GAMBAR hiasan.
Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

MINGGU ini adalah minggu pertama cuti persekolahan. Bagi murid serta pelajar terutamanya, kehadiran cuti sekolah pada akhir tahun selama lebih sebulan ini adalah waktu yang amat dinanti-nantikan.

Pastinya pelbagai aktiviti dirancang sebelum cuti persekolahan bermula lagi.

Ingatan diberikan lebih 400,000 guru di seluruh sekolah rendah dan menengah supaya memanfaatkan cuti persekolahan dengan aktiviti berfaedah harus dijadikan panduan buat ibu bapa.

Media sering melaporkan kes membabitkan pelajar seperti kemalangan jalan raya akibat lumba haram, aktiviti basikal lajak, pergaduhan serta aktiviti yang tidak bermoral ketika musim cuti persekolahan berlangsung.

Anak di bangku sekolah pada zaman ini tidak seperti dahulu.

Ibu bapa harus bijak mengawal pergerakan anak supaya mereka tidak bersendirian dan terasing ketika musim cuti sekolah ini.

Baru-baru ini, pihak berkuasa membuat pendedahan mengejutkan apabila kanak-kanak perempuan seawal usia 12 tahun sudah ditangkap selepas terbabit dengan penganjuran pesta liar membabitkan pengaruh dadah dan sumbang mahram.

Pesta liar dilakukan di kediaman yang disewa khas itu dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

Ibu bapa perlu bertindak sebagai penasihat utama dalam mengawal aktiviti anak mereka agar tidak terjebak dengan gejala tidak bermoral.

Peranan ibu bapa ini disebut dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.”

Ini bermakna, anak memerlukan bimbingan, panduan dan nasihat daripada ibu bapa dalam melakukan aktiviti seharian.

Antara aktiviti yang boleh dipertimbangkan sewaktu cuti sekolah adalah seperti mengulang kaji pelajaran, mendalami ilmu agama, menziarahi keluarga di kampung, melakukan tugasan di rumah agar melatih mereka berdikari serta melakukan aktiviti yang dirasakan sesuai dengan perkembangan usia dan fizikal mereka.

Proses pembelajaran bukan hanya berlaku di sekolah semata-mata.

Penulis sendiri tertarik dengan langkah beberapa usahawan yang dikenali menghantar anak mereka bekerj sambilan di premis perniagaan milik mereka atau rakan niaga lain.

Sepatutnya, boleh sahaja anak duduk berehat di rumah, namun aktiviti itu dapat memberi pengalaman buat anak mereka terutama mengajar erti kesukaran mencari rezeki yang halal serta pendedahan terhadap alam pekerjaan sebenar.

Secara tidak langsung, anak juga akan menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa serta tidak mudah membazirkan wang begitu sahaja kerana mengerti bagaimana sukarnya mendapatkan wang.

Justeru, kita semua wajar menghayati sabda Nabi SAW menerusi riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi yang bermaksud: “Ambillah peluang yang lima sebelum datang lima yang lain, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, hidupmu sebelum matimu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu.”

>>Penulis penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:20 AM