JAWA Barat di Indonesia dihuni kira-kira 35 juta penduduk. Ibu kotanya adalah Semarang dan ia terkenal dengan jolokan Kota Wali Allah.

Pesara guru, Mustaffa Siraj, 57, bersama 27 rakannya berpeluang ke Semarang dan Jogjakarta baru-baru ini, bertujuan menziarah makam Wali Allah di sana. 

“Kami dibawa ke pekan Kadilangu untuk menziarah makam Sunan Kalijaga yang juga wali Allah SWT yang hidup pada abad ke-15,” katanya seperti yang diceritakan kepada wartawan, Mohd Fadly Samsudin.

Nama sebenar Sunan Kalijaga adalah Raden Mas Said. Pada awalnya, beliau suka mencuri daripada orang kaya sebelum diagihkan dalam kalangan orang miskin. 

Tetapi selepas dinasihati dan belajar daripada Sunan Bonang, Radin Said insaf, berubah dan memulakan hidup baru sebagai pendakwah.

Pada abad ke 15, masyarakat Jawa Tengah masih tebal dengan pengaruh dan budaya Hindu. 

Maka Sunan Kalijaga mengambil inisiatif menarik orang ramai kepada ajaran Islam.

Sunan Kalijaga menggunakan pendekatan muzik gamelan, nyanyian dan wayang kulit, yang diselitkan dengan penghayatan ajaran Islam.

Beliau tidak berusaha mengubah secara drastik segala pengaruh Hindu. Langkah Sunan secara halus dan teratur dalam berdakwah berjaya menarik minat ramai untuk memeluk Islam. 

Penduduk Cirebon, Demak, Pandanaran, Kebumen dan Banyumas kemudiannya mula mendekati sebelum memeluk Islam.

Jasa Sunan Kalijaga dan wali Allah SWT yang lain seperti Sunan Bonang, Sunan Gunung Jati, Sunan Ampel dan Sunan Kudus amat besar dalam penyebaran Islam di Pulau Jawa.

Kaedah dakwah Sunan Kalijaga juga menarik di mana beliau bergerak secara berdiplomasi dan berhikmah, tanpa mengecam atau memburuk-burukkan pegangan masyarakat ketika itu yang lebih lapan abad menganut Hindu dan Buddha.

Kerja keras beliau dan lapan lagi wali membuahkan hasil hingga berjaya mengislamkan lebih 95 peratus penduduk Pulau Jawa.

Ketika kunjungan kami, ramai masyarakat Islam turut berziarah. 

Mereka membaca al-Quran, berwirid, bertahlil dan melakukan ibadat lain berhampiran makam Sunan Kalijaga.  Masyarakat memandang tinggi kepada Sunan Kalijaga.

Di sekitar makamnya, terdapat puluhan makam kaum keluarga dan keturunannya. Makamnya juga dijaga bersih dan ada jawatankuasa pengelola makam. 

Terdapat juga deretan gerai di sepanjang jalan menuju makam.

Kami turut berkunjung ke Masjid Agung Demak. Masjid berkenaan dibina oleh Sunan Kalijaga pada zaman Raden Fatah sebagai pemerintah pada masa itu. 

Masjid itu siap dibina pada 1479 Masihi. Tidak seperti masjid lain yang mempunyai kubah dan berpengaruh Arab, masjid ini bercirikan bumbung pengaruh Hindu dan mempunyai banyak ukiran kayu.  Terdapat dua beduk besar di masjid ini bagi menyeru orang ramai menunaikan solat. 

Di sebelah masjid, ada muzium yang memaparkan sejarah dan perkembangan masjid itu dan Islam di Jawa Tengah.

Kami meneruskan perjalanan ke Jogjakarta dan singgah sebentar di Masjid Agung Al-Aqsa di Klaten, Solo. 

Masjid besar itu memiliki seni bina indah selain mempunyai pengaruh Arab. 

Mihrabnya setinggi 10 meter dan ia mampu menampung 3,000 jemaah pada satu masa.

Terdapat pelbagai ukiran di dalam dan di luar selain kolam ikan di pekarangan masjid.

Di Jogjakarta pula, kami ke Kraton yang juga istana pemerintah kerajaan Islam Mataram, Sultan Hamengkubuwono.

Ia siap dibina pada 1650 Masihi. Selain kediaman pemerintah, terdapat balai persembahan, balai alatan gamelan, wakaf penari budaya selain ruang pameran bahan peninggalan pemerintah.

Sultan Hamengkubuwono ke-9 adalah pemerintah yang hebat malah berjuang menentang penjajahan Belanda.

Pada zaman Presiden Suharto, beliau dilantik sebagai wakil Presiden. 

Kami turut melawat muzium kecil sultan-sultan berkenaan.

Foto menunjukkan beliau seorang pemimpin yang disegani, aktif bersukan dan bijak dalam pelbagai bidang.

Banyak lagi makam wali Allah di Semarang, Jogjakarta dan Surabaya yang wajar kita kunjungi. 

Jasa dan bakti mereka dalam penyebaran Islam di Jawa wajar diingati dan diambil iktibar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:10 AM