ANGGOTA barisan hadapan terdedah risiko menghadapi pemandu mabuk. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA barisan hadapan terdedah risiko menghadapi pemandu mabuk. FOTO Aswadi Alias
Dr Ahmad Sanusi Azmi

AWAL bulan ini kita digemparkan dengan kejadian seorang anggota keselamatan terbunuh akibat dirempuh pemandu mabuk. Harian Metro melaporkan Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan yang menyebabkan beliau parah dan meninggal serta-merta ditempat kejadian. Ini bukan insiden pertama yang terjadi sejak Perintah Kawalan Berkurung (PKP) dilaksanakan. Berdasarkan laporan akhbar, bulan April yang lalu sahaja tiga kes kejadian merempuh sekatan jalan berlaku yang membabitkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol. Kes-kes seperti ini turut berlaku diseluruh negara iaitu di Petaling Jaya, Bintulu dan di Ipoh

Ini satu petanda yang tidak baik. Dalam kedaan kita berusaha mengurangkan nyawa yang terkorban disebabkan virus, anggota barisan hadapan kita pula terdedah dengan risiko menghadapi pemandu mabuk. Tindakan tegas mesti diambil bagi menangani perkara ini.

Melihat kepada kemudaratan yang sangat jelas, Rasulullah mengambil pendekatan yang tegas bagi mengawal kerosakan yang berpunca dari arak. Baginda mencela lapan golongan manusia yang terbabit secara langsung dengan penghasilan arak sehinggalah kepada penjualannya. Bahkan Khalifah sesudah Baginda mengambil tindakan tegas dalam urusan ini. Umar Abdul Aziz diriwayatkan pernah mengarahkan orang bukan Islam tidak mendedahkan aktiviti arak mereka. al-Imam al-Bayhaqi ketika menghuraikan syarat-syarat warganegara bukan Muslim yang tinggal bersama Muslim menjelaskan: "Umar Abdul Aziz pernah menulis surat supaya majlis arak (bagi bukan Muslim) seharusnya tidak dizahirkan" iaitu tidak boleh diwarwarkan dan ia mestilah berlaku secara tertutup." (al-Bayhaqi, Ma'rifa al-Sunan wa al-Athar).

Bahkan, Umar Abdul Aziz dilihat cuba menyekat kemasukan dan kebebasan aktiviti import dan eksport penjualan arak. Perkara ini direkodkan Ibn Zanjaweh di dalam kitab al-Amwal yang menyebutkan: "Umar Abdul Aziz menulis surat kepada Abdul Hamid ibn Abdul Rahman iaitu Gabenor beliau di Kufah: (kata Umar) Jangan dibawa arak dari satu bandar atau wilayah (rustaq) kepada bandar atau wilayah yang lain." (Ibn Zanjaweih, al-Amwal, 1/282).

Kadangkala kita terlalu bimbang untuk mengenakan tindakan yang ketat dalam mengawal urusan jual beli arak sedangkan negara lain sudah mula mengorak langkah sedemikian sekalipun mereka bukanlah negara orang Islam. Afrika Selatan sebagai contoh sudah mula mengharamkan penjualan arak dalam tempoh lockdown mereka. Menteri Keselamatan Afrika Selatan, Bheki Hamilton Cele pada 26 Mac yang lalu sudah melakukan pengumuman itu dengan justifikasi bahawa pengharaman penjualan arak dalam tempoh lockdown ini berupaya memutuskan rantaian penyebaran Covid-19. Antara justifikasi yang diberikan adalah alkohol berupaya melemahkan sistem pertahanan badan seseorang.

Di Nuuk, ibu negeri Greenland turut mengenakan sekatan penjualan arak dalam tempoh lockdown dan Menteri Kesihatannya, Martha Abelsen menjelaskan sekatan penjualan arak ini bertujuan menyelamatkan mangsa dera kanak-kanak sepanjang tempoh perintah kawalan berkurung di Greenland.

Begitu juga di Hong Kong, Ketua Eksekutif Carrie Lam sudah mengumumkan penyekatan pengeluaran lesen arak bagi 8600 resteoran dan bar dalam menghadapi tempoh kedua gelombang Covid-19 di Hong Kong.

Perhatikan bagaimana negara yang bukanlah menjadikan Islam sebagai agama rasmi mereka boleh bertindak secara rasional dalam mengekang penjualan arak, mengapa tidak kita bertinda dengan tindakan yang sama. Apatah lagi perkara ini diajarkan Baginda Nabi 1400 tahun yang lalu yang memikirkan kesan dalam kekeluargaan.

Ketegasan pengurusan hal ehwal yang membabitkan arak ini tidak lain adalah bagi mengawal kerosakan yang berlaku. Bayangkan sekiranya anggota polis yang terkorban itu mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak, fikirkan kesusahan yang dihadapi pihak isteri untuk menguruskan keluarga ketika ketua keluarga mereka meninggal secara tiba-tiba? Atas dasar itu Islam mengenakan hukuman tegas bagi memastikan kesejahteraan seluruh manusia. Malah, ketika berlakunya insiden sebegini, ada yang mencadangkan agar pemandu mabuk tersebut dikenakan hukuman denda dengan jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kesusahan yang dihadapi oleh keluarga si mati dalam tempoh sementara keadaan stabil. Semoga ada jalan keluar bagi kemelut yang rumit ini.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Sains Islam Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 3:17 PM