IBU bapa perlu sentiasa menunjukkan sikap lemah lembut dan bijak membuat teguran tanpa menyinggung perasaan anak. FOTO Azhar Ramli
IBU bapa perlu sentiasa menunjukkan sikap lemah lembut dan bijak membuat teguran tanpa menyinggung perasaan anak. FOTO Azhar Ramli
Mohd Rizal Azman Rifin

PENGAMALAN sikap berlemah lembut dan bermesra dengan anak-anak asas pendidikan dalam Islam.

Dalam keadaan apa sekalipun, ibu bapa perlu sentiasa menunjukkan sikap berlemah lembut dan bijak membuat teguran dengan berhemah tanpa menyinggung perasaan mereka.

Contoh, dalam kaedah untuk membuat pembetulan terhadap kesalahan yang dilakukan anak-anak kita.

Kita tidak seharusnya menengking dan memarahi mereka secara melulu.

Contohi sikap Rasulullah SAW ketika Baginda memperbetulkan kesalahan seorang kanak-kanak dengan kaedah bimbingan.

Satu kisah benar yang diceritakan sendiri sahabat Baginda, Umar bin Abi Salamah.

Kata Umar, ‘Semasa kanak-kanak, aku pernah berada dalam jagaan Rasulullah. Ketika makan, tanganku berpindah dari satu tempat ke satu tempat di dalam dulang. Rasulullah memperhatikan tabiat aku itu, lalu kemudiannya Baginda menegurku, ‘Wahai anak kecil, bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang berdekatan dengan kamu.’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wahai ayah dan ibu, lihat dan renungkan betapa Rasulullah tidak berteriak lantang mahupun menepis tangan Umar ketika dia makan.

Andainya kita, kemungkinan tangan anak-anak kita tepiskan dan marah-marah kerana tidak senonoh ketika makan.

Seorang lagi sahabat Baginda, Sahl bin Saad turut menceritakan satu kisah yang mana dalam kisah yang dibawanya ini memberikan gambaran betapa berhemahnya cara Rasulullah dalam membuat sesuatu teguran terhadap kesalahan yang dilakukan kanak-kanak.

Sahl menceritakan bahawa pada suatu ketika, Rasulullah datang membawa minuman lalu kemudian Baginda meminumnya.

Sedangkan di sebelah kiri Baginda ada seorang kanak-kanak manakala di sebelah kanannya duduk beberapa dewasa.

Maka Rasulullah berkata kepada kanak-kanak itu, ‘Adakah kamu mengizinkan aku memberi minuman ini kepada mereka?’

Jawab kanak-kanak itu, ‘Tidak, demi Allah. Aku sekali-kali tidak akan mendahulukan sesiapapun untuk bahagian yang aku dapat daripada kamu.’ Lalu kemudian Rasulullah meletakkan minuman itu di tangannya.’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kanak-kanak dalam kisah itu adalah Abdullah bin Abbas. Mari kita pelajari sikap Baginda untuk kita teladaninya.

Moga-moga sikap mulia Baginda terjelma pula dalam pengamalan sikap kita ketika mendidik anak-anak di rumah.

Pertama, Baginda tidak memaksa kanak-kanak itu untuk memberikan minuman yang jadi haknya kepada orang lain.

Unsur sukarela dan reda diterapkan Rasulullah.

Tanpa kerelaan si pemilik sesuatu barangan, walaupun
si pemilik itu anak kita sendiri, maka kita wajib memohon izinnya terlebih dahulu.

Jangan sesekali guna kuasa ‘veto’ dan menggunakan sikap seorang ‘diktator’ dalam memutuskan sesuatu perkara, meskipun hal yang kecil.

Selain itu, dalam kisah itu juga memberikan kita pemahaman bahawa bijaksana Rasulullah dalam mendidik kanak-kanak mengenai adab bersama golongan tua iaitu mengajar anak-anak supaya mengutamakan orang lebih dewasa.

Selain itu, kaedah menegur dengan menunjukkan isyarat juga boleh diguna pakai dalam mendidik anak-anak.

Kaedah ini juga pernah ditunjukkan Rasulullah.

Imam Bukhari ada meriwayatkan sebuah kisah mengenai penggunaan kaedah ini yang menggambarkan kepada kita betapa hebatnya kebijaksanaan Rasulullah dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak kecil.

Pada suatu hari, Rasulullah membonceng Fadhl bin Abbas.

Ketika dalam perjalanan bersama Fadhl itu, lalu seorang wanita dari Khath’am dan Fadhl pun menoleh ke arah wanita itu.

Melihat sikap Fadhl yang asyik memandang wanita itu, Rasulullah memegang dahi Fadhl sambil mengalihkan mukanya ke arah lain...’

Di sini jelas mempamerkan bagaimana sikap sebenar Rasulullah yang kaya dengan kaedah ketika menegur kesalahan seseorang anak.

Baginda begitu peka dengan konteks masa dan keadaan dan situasi seseorang anak.

Malah, dalam situasi yang berbeza yang memungkinkan kaedah menegur kesalahan dengan cara cemuhan turut dibolehkan.

Ini dikisahkan Abu Dzar yang mana katanya, ‘Aku berbalas ejekan dengan seorang lelaki, lalu aku mengejek ibunya dengan kata-kata, ‘Wahai anak perempuan hitam!’

Kata-kata dan tindakanku diperhatikan Rasulullah, lalu Baginda menegur sikapku itu, ‘Wahai Abu Dzar, apakah kamu mengejek ibunya?’ Sesungguhnya kamu adalah orang yang memiliki sifat jahiliah. Hambamu adalah saudaramu. Allah menjadikan mereka di bawah tanggunganmu. Sesiapa yang saudaranya berada di bawah tanggungannya, maka berikanlah dia makan daripada apa yang kamu makan, berilah mereka pakaian daripada apa yang kamu pakai. Jangan kamu membebankan mereka dengan kerja yang mereka tidak mampu. Sekiranya kamu mahu membebankan juga, maka bantulah mereka.’ (Hadis Riwayat Bukhari)

Sekali lagi kita terpegun dengan gaya sikap Baginda dalam memberikan didikan.

Dalam kisah itu, mula-mula Baginda menggunakan kaedah cemuhan dengan bersabda, ‘Sesungguhnya kamu adalah orang yang memiliki sifat jahiliah.’ Tetapi, Baginda tidak memanjang leterannya terhadap Abu Dzar dengan terus-terus mengeluarkan kata yang berbentuk cemuhan, sebaliknya Baginda menyampaikan nasihat. 

Cara Baginda gabung-jalinkan dua unsur itu memberikan kesedaran kepada kita bahawa mencemuh dibenarkan, namun ia bukan dalam satu hala semata-mata.

Ini kerana cemuhan memanjang akan tidak langsung memberikan kesan dalam membetulkan kesalahan anak-anak kita.

Cemuh sepintas lalu yang kemudian kita perlu susulkannya dengan kata nasihat pula. Baru anak-anak kita faham kesalahannya dan dia tidak akan tersinggung atau berkecil hati terhadap cara kita!

Jadi, cuba berusaha jadikan diri ayah dan ibu yang mampu menyusuri jejak kaedah Rasulullah dalam mendidik anak-anak.

Insya-Allah, kita mampu menjelmakan sinar kesejahteraan dalam rumah tangga dengan setiap anak kita saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:05 AM
Digital NSTP Subscribe