GAMBAR Hiasan
Fahimi Zakaria

TAHUN 2019 ini menyaksikan beberapa kemalangan maut direkodkan berpunca daripada pemandu mabuk.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk pada 2017 adalah 212 kes.

Manakala tahun lalu, 191 kes dilaporkan. Ia jelas menunjukkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak cukup memberi kesan kepada pemandu yang membunuh pengguna jalan raya dan orang awam.

Jika negara bukan Islam seperti Taiwan memperuntukkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, maka Malaysia sebagai negara Islam sepatutnya lebih serius dalam usaha menangani jenayah terbabit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, patung dan tenung nasib suatu yang keji daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah perkara itu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 90)

Sementara itu, terdapat hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW mengatakan, peminum arak seperti penyembah berhala menunjukkan jenayah membabitkan arak sangat serius dalam Islam.

Imam al-Nawawi menyatakan, hukuman ke atas peminum arak adalah 40 kali sebatan (Syarh Sahih Muslim).

Bahkan, majoriti bersepakat itulah hukumannya sama ada peminum itu mabuk atau tidak.

Islam bukan bersifat hukuman semata-mata, tetapi datang bersama tujuan (maqasid) iaitu untuk menjaga akal (hifz al-‘aql) yang dianugerahkan Allah SWT.

Menerusi firman-Nya: “Hanya orang yang mempunyai akal sempurna sahaja mampu berfikir.” (Surah al-Ra’d, ayat 19)

Arak adalah kunci segala kejahatan (HR al-Hakim) manakala Uthman al-Affan berkata, arak menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran (HR al-Nasaie).

Betapa berat jenayah arak sehingga hukuman hudud dengan 40 kali sebatan ditambah lagi 40 kali pada zaman Umar al-Khattab sebagai hukuman takzir menunjukkan jenayah itu sebahagian daripada jenayah syariah yang sabit hukumannya dalam hukuman hudud.

Jika disoroti sejarah pengharaman arak, empat kali penurunan wahyu membicarakan arak secara khusus.

Ayat pertama turun di Makkah, ketika itu orang Islam masih meminum seperti biasa, namun ia masih halal. (Surah al-Nahl, ayat 67)

Kemudian di Madinah, selepas para sahabat bertanya kepada nabi mengenai arak, ada sebahagian mereka meninggalkannya manakala sebahagian masih meneruskannya kerana masih kabur larangan itu. (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Fasa ketiga melalui pengharaman arak khusus ketika ingin mendirikan solat sahaja. Lalu sahabat minum selepas Isyak kerana apabila masuk Subuh mereka kembali waras. (Surah al-Nisa’, ayat 43)

Namun, pengharaman arak secara mutlak apabila orang Islam mabuk sehingga menghina dan mencaci sesama mereka membawa kepada pergaduhan. (Surah al-Ma’idah, ayat 90)

Sebagai seorang Islam, kita wajib percaya larangan agama Islam pasti mengandungi pelbagai kebaikan (maslahah) sama ada bagi diri kita atau orang lain tanpa mengira apa agama dan kepercayaan.

>>Penulis Pensyarah Management & Science University (MSU)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 8:46 AM