GAMBAR Hiasan
hmdigital

Antara nafkah isteri dan nafkah ibu bapa, yang mana lebih perlu diberi keutamaan?

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Jabir r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” (Riwayat al-Bukhari - 6763) dan Muslim - 997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu.

Ulama sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.

Mahfum hadis itu menunjukkan, perkataan faliahlika adalah lebih kepada isteri dan anak.

Maka, tanggungjawab kepada isteri perlu diutamakan kecuali dalam keadaan darurat dan ibu bapa memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Hai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.”

Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.” (Riwayat Ahmad - 2335, Abu Daud - 1691 dan al-Nasa’ie - 2353)

Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi menukilkan, al-Khattabi berkata: Susunan itu jika engkau memperhatikannya, maka engkau akan mengetahui bahawa Baginda SAW mendahulukan yang utama dan kerabat yang dekat.

Hadis itu jelas menunjukkan tanggungjawab kepada isteri adalah yang utama selepas diri sendiri.

Imam Nawawi menyebut: Apabila berhimpun pada seseorang, orang-orang yang berhajat daripada mereka yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya.

Namun, sekiranya hartanya tidak lebih kecuali untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk keluarga lain. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/93)

Imam al-Syaukani berkata: Telah sampai pada tahap ijmak kewajipan memberi nafkah kepada isteri.

Kemudian jika masih ada lebihan harta daripada itu, barulah ada kewajipan nafkah terhadap keluarga lain.

Ulama menyebut, memberi nafkah kepada ibu bapa tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan iaitu ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.

Anak juga perlu mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat itu disepakati ulama.

Berdasarkan nas dan hujah ulama, kami berpendapat, nafkah kepada isteri perlu didahulukan kecuali dalam keadaan ibu bapa tidak berkemampuan untuk menyara diri.

Bantuan kepada ibu bapa jangan kita anggap beban, tetapi ihsan yang wajib ditunaikan sebagai hak mereka.

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:31 AM