GAMBAR hiasan
Suriany Awaludin

SEKARANG saya tinggal bersama ibu mentua di Seremban, Negeri Sembilan kerana isteri baru melahirkan anak sulung kami.

Bagaimanapun, di dalam rumah berkenaan turut dihuni sepupu lelaki isteri yang menumpang sementara menunggu mendapat pekerjaan tetap.

Dia bekerja sebagai pembantu restoran dan mula bekerja pada jam 4 petang sehingga 2 pagi.

Selama dua bulan berpantang ini, bolehkah saya membenarkan isteri tinggal serumah bersama orang lain?

Selain itu, saya turut memikirkan kehormatan serta pergaulan di dalam rumah itu ketika ketiadaan saya terutamanya ketika isteri perlu menyusukan bayi, berurut serta batas aurat.

Ezri, Kuala Lumpur.

Pergaulan dan aurat antara lelaki dan wanita bukan mahram tiada pengecualian dari segi hukum.

Ia ditetapkan syarak bersandarkan al-Quran dan hadis Nabi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya adalah bahagian badan di antara pusat dan lutut.

Ini bererti, mereka harus mendedahkan seluruh anggota badannya yang lain di hadapan mahramnya dengan syarat terhindar daripada berlakunya fitnah.

Jika ada kemungkinan berlaku fitnah, hukumnya tetap haram. Batasan aurat juga berbeza antara sesama Islam, jantina atau mahram dan bukan mahram.

Had aurat perempuan dengan lelaki yang bukan mahramnya adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Larangan mendedahkan aurat dengan lelaki bukan mahram memberi kesan kepada kehormatan dan kesejahteraan manusia sejagat.

Malah, ia menjadi perisai daripada hasutan dan tuntutan nafsu syahwat. Bukan sahaja perempuan atau isteri perlu menjaga dirinya, malah suami, bapa, adik-beradik lelaki juga wajib memelihara aurat wanita ini daripada dilihat oleh bukan mahramnya.

Menjaganya diberi ganjaran pahala manakala mengabaikan atau gagal mematuhinya akan mendapat dosa.

Bagi situasi pembaca yang menempatkan isteri di rumah ibunya yang terdapat lelaki bukan mahram tinggal bersama, ia perlu ditangani dengan hikmah.

Isteri tinggal di rumah ibunya bagi menjalani proses berpantang. Justeru, langkah lebih berhati-hati perlu diambil isteri serta suami.

Sekiranya suami tiada bersama, isteri sangat dituntut menjaga dirinya supaya auratnya terpelihara. Pastikan ibu atau orang lain yang mempunyai pertalian darah atau mahram ada bersama.

Isteri tidak boleh ditinggalkan bersendirian dengan sepupunya di rumah berkenaan untuk tempoh yang panjang atau kerap.

Jika itu berlaku dan tidak dapat dielakkan, sewajarnya suami membawa isteri tinggal bersamanya sehingga ada ibu atau mahramnya kembali ke rumah berkenaan.

Sekiranya perlu menyusukan bayi atau berurut, lakukan di dalam bilik sahaja. Jika perlu keluar dan akan bertembung dengan sepupu, isteri perlu mengelak daripada menyusukan bayi atau mendedahkan auratnya.

Jika isteri sudah kuat atau sihat, dia boleh dibawa pulang ke rumah sendiri sebaik sahaja selesai urusan berurut dan penjagaan lain.

Lazimnya, hubungan persaudaraan seperti sepupu dianggap umpama adik-beradik menurut adat dan masyarakat kita.

Ada yang terlepas pandang batasan aurat yang perlu dijaga sekalipun hubungan itu rapat seperti adik-beradik.

Kita perlu sama-sama mendidik diri dan ahli keluarga mengenai kewajipan itu. Meminjam kata-kata ilmuwan, kita perlu betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:57 AM