SETIAP Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.
SETIAP Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman

AL-QURAN dipelihara dengan dua keadaan, iaitu terpelihara dalam mashaf (fis sutur) dan dalam dada penghafaz al-Quran (fis sudur).

Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad, ayat 29).

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82).

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca malahan dituntut supaya difahami, dihayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan ini.

Umat Islam sentiasa digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya.

Manusia perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat suci al-Quran al-Karim akan menginsafkan betapa kerdilnya manusia dan betapa Agung-Nya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Menurut Syeikh Habannakah, Tadabbur ialah proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan terhadap isyarat daripada ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir.

Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran. Perkataan tadabbur hanya digunakan terhadap ayat al-Quran, sebaliknya perkataan digunakan untuk proses yang sama terhadap perkara lain ialah tafakkur.

As-Suyuti (911H) menyatakan bahawa tadabbur melibatkan penelitian mendalam yang membabitkan unsur hati. Hati yang serta-merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.

Kajian dan tadabbur terhadap al-Quran sentiasa menghasilkan penemuan kepada keajaiban al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadikannya mukjizat terulung yang diturunkan Allah SWT.

Allah mencabar Musyrikin Quraish untuk mendatangkan kata-kata seumpama al-Quran dalam firman-Nya bermaksud: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti al-Quran itu, jika betul mereka orang yang benar dakwaannya.” (Surah At-Tur, ayat 34).

Cabaran ini diulang lagi dalam surah Hud ayat 13 dan surah al-Baqarah ayat 23. Allah mencabar mereka untuk mendatangkan 10 surah yang sama seperti al-Quran.

Apabila mereka gagal, cabaran itu dikurangkan kepada satu surah sahaja. Akhirnya kegagalan mereka ini dihuraikan dalam surah al-Isra’ ayat 88 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”

Al-Tabari menegaskan dalam tafsirannya kepada ayat 14 Surah Hud bahawa apabila manusia gagal untuk menjawab semua cabaran itu, hendaklah mereka sedar bahawa al-Quran itu diturunkan Allah Yang Maha Berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak mereka-reka al-Quran kerana tiada manusia yang mampu melakukannya.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan al-Quran), maka ketahuilah bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Surah Hud, ayat 14).

Justeru setiap penelitian yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran termasuk dalam tadabbur. Di sinilah terbukti keunikan al-Quran. Ia mencabar bangsa Arab yang terkenal hebat dan mahir berbahasa dengan bahasanya sendiri.

Bahkan setiap huruf al-Quran, frasa dan ayat-ayatnya sentiasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak mungkin manusia dapat menukar ganti kedudukan, bentuk bahkan baris setiap perkataan al-Quran.

Penulis adalah Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:15 AM
Digital NSTP Subscribe