslim Turki yang memperkenalkan pelbagai produk dan pakej pengembaraan ke Bosnia.

Kemudian ia diperluaskan kepada syarikat pelancongan Muslim termasuk di Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.

Pengalaman berulang-alik ke negara itu sejak lima tahun lalu membuatkan pemilik syarikat Trip Kekawan iaitu pengendali pelancongan bebas, Zikri Fuad Abdul Salam sentiasa terpaut untuk kembali ke sana kerana beberapa perkara.


PEMANDANGAN di sekitar kota lama Travnik yang pernah menjadi ibu negara Bosnia sebelum dipindahkan ke Sarajevo.

Antaranya, Bosnia memiliki bumi yang mempesona, masyarakatnya yang sangat menghargai tetamu serta dapat menikmati pelbagai makanan halal pada harga yang sangat berpatutan.

Menurutnya, bukan itu sahaja, malah matlamat paling utama dia serta rakannya berkunjung ke negara berkenaan adalah bagi membantu aktiviti dakwah yang dikelolakan masyarakat tempatan.

“Sebenarnya, masyarakat di sana sangat menghormati dan menyanjungi Malaysia serta Turki.

“Dua negara ini sangat berjasa kepada rakyat Bosnia di atas bantuan diberikan dari sudut pendidikan, kewangan dan prasarana selepas mereka mengalami konflik perang.

“Bercerita mengenai sifat fizikal negara itu, memang masih terdapat banyak kekurangan dan dianggap miskin berbanding jirannya Serbia, Croatia serta Montenegro,” katanya.

Beliau berkata, selepas Perang Dunia Kedua, Bosnia dijadikan negara di bawah pemerintahan komunis.

“Itu antara cabaran yang perlu dihadapi empat atau lima generasi Muslim Bosnia kerana sebelum ini mereka tidak boleh mengamalkan ajaran Islam kerana ia dikawal cukup ketat.

“Selain itu, boleh dikatakan di sana masih lagi wujud ketegangan antara agama terutamanya di kawasan penduduk berketurunan Serb namun ia terkawal. Keturunan Serb sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang kasar.


SEORANG sukarelawan membersihkan masjid pada setiap hari selepas solat Asar.

“Mengenai politik pula, Bosnia mengamalkan sistem yang rumit kerana mereka memiliki tiga presiden yang akan mengalami pertukaran pimpinan setiap lapan bulan,” katanya.

Zikri berkata, ketika berada di negara berkenaan, biasanya dia bersama pasukannya akan ke kawasan yang kurang dilawati seperti Blagaj, Jablanica dan Bihac.

“Jablanica misalnya, bandar itu terkenal dengan hidangan kambing golek. Untuk satu kilogram daging, kita boleh dinikmati dengan harga sangat murah iaitu kira-kira RM30.

“Di Bihac pula, kita dapat menikmati suasana kota lama cukup mendamaikan ditambah air sungainya yang cukup jernih.

“Di sana juga terdapat bangunan gereja berusia lebih 700 tahun yang dijadikan masjid selepas dibeli ketika kota itu jatuh di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyyah pada 1592.

“Sepanjang pengembaraan ke negara berkenaan juga, saya mendapati satu budaya hebat masyarakat di sana adalah mereka sangat pembersih.

“Masjid di sana tiada siak seperti di negara kita. Masjid Kalibunar di Travnik misalnya, tandasnya sangat bersih dan terjaga. Ia boleh menandingi kebersihan seperti

diamalkan di Jepun.


PESERTA rombongan bergambar berlatarbelakangkan Masjid Kalibunar di wilayah Travnik yang menjadi antara program dakwah bersama masyarakat di sana.

“Rahsianya, mereka mempunyai jadual pembersihan pada setiap hari selepas solat Asar yang dilakukan ahli kariahnya secara sukarela.

“Satu yang mengagumkan ialah kerja pembersihan itu dilakukan dua atau tiga keluarga secara bergotong-royong. Ia membabitkan semua lapisan masyarakat dari kanak-kanak sehingga warga tua,” katanya.

Menurutnya, amalan berwakaf masyarakat Islam di sana juga sesuatu yang luar biasa.

“Hampir 90 peratus sumber kewangan bagi membina masjid atau sekolah datangnya daripada hasil wakaf penduduk tempatan.

“Mereka mengambil masa sehingga sembilan tahun bagi menyiapkan sedikit demi sedikit aktiviti pembangunan sebuah masjid.

“Masjid menjadi pusat sehenti yang turut digunakan sebagai madrasah serta pusat dakwah.

“Malah, studio bagi menghasilkan program bercorak dakwah turut dibuka. Semua kandungan bermanfaat itu kemudiannya dikongsi menerusi saluran televisyen serta Internet,” katanya.


PEMANDANGAN menarik di wilayah Blagaj.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 10:02 AM