GAMBAR hiasan.
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

BERMULA Zulkaedah menandakan permulaan penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci mengikut jadual yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji Malaysia.

Allah mensyariatkan kepada umat Islam yang melakukan haji supaya memulakan rihlah iman itu dengan hati ikhlas seperti yang terangkum dalam laungan seruan talbiah.

“Aku memenuhi panggilan-Mu ya Allah, Aku memenuhi panggilan-Mu, Aku memenuhi panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.”

Talbiah yang menyentuh emosi dan perasaan itu menggambarkan keadaan umat Islam untuk sentiasa beriltizam dengan mentauhidkan Allah dengan hati penuh ikhlas serta menjauhi segala perbuatan syirik.

Allah berfirman dalam surah Al-Hajj, ayat 27 yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Sesungguhnya, menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mempunyai kemampuan.

Abu Razin Al ‘Uqaili meriwayatkan, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah mengenai bapanya yang sudah tua, tidak mampu mengerjakan haji dan umrah.

Lalu Rasulullah menjawab: “Tunaikan haji bagi pihak bapamu dan lakukanlah umrah.” (Riwayat at-Tirmizi)

Khabar gembira buat mereka yang sudah berjaya mengerjakan haji dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan lantaran Allah menjanjikannya dengan balasan syurga.

Hal itu dinyatakan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan haji kemudian dia tidak mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak berbuat maksiat, maka dia bersih daripada dosa bagaikan dia berada pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dengan hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa. Manakala haji yang mabrur tiada balasan yang lain melainkan syurga.”

Justeru, jemaah haji yang dipilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini diingatka supaya sentiasa membersihkan niat sepanjang berada di Tanah Suci dan gunakan sepenuh masa dan tenaga ketika berada di sana untuk melaksanakan amal ibadat supaya beroleh haji mabrur.

Jangan terlalu leka membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan leka menggunakan telefon bimbit.

Gunakan setiap waktu yang ada bagi memperbanyakkan ibadat dengan pergi ke masjid untuk berjemaah, memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir.

Bagi yang belum mendaftar untuk menunaikan haji, segerakan mendaftar dan jangan bertangguh lagi. Sentiasa banyakkan bersabar dan berdoa mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan cepat mendapat giliran menjadi tetamu Allah.

Mari sama-sama kita doakan supaya semua jemaah haji Malaysia saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu lain.

Elakkan daripada bertengkar, bergaduh dan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan supaya ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:00 AM