FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
HM Digital

PANCAINDERA mata antara salah satu nikmat paling besar yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap manusia kerana menerusi mata setiap orang yang diberi nikmat ini akan dapat melihat betapa indahnya ciptaan Allah SWT yang terdiri segala di langit dan segala di bumi serta susunannya yang begitu tertib.

Memetik kata-kata Imam Habib Abdullah Alawi al-Haddad menyatakan bahawa: "Mata adalah satu nikmat besar daripada Allah SWT yang dikurniakan untuk hambaNya. Ia diciptakan untuk membolehkan hamba-Nya melihat keindahan ciptaan Allah SWT di bumi dan di langit supaya sesudah itu dia lebih kenal serta yakin terhadap Tuhannya..." (An-Nasha'ih ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah)

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada apa yang tidak halal melihatnya) dan memelihara kehormatan (daripada apa saja yang tidak halal melakukannya)." (Surah an-Nur, ayat 30)

Dapat difahami menerusi ayat berkenaan bahawa Allah SWT memerintahkan setiap hamba-Nya yang beriman supaya menjaga mata daripada melihat yang haram dan menjaga kemaluan daripada melakukan sesuatu yang haram. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap hamba mentaati perintah Allah SWT untuk menyelamatkan diri daripada kemurkaan dan azab seksa kelak.

Daripada Saidina Huzaifah Yamani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: "Sesungguhnya melihat kepada tempat yang elok yang ada pada tubuh perempuan adalah seperti anak panah beracun daripada anak panah iblis (kerana sangat cepat ia membinasakan), terselamatlah sesiapa yang meninggalkannya (kerana takut Allah)". (Ihya Ulumuddin)

Maksud jelas daripada hadis berkenaan memberi gambaran bahawa pandangan mata itu jika tidak dijaga dengan landasan iman dan takwa umpama racun yang akan menjalar dalam badan, sekali gus membinasakan tubuh seseorang hamba kerana pandangan maksiat terhadap perkara yang tidak halal baginya.

Dalam arus kemodenan kini dengan lambakan media sosial yang menjadi suapan setiap manusia, pastinya pandangan mata seseorang hamba itu perlulah dijaga berlandaskan batas syarak yang sangat jelas demi memelihara iman.

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda: "Setiap anak Adam ada bahagiannya daripada zina, kedua-dua mata berzina dan zina keduanya adalah melihat (kepada sesuatu yang haram). Kedua-dua tangan berzina dan zina keduanya adalah memegang (kepada sesuatu yang haram atau menggunakannya secara salah). Kedua-dua kaki berzina dan zina keduanya adalah berjalan (ke tempat yang haram). Mulut berzina dan zinanya adalah mengucup (sesuatu yang haram). Hati menginginkan sesuatu dan kemaluan akan membenarkannya (iaitu dengan melakukan zina) atau mendustakannya (dengan tidak melakukannya)." (Hadis Riwayat Imam Muslim dan Imam Al-Baihaqi)

Dalam aspek ini, orang beriman bukan saja perlu menjaga dan mengawasi anggota zahir, malah lebih penting menjaga dan mengawasi hatinya kerana ia raja kepada seluruh anggota lain.

Isnin: Pelihara telinga daripada dusta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 8:31 AM