GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

PENYESALAN adalah satu perkara yang sepatutnya dielakkan. Biasanya penyesalan timbul disebabkan kecuaian manusia dalam mengurus sesuatu perkara.

Ia menyebabkan peluang keemasan yang sepatutnya dimanfaatkan berlalu pergi.

Akhirnya membawa kesan yang tidak diingini lantas menyebabkan diri menyesal.

Orang yang tidak belajar bersungguh-sungguh akan menyesal ketika mendapat keputusan tidak cemerlang.

Begitu juga orang yang tidak bekerja dengan baik akan menyesal ketika hasil kerjanya tidak memuaskan.

Ada juga orang yang ketika usia mudanya disibukkan dengan hal dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama.

Lalu dia menyesal ketika usia tuanya kerana masih jahil berkenaan agama.

Semua penyesalan itu sebenarnya bukanlah pengakhiran kepada kehidupan manusia.

Masih ada ruang yang boleh dimanfaatkan bagi menebus kekesalan itu.

Malah, rasa insaf dengan apa yang sudah berlalu adalah satu rahmat besar kerana dengan itulah diri dapat diperbaiki untuk menjadi insan lebih baik.

Namun, penyesalan yang tidak berguna ialah ketika hidup sudah berakhir.

Ketika diri berada di akhirat nanti, ada golongan yang akan menzahirkan penyesalan kerana tidak memanfaatkan kehidupan sebaiknya ketika berada di dunia.

Penyesalan itu tidak mampu untuk mengembalikan kehidupannya ke dunia.

Golongan kafir yang tidak beriman kepada Allah SWT adalah kelompok yang amat menyesali perbuatan mereka ketika di dunia.

Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya) iaitu hari seseorang melihat apa yang  diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah an-Naba’, ayat 40)

Ketika Allah SWT memperlihatkan perbuatan golongan kafir di dunia dan mereka bakal menerima azab seksa daripadaNya, mereka amat menyesali buruknya kehidupan ketika di dunia. Sehingga mereka mengatakan alangkah baiknya jika mereka dahulu adalah tanah yang pasti tidak akan dihitung oleh Allah SWT.

Ketika datang seruan agar mereka mengesakan Allah SWT dan menerima Islam sebagai agama, semuanya ditolak dan mereka kekal berada dalam keadaan mensyirikkan Allah SWT.

Maka,  selayaknya mereka menyesali perbuatan sendiri ketika berada di akhirat.

Ketika itu, kehidupan dunia sudah pasti tidak akan kembali semula.

Orang yang ingkar terhadap perintah Allah SWT juga diperlihatkan penyesalan mereka dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “Serta diperlihatkan neraka Jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik) dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini).” (Surah al-Fajr, ayat 23-24)

Itulah  antara bentuk penyesalan yang perlu disedari manusia termasuk juga orang Islam.

Ini kerana orang Islam yang melakukan dosa dan tidak bertaubat kepada Allah SWT juga akan menerima azab daripadaNya sebelum dimasukkan ke syurga.

Semua ayat-ayat Allah SWT yang menggambarkan perihal golongan yang menyesal di akhirat kelak bertujuan bagi menyedarkan kita yang masih hidup ini.

Sebab itulah Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar memanfaatkan nikmat kesihatan dan kehidupan sebaiknya agar tidak menyesal pada kemudian hari.

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 9:13 AM