GAMBAR hiasan.
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

LIBERALISME adalah fahaman yang menuntut kebebasan hidup tanpa batasan kerana kononnya untuk menjaga hak asasi manusia.

Fahaman itu mengajak umat Islam berfikir dengan bebas mengikut logik akal semata-mata dengan mengetepikan ajaran agama Islam yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

 Sekiranya fahaman itu disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan terbabit dengan pantas mencanang satu dunia hak kebebasan mereka dicabuli.

Penganut fahaman berkenaan juga mendakwa Islam mengongkong, jumud, membataskan kemajuan malah cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan menafikan pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa sebagai tidak mengikut perlembagaan, tidak adil, zalim dan tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sudah tentu dakwaan itu tidak benar. Islam adalah agama yang diturunkan Allah SWT lengkap meliputi peraturan, undang-undang yang mengatur kehidupan manusia dalam semua aspek bagi kesejahteraan hidup manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 83 bermaksud: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.”

Contohnya, berita yang pernah dipaparkan dalam media mengaitkan idea songsang daripada suatu kumpulan mendakwa perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT sahaja.

Malah, golongan terbabit turut mempertahankan perlakuan itu tidak boleh dikatakan berkhalwat atas alasan ia dilakukan di rumah persendirian.

Mereka juga mencadangkan hukuman terhadap kesalahan berkhalwat dimansuhkan kerana didakwa melanggar hak kebebasan seseorang.

Adakah ideologi itu akan diwariskan kepada anak cucu kita? Adakah itu yang diingini pejuang kebebasan?

Bebas berkhalwat dan hasilnya kita melihat bayi yang tidak berdosa dibuang bagaikan bangkai binatang.

Jangan terkejut jika kita menemui bayi di hadapan rumah kita adalah anak atau cucu kepada pejuang kebebasan itu sendiri.

Matlamat undang-undang kesalahan khalwat digubal bertujuan untuk mengawal dan mencegah daripada berlakunya kesalahan lebih besar iaitu zina.

Islam juga memberi peringatan untuk mencegah sesuatu yang mungkar bagi menjamin kemaslahatan umat Islam daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Oleh sebab itu, Islam menetapkan supaya lima asas Maqasid Syariah wajib dijaga dan dipelihara iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu dua perkara yang mana jika kamu berpegang kepada keduanya kamu tidak akan sesat selamanya, kitab Allah (al- Quran) dan sunahku.”

Konsep kebebasan dalam Islam ada batas dan sempadan yang perlu dipatuhi. Umat Islam dilarang melakukan kemungkaran dan maksiat secara bebas mengikut kehendak hawa nafsu.

Melihat kepada ideologi liberalisme yang bertentangan dengan syariat Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 memutuskan, aliran pemikiran liberal adalah suatu ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Penulis mengajak pembaca untuk merenung dan kembali kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah supaya tidak terpedaya dengan pemikiran liberalisme yang boleh menggugat iman umat Islam.

Marilah kita bersama-sama menentang fahaman terbabit kerana ia merosakkkan akidah generasi hari ini dan yang akan datang.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:32 AM