FOTO HIASAN
Penulis peguam syarie

SEPASANG suami isteri masih belum bercerai, namun mereka memilih untuk tinggal secara berasingan dengan harapan masing-masing dapat peluang untuk bermuhasabah diri dan bertenang.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, suami minta untuk melakukan hubungan kelamin. 

Isteri ketika itu masih merajuk dan tidak berpuas hati lalu menolak permintaan itu.

Apakah hukum seandainya pihak isteri menolak kemahuan suaminya itu kerana tidak bersedia untuk berbaik lagi?

 

NRH

Ampang Jaya

 

Bagi pasangan yang menghadapi konflik hubungan suami isteri atau dalam rumah tangga disarankan untuk mengambil tindakan awal bagi menyelesaikannya.

Tidak perlu menunggu ia membesar menjadi barah dan kemudiannya melumpuhkan fungsi masing-masing hingga menyebabkan matlamat perkahwinan gagal dicapai. 

Atas kehendak bersama, keputusan tinggal berasingan diambil bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak berfikir dan mencari penyelesaian. 

Begitulah sebenarnya hikmah wujudnya tempoh idah sekiranya berlaku perceraian secara talak rajie iaitu talak yang boleh dirujuk. 

Ia juga adalah tempoh yang ditetapkan bagi suami dan isteri bermuhasabah dan membuat pembetulan diri mengapa terjadinya perceraian. 

Namun, dalam konteks hubungan dalam konflik dan rajuk, tinggal berasingan menjadi kaedah yang agak berkesan.

Suami hanya memerlukan beberapa hari dan merasakan keperluan dan nilai seorang isteri dalam hidupnya. 

Bagi isteri pula, sebagai wanita yang sinonim dengan jiwa yang penuh kelembutan, sensitif dan mudah diganggu emosinya, tidak dapat mencapai tempoh untuk pulih sebagaimana suaminya.

Dalam keadaan hati yang merajuk dan mungkin terluka, amat sukar suatu hubungan intim dilakukan dengan rela dan penuh kasih sayang. 

Maka, berlakulah penolakan sebagaimana seperti isu yang ditanya pembaca.

Di dalam hidup berumah tangga, isteri wajib mentaati suaminya pada perkara yang makruf. 

Dengan ketaatan itu, ia akan memudahkannya jalan ke syurga berdasarkan sebuah hadis yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.”

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama.

Antaranya, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami itu tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi menyatakan, hadis itu menjadi dalil haramnya seorang isteri menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang mengharuskan isteri menolak permintaan suami seperti suami gagal menjalankan tanggungjawab nafkahnya terhadap isteri, suami melakukan kezaliman ke atas isteri atau isteri sakit atau terlalu penat dan sebab lain yang dibenarkan syarak.

Berbalik kepada persoalan iaitu penolakan isteri yang masih marah atau merajuk kesan daripada konflik suami isteri, apakah alasan penolakan itu mempunyai asas keharusan di sisi syarak? 

Adakah suami yang menjadi punca atau pihak isteri?

Jika tiada alasan munasabah dan harus di sisi syarak, maka isteri tidak boleh menolak ajakan suami kerana perkahwinan itu masih wujud dan sah.

Namun, jika isteri masih rasa berkecil dan tidak puas hati, sewajarnya dia meluahkan dan berbincang dengan baik untuk menolak kehendak suami. 

Jelaskan kepada suami kesannya jika isteri tetap dipaksa melakukan hubungan intim itu sedangkan dia tidak rela. dan tidak dapat melakukannya dengan ikhlas. 

Hubungan intim suami isteri adalah hak bersama di antara isteri dan suami.

Ia perlu dibincang dan disepakati secara bersama dengan selain dilakukan dengan adab dan hukum-hakam yang perlu diraikan supaya tidak berlaku sebarang kezaliman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 10:10 AM