GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

MASJID adalah lambang syiar Islam. Bertapaknya Islam di bumi Arab banyak dibantu menerusi usaha dakwah dengan kewujudan masjid.

Malah, sejarah memaparkan bagaimana Baginda SAW sendiri memulakan usaha mengembangkan syiar Islam di lokasi penghijrahannya di  Madinah dengan mendirikan masjid.

Pembinaan Masjid Quba, kemudiannya pembinaan Masjid Nabawi membuktikan masjid begitu sinonim dengan usaha pengembangan Islam.

Selepas lebih 1,400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, usaha mendirikan masjid tidak pernah terhenti.

Masjid adalah simbol penyatuan anggota kariah. Ia dapat menyatukan silaturahim sesama masyarakat Muslim tanpa mengira darjat keturunan, status sosial mahupun anutan fahaman politik.

Dalam aspek mendirikan solat berjemaah contohnya, masjid berupaya menjadi tempat paling berkesan dalam mempereratkan hubungan umat Islam.

Seandainya semua ahli kariah memahami matlamat wujudnya sesebuah  masjid, maka diyakini perkara negatif seperti perbalahan seperti perbezaan fahaman politik dapat dibendung.

Baru-baru ini, Sultan Perak,  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan semua pihak yang diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah masjid mengamalkan sikap tegas dan bijaksana.

Baginda mengingatkan golongan itu supaya tidak membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan mana-mana kumpulan politik.

Titah Sultan Nazrin: “Jika  ada yang memiliki agenda dan cita-cita politik, mereka hendaklah secara jujur dan mula berundur daripada bersifat gunting dalam lipatan.

“Jawatankuasa kariah masjid hendaklah setiap masa bersifat berkecuali daripada politik kepartian, ceramah yang berlangsung dalam masjid dan surau hendaklah juga tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah.

“Pemegang  amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid sebagai institusi menyatupadukan ummah, institusi yang wajib dimuliakan, diimarahkan dan wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.”

Dalam suasana masyarakat dengan pelbagai fahaman politik, saranan Sultan Nazrin itu perlu diambil berat.

Kita tidak mahu wujudnya masjid yang dilabel mengikut puak atau kumpulan tertentu.

Sebagai umat Islam, kita tidak mahu menyaksikan masjid atau surau menjadi tapak memecahkan kesatuan ummah, sebaliknya kesuciannya mesti diutamakan dengan saling memelihara diri daripada terjebak dengan sebarang unsur yang mencetuskan rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

Masjid dan surau adalah tempat untuk kita satukan hati umat Islam.

Rangkaian petikan titah Sultan Perak itu sebenarnya lahir daripada lubuk hati Baginda yang tidak mahu melihat kemelut dan konflik sesama masyarakat berlaku dan terus meruncing.

Pastinya kita juga sama sekali tidak inginkan hal sedemikian terjadi. Cukuplah apa yang berlaku di negara yang lain.

Apa gunanya masjid banyak didirikan, tetapi masyarakatnya saling berkonflik dan berbalah.

Ingatlah apa yang pernah diungkapkan oleh orang tua kita dahulu, api ketika kecil menjadi kawan, tetapi tatkala marak menyala membakar diri.

Begitu juga dengan titik perpecahan yang asalnya hanya bersifat kecil namun seandainya dibiarkan berlarutan tidak mustahil boleh menimbulkan permusuhan besar.

Golongan yang memegang amanah perlu mengorak langkah mendekatkan yang jauh serta  mengeratkan yang dekat.

Ahli jawatankuasa masjid atau surau selayaknya menjadi pihak pertama dalam menyatupadukan masyarakat setempat.

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 8:53 AM