RASULULLAH SAW mengingatkan pentingnya umat Islam menyelamatkan akidah. FOTO NSTP
RASULULLAH SAW mengingatkan pentingnya umat Islam menyelamatkan akidah. FOTO NSTP
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin


Satu daripada cabaran akidah di zaman ini adalah fahaman agnostik.

Mereka tahu bahawa Tuhan itu wujud tetapi tidak mempercayai ajaran agama.

Apa yang membimbangkan adalah, sebahagian mereka yang terpengaruh dengan ajaran ini terdiri daripada umat Islam yang ragu-ragu dengan ajaran Islam.

Golongan agnostik ini gagal melihat keindahan Islam malah menyalahkan Tuhan kerana tidak ‘menyelesaikan’ masalah masyarakat.

Beberapa ciri lain golongan ini untuk dikenal pasti adalah percaya kepada kewujudan Tuhan tetapi tidak beragama, kurang kefahaman dan penghayatan agama serta cenderung meluaskan pengaruh dalam kalangan golongan intelektual.

Serangan pemikiran dari barat yang amat mengelirukan ini merupakan isu akidah yang amat kritikal.

Pemikiran ini dipengaruhi oleh beberapa aliran pemikiran lain termasuklah modenisme, sekularisme, pluralisme dan liberalisme.

Pengaruh aliran pemikiran ini perlu dicegah dan diberi perhatian serius oleh semua pihak supaya tidak terus merebak dan merosakkan akidah.

Rasulullah SAW mengingatkan pentingnya umat Islam menyelamatkan akidah dalam hadis yang bermaksud:

“Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah Allah dan segolongan yang lain yang melanggari batasan Allah.

Perumpamaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan menduduki bahagian atas dan satu golongan lagi menduduki bahagian perut kapal berkenaan.

Apabila golongan yang berada di dalam perut kapal memerlukan air mereka menyuruh golongan yang di atas mengambilkannya untuk mereka sehinggalah mereka berkata: ‘Adakah patut kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapati air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini.

“Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka daripada kebodohan ini, mereka akan karam kesemuanya’.” (Al-Bukhari dan At-Tirmidzi)

Pembaca pasti merasa kurang senang dengan isu yang melingkari kumpulan agnostik ini.

Namun cabaran ini menuntut kebijaksanaan agamawan dalam menyampaikan dakwah.

Ilmu yang mantap serta cara penyampaian penuh hikmah adalah elemen penting bagi menghadapi mereka.

Umpama api dalam sekam, tanpa usaha dakwah, pengaruh fahaman ini perlahan-lahan akan meranapkan benteng akidah umat Islam yang sebenar.

Proses pemantauan, kawalan dan didikan perlu digembleng secara bersepadu agar penyimpangan akidah alaf baru ini tidak terus menular dalam kalangan umat Islam.

Antara langkah penyelesaian tuntas yang dicadangkan penulis bagi mengekang fahaman ini adalah dengan mengukuhkan penghayatan agama melalui institusi keluarga.

Ini termasuk ibu bapa perlu menjadi contoh mithali bagi anak dalam menghayati Islam.

Lengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan. Pantaulah setiap aktiviti anak dan rakan yang didekati anak kita daripada kecil hingga mereka dewasa.

Di samping itu, kita perlulah merangka gerak kerja dakwah yang strategik dan menyeluruh.

Agensi kerajaan, swasta, NGO dan sebagainya perlu memperbanyakkan program kreatif dan inovatif yang dapat menarik jiwa umat Islam.

Hindari pendekatan dakwah yang sempit, jangan hanya fokus pada persoalan dosa dan seksaan neraka semata-mata.

Dalam sektor pendidikan pula, usaha memperkukuhkan dan menambah baik penyampaian dan kandungan Pendidikan Islam perlu giat dijalankan sama ada dari peringkat kementerian mahupun warga pendidik.

Pendidikan dan ilmu Islam perlu didedahkan melalui kaedah yang tepat dan sahih.

Silibus di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu sentiasa dinilai untuk ditambah baik.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan serta persatuan penduduk bertanggungjawab memupuk persekitaran yang sejahtera serta bebas daripada fahaman agnostik.

Program menyeluruh perlu dirangka bermula dari peringkat rumah, sekolah, IPT, tempat bekerja dan organisasi yang majoriti ahlinya beragama Islam.

Kempen kesedaran melalui media perlu sentiasa dijalankan bagi menyedarkan umat agar sentiasa berpegang pada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Semoga Allah SWT memelihara diri kita dan seluruh keturunan kita dengan istiqamah berpegang pada akidah tauhid yang sebenar.

Penulis adalah Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 9:00 AM
Digital NSTP Subscribe