SENTIASA pelihara kesucian diri agar tindakan dilakukan tidak merendahkan dan menjatuhkan martabat. FOTO Syamsi Suhaimi
SENTIASA pelihara kesucian diri agar tindakan dilakukan tidak merendahkan dan menjatuhkan martabat. FOTO Syamsi Suhaimi
Dr Azlan Shaiful Baharom

HISYAM bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW.

Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini meliputi sifat dan akhlak mulia seperti malu, mulia, berani, menepati janji, ringan tulang, cerdas, ramah, sabar, memuliakan anak yatim, suka tersenyum, jujur, pandai menjaga diri, pemaaf dan berjiwa bersih.

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa Nabi Muhammad mempunyai sifat takwa yang mendalam terhadap Allah SWT dan sifat luhur.

Takwa kepada Allah dapat memperbaiki hubungan antara seorang hamba dan Tuhannya, manakala akhlak mulia dapat memperbaiki hubungannya dengan sesama makhluk Allah.

Oleh itu, takwa kepada Allah akan melahirkan cinta seseorang kepada-Nya dan akhlak mulia dapat menarik cinta manusia kepada-Nya.

Jawapan Saidatina Aisyah yang disebutkan tadi singkat namun sarat dengan mutiara yang indah dan pedoman yang ampuh.

Beliau mengaitkan Rasulullah dengan satu sifat yang universal yang mewakili seluruh sifat mahmudah yang ada.

Memang tepat, akhlak Nabi adalah sememangnya al-Quran.  

Allah berfirman, “...al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus...” (Surah Al-Israa': 9)

Dan satu ayat lagi Allah menyebut : “(Yang) memberi petunjuk kepada (jalan) yang paling lurus...” (Surah Al-Jinn: 2)

Akhlak baginda adalah al-Quran, kitab suci umat yang dikaitkan dengan firman Allah, “...tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 2)

Pada masa permulaan dakwah Islam, Nabi Muhammad tidak hanya membina aspek tauhid, tetapi juga membangunkan nilai akhlak yang mulia dalam kalangan umat.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Al-Hakim)

Anas RA pula berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW benar-benar manusia dengan akhlak paling mulia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas juga berkata, “Selama sepuluh tahun aku berkhidmat untuk baginda (Rasulullah), aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan kata ‘ah’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan’, ‘kenapa kamu lakukan ini? atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Ibnu Qayyim dalam bukunya al-Madarij menyebutkan bahawa akhlak mulia tertegak menerusi empat tonggak utama yang saling menyokong antara satu dengan yang lain.

Empat tonggak itu ialah kesabaran, keberanian, keadilan, dan kesucian.

Sifat sabar akan membantu seseorang lebih bertahan, menahan amarah, tidak merugikan orang lain, bersikap lemah lembut, sopan-santun dan tidak tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu.

Sifat selalu memelihara kesucian diri dapat mendorong seseorang tidak tergelincir dalam perkataan dan tindakan yang merendahkan dan menjatuhkan martabatnya.

Selain itu, ia dapat mendorongnya untuk mengamalkan sikap pemalu yang merupakan kunci segala kebaikan.

Memelihara kesucian ini juga menghindarkannya untuk terbabit dalam perbuatan keji, kedekut, berdusta dan mengadu domba.

Sifat berani pula menjadikan seseorang itu kuat menjaga maruah diri, mudah memaafkan dan menerima kemaafan, serta ringan tulang. 

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “…Keberanian bukanlah seperti ditunjukkan dalam bergusti, tetapi orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah…” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, keadilan pula dapat mengasah sikap seseorang untuk terus berupaya membetulkan kelakuannya, membantunya untuk menyeimbangkan di antara bersikap terlalu berlebihan.

Sifat ini juga mendorong kita untuk bersikap dermawan dan murah hati, iaitu sikap yang berada di tengah-tengah antara kikir dan boros.

Penulis adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe