SOLAT tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. FOTO - Ahmad Irham Mohd Noor
SOLAT tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. FOTO - Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Azlan Shaiful Baharum


SEORANG Muslim yang bertaqwa akan melakukan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Menjalankan perintah Allah salah satunya iaitu dengan menunaikan solat. Ia anugerah terindah yang hanya diberikan Allah kepada umat ini.

Solat yang diwajibkan iaitu solat fardu lima kali dalam sehari semalam. Sedangkan solat sunat itu tidak wajib dilakukan, tetapi jika dilakukan akan mendapat pahala serta keutamaan.

Salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk ditunaikan umat Muslim iaitu solat tahajud.

Solat tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa.

Pada waktu berkenaan malaikat turun ke bumi. Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’.

Solat tahajud dilakukan paling minimum iaitu dua rakaat dan paling maksimum tiada batasannya serta diakhiri dengan solat witir sebagai penutup.

Diriwayatkan Saidatina Aisyah R.A, ia berkata: “Nabi SAW menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, ‘Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah? ‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi yang dijamin keselamatan serta kebahagiaannya di syurga pun sentiasa melaksanakan solat tahajud, tetapi adakah kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya? Solat tahajud tidak hanya bermanfaat untuk di ahkirat nanti iaitu mendapat pahala, diampunkan dosa, ditinggikan darjatnya, tetapi solat tahajud juga mempunyai banyak manfaat lain yang boleh kita rasakan sekarang.

Seseorang yang selalu terbiasa solat tahajud akan dapat mengawal emosinya, kerana mempunyai ketenangan dan kedamaian jiwa.

Solat tahajud adalah ibadah saranan mendekatkan diri kepada Allah.

Jika kita ingin meminta sesuatu tentunya kita perlu mendekatkan diri kepada yang akan kita minta. Seperti kita ingin meminta keampunan atas dosa yang kita lakukan, maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah supaya taubat nasuha kita diterima.

Solat tahajud hanya dilakukan secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan solat tahajud dengaan penuh keikhlasan.

Jom kita tingkatkan amalan solat tahajud kita. Semoga dengan solat tahajud yang kita tunaikan, Allah akan memperkenankan permohonan kita semua, terutama dalam mendepani kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara kita.

Ya Allah! Jauhkanlah bala dan wabak ini seberapa segera dari negara kami Malaysia khususnya dan negara umat Islam serta seluruh dunia umumnya.

Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:05 AM