GAMBAR hiasan.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

SETIAP Muslim adalah bersaudara, saling menyayangi antara satu sama lain. Ada masanya mereka mempunyai pendapat saling bercanggah dan mempunyai pandangan tersendiri.

Bagaimanapun, tidak wajar perselisihan sesama umat Islam berpanjangan sehingga  melemahkan umat.

Berpadalah dalam menyanjung pandangan masing-masing yang tidak sehaluan. Perpecahan hanya menampakkan keburukan umat Islam sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta golongan yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Dalam situasi semasa, cukuplah politik menjadi medan percanggahan pandangan sesama sendiri.

Meskipun ia satu perkara normal kerana percanggahan pandangan terhadap perkara berbentuk furu’ dalam pengurusan kehidupan bernegara, jangan lah percanggahan itu berlarutan menyerap masuk dalam perkara lain.

Sepatutnya setiap perbezaan boleh diurus dengan baik tanpa membabitkan  persengketaan melampaui batas.

Itulah  perkara yang perlu menjadi ingatan pemimpin politik serta pengikut yang beragama Islam.

Tidak salah bercanggah pandangan, tetapi biarlah dalam ruang lingkup dibenarkan syarak.

Apabila percanggahan isu politik,  ada yang sanggup mendedahkan keaiban peribadi saudara seagamanya atau menabur fitnah sehingga menjatuhkan maruah orang lain.

Perkara sebegini dilarang Islam dengan larangan yang amat jelas. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam bab ekonomi, umat Islam perlu sedar kekuatan ekonomi umat Islam pastinya bergantung kepada kuasa membeli setiap orang Islam.

Konsep bantu-membantu sesama umat Islam adalah petua terbaik bagi melihat keutuhan ekonomi umat Islam.

Sebab itulah dalam perbankan Islam, ada  banyak konsep bantu-membantu sesama Muslim kerana sistem ekonomi Islam sentiasa mengutamakan keperluan umat.

Dalam sistem perbankan konvensional wujud skim bantuan berdasarkan riba. Itu bukan satu bentuk bantuan, sebaliknya sistem yang menjerut orang lain berada dalam kesusahan.

Sebab itu,  umat Islam disaran supaya memilih sistem perbankan Islam yang kini banyak ditawarkan bank yang mengikut garis panduan syarak.

Begitu juga dalam konteks muamalat jual beli. Tidak perlu ada umat Islam yang memperkecilkan saranan agar pembelian barangan Muslim dijadikan keutamaan kerana cara itu dapat membantu memperkukuhkan ekonomi umat.

Jika setiap pengusaha Muslim mampu meraih keuntungan,  maka mereka perlu menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat perniagaan.

Bukankah itu dapat meningkatkan pemerolehan zakat yang kemudian dapat disalurkan kepada golongan Muslim yang memerlukan?

Memang tidak semua barang keperluan dihasilkan golongan Muslim, namun bagi barangan yang dikeluarkan saudara seagama, mengapa tidak diberi sokongan.

Jika kita tidak mampu melakukan semuanya, usah tinggalkan semuanya. Pada masa sama, pihak pengeluar produk Muslim perlu berusaha mempertingkatkan mutu produk keluaran mereka.

Itulah konsep tolong-menolong sesama Muslim yang disarankan Islam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dari sudut sosial pula, banyak saranan Islam membuktikan umatnya perlu mengamalkan kehidupan harmoni dalam masyarakat.

Tidak ada yang saling menyakiti, memusuhi, menganiaya dan seumpamanya kerana hakikatnya umat Islam bersaudara.

Suasana harmoni sesama umat Islam ditunjukkan sendiri sahabat Rasulullah SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:35 AM