GAMBAR Hiasan
Dr Azlan Shaiful Baharum

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sahihnya mengenai kisah seorang ahli ibadah daripada Bani Israel yang menghambakan dirinya kepada Allah lebih 60 tahun.

Pada satu hari, lelaki itu keluar dari tempat ibadahnya. Secara tidak sengaja, dia bertemu seorang wanita cantik. Wanita itu menggodanya sehingga dia lupa akan dirinya lalu berzina dengannya.Setelah berzina, muncul penyesalan mendalam pada diri ahli ibadah berkenaan. Dia menangis dengan bersungguh-sungguh sehingga pengsan.Ketika sedar, dia masih berasa menyesal akan perbuatannya. Di tengah tangis pilunya itu, datang seorang pengemis lapar meminta belas kasihan.Kebetulan di tangannya ada dua keping roti lalu disedekahkan kepada pengemis itu. Nafsu makan ahli ibadah itu hilang sama sekali disebabkan penyesalannya yang mendalam.Dalam kemurungan dan kesedihannya itu, akhirnya dia meninggal dunia. Di akhirat kelak, apabila dipertimbangkan ternyata amal ibadatnya selama 60 tahun masih ringan jika dibandingkan dengan satu perbuatan keji dilakukannya.Kemudian, setelah kebaikannya memberi sedekah dua keping roti itu disertakan, maka beratlah amal kebaikannya. Maka dia pun diampunkan.Oleh yang demikian, kita perlu sedar, ibadat demi ibadat kita tidak cukup untuk meraih syurga Allah SWT. Solat, zikir, tilawah al-Quran, puasa, bahkan haji sekalipun belum tentu menjamin keselamatan kita di akhirat kelak. Apatah lagi, maksiat demi maksiat kita tidak pernah berhenti melakukannya. Memberi makan kepada orang lain adalah satu amal kebajikan dan kemasyarakatan yang sangat mulia.Mengenyangkan orang lain adalah amalan yang sangat dianjurkan Islam. Rasulullah SAW bersabda yag bermaksud: “Sesiapa dalam kalangan mukmin yang memberikan makanan kepada mukmin yang kelaparan, pada hari kiamat nanti Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan syurga. Sesiapa dalam kalangan mukmin yang memberikan minuman kepada mukmin yang kehausan, pada hari kiamat nanti Allah akan memberikan minuman daripada minuman syurga. Sesiapa dalam kalangan mukmin yang memberikan pakaian kepada mukmin yang lainnya supaya tidak telanjang, pada hari kiamat nanti Allah akan memberikan kepadanya pakaian daripada perhiasan syurga.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)Dalam hadis lain diriwayatkan, orang yang gemar memberi makanan kepada orang lain disediakan baginya pintu khusus dalam syurga yang tidak ada yang boleh memasukinya selain dirinya dan yang sama dengannya. (Hadis Riwayat at-Thabrani) Selain itu, orang yang gemar memberi makan kepada orang lain, pada hari akhirat mereka akan memperoleh naungan arasy Allah SWT.“Tiga perkara siapa pun yang ada padanya, kelak akan dinaungi oleh Allah di bawah arasy-Nya pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya iaitu orang yang berwuduk pada waktu cuaca dingin, mendatangi masjid walaupun dalam keadaan yang gelap dan memberi makan kepada orang yang kelaparan.” (Hadis Riwayat Abu Muslim al-Ashbahani)

>>Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 8:06 AM