Ustaz Hafiz Za’farani

DALAM ruangan ini, kita akan mengenal fahaman ateisme dan prinsip keyakinan mereka serta hujah balas ke atas dakwaan mereka. Terma ateisme diambil daripada Bahasa Yunani iaitu Ateos yang bermaksud tanpa Tuhan. Kewujudan gaya fikir ateisme sebenarnya memang sudah wujud pada setiap zaman. Mereka bukanlah suatu agama namun satu gaya fikir yang terhasil daripada akal yang mula menyimpang daripada lumrah dan fitrah.

Sebahagian pengkaji berpendapat zaman awal kegemilangan pemikiran ateisme ialah ketika zaman Renaissance atau lebih tepatnya pada abad ke-18. Ketika itu, ramai yang bangga mengisytiharkan dirinya sebagai ateis. Perjuangan pemikiran ateisme adalah sekadar bersandarkan rasional yang dipaksakan kepada pengikut mereka agar menerimanya dan menganutinya. Antara dakwaan ateisme yang masyhur ialah:

- Kewujudan Tuhan tidak memenuhi kriteria sebagai satu kewujudan

- Kekuasaan Tuhan yang dianggap paradoks

- Teori pragmatisme

- Ketidaksinambungan Tuhan bagi seluruh agama di dunia

- Masalah kesengsaraan di atas bumi

Kita akan menghuraikan satu persatu setiap dakwaan mereka, bermula dengan dakwaan Tuhan tidak memenuhi kriteria satu kewujudan. Pada mereka Tuhan yang didakwa seluruh agama tidak dapat dicapai melalui lima pancaindera iaitu tidak dapat dilihat, disentuh, didengari, dihidu dan dirasai. Oleh itu, Tuhan dikatakan tidak benar-benar wujud melainkan khayalan yang direka semata-mata.

Di era moden ini, mereka juga mendakwa bahawa Tuhan tidak juga ditemui dengan alat dan mesin yang canggih. Hal ini menyebabkan keyakinan mereka lebih kuat bahawa Tuhan itu tidak ada. Jika kita mendengar hujah ini kita akan merasakan ada benarnya dakwaan mereka. Namun kita perlu sedar, sedetik sahaja hati kita berkata demikian maka akan tergelincir iman kita.

Kita sebagai orang Islam menyakini kewujudan Allah kerana sudah dikhabarkan oleh Nabi dan seluruh umat Islam terdahulu. Hakikatnya kita perlu sedar pembuktian sesuatu yang wujud tidak terhad kepada lima pancaindera sahaja. Sebaliknya khabar yang mutawatir atau pemberitahuan daripada ramai orang sehingga sukar dinafikan khabar itu juga merupakan suatu kaedah pembuktian kewujudan.

Sebagai contoh, kewujudan gunung tertinggi di dunia Gunung Everest yang diyakini oleh semua orang namun betapa ramai yang belum membuktikan kewujudannya dengan lima pancaindera. Lalu, adakah jika kewujudan gunung Everest tidak dibuktikan dengan lima pancaindera maka ia dianggap tidak wujud? Sudah tentu semua yakin ia wujud. Soalnya daripada mana keyakinan itu wujud?

Jawabnya ialah daripada seseorang yang pernah mendakinya kemudian menceritakan kisahnya kepada media di samping ramai pengkaji yang sudah mendokumentasikan hasil kajian mereka berkaitan gunung Everest. Oleh kerana ramai yang mengkhabarkan kepada kita tentang kewujudannya maka kita yakin ia wujud.

Demikianlah juga dengan kewujudan Allah yang sudah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad yang telah yakin dengan kewujudan Allah dengan pelbagai mukjizat yang diberikan kepada Baginda. Kemudian dikhabarkan kepada para sahabat Nabi sehingga sampai pada kita sekarang, khabar kewujudan Allah adalah mustahil untuk dinafikan. Dengan demikian, kita yakin kewujudan Allah yang termasuk dalam hal ghaibiyyat yang mesti diyakini setiap orang Islam.

Hakikatnya dakwaan golongan ateisme sekadar dakwaan palsu dan penyelewengan fakta. Atas sebab itu, kami menyatakan ateisme tidak mempunyai hujah melainkan kenyataan yang dipaksakan ke atas pengikut mereka.

Dakwaan mereka kedua ialah berkaitan kekuasaan Tuhan yang dianggap paradoks. Paradoks bermaksud suatu kenyataan yang membawa kepada kesimpulan yang bercanggah antara satu sama lain. Soalan yang masyhur di kalangan ahli falsafah ialah "adakah Tuhan berkuasa mencipta satu perkara yang sangat berat sehingga tuhan sendiri tidak mampu mengangkatnya?"

Hakikatnya soalan ini sudah salah dan tidak diterima oleh akal. Hal ini kerana, Tuhan itu berkuasa menjadikan segala sesuatu namun golongan aktif cuba mengatur formula untuk mengelirukan orang ramai. Kenyataannya ialah jika Tuhan tidak dapat mengangkat benda yang berat itu, maka pada awal-awal lagi itu menunjukkan Tuhan lemah.

Lalu, jika Tuhan lemah sudah tentu daripada awal perkara berat itu tidak diciptakan. Oleh itu, soalan sedemikian sebenarnya tidak wujud melainkan suatu perangkap minda untuk mengelabui orang ramai sahaja kerana jika Tuhan dapat menciptakan sesuatu yang berat, sudah pasti Tuhan dapat menjadikannya ia terangkat.

Seterusnya kita beralih kepada dakwaan mereka yang ketiga iaitu teori pragmatisme atau teori penipuan-sendiri. Mereka mendakwa manusia sengaja mencipta Tuhan untuk tujuan kawalan sosial ke atas kehidupan manusia. Oleh itu, pada mereka Tuhan itu sekadar diada-adakan dan sudah tiba masanya untuk Tuhan itu ditiadakan kerana dunia sudah maju dan canggih. Dakwaan ini juga jelas hanya kepalsuan semata-mata kerana Islam yang diajarkan oleh setiap nabi itu datang dengan pembuktian yang jelas sehingga sukar dibantah, hal ini dinamakan mukjizat.

Ketika zaman Nabi Musa, masyarakat mahir dengan ilmu sihir maka mukjizat Nabi Musa mengatasi sihir mereka. Ketika zaman Nabi Isa, masyarakat sangat menguasai ilmu perubatan maka mukjizat Nabi Isa mengatasi ilmu ketika itu. Demikian juga pada zaman Nabi Muhammad, masyarakat setempat begitu menyanjung ilmu syair dan sastera maka turun al-Quran mengatasi pakar sastera Arab ketika itu seperti yang berlaku ke atas Walid Al-Mughirah.

Ini semua membuktikan agama Islam tidaklah mencipta Tuhan sendiri sebagai kawalan sosial, tetapi ia benar-benar daripada Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Hal ini terbukti apabila undang-undang yang digubal oleh akal manusia belum mampu mengatasi isu jenayah yang berbangkit. Berbeza dengan negara Islam terdahulu yang benar-benar menjalankan hukum Islam, dapat mengekang pertumbuhan kadar jenayah ketika itu.

Selain itu, mereka mendakwa terlalu banyak versi Tuhan dalam pelbagai agama yang menunjukkan tuhan sebenar itu tidak ada. Maka kita jawab, pihak ateisme perlu mengkaji Islam dengan sebaik mungkin agar dapat menyedari keistimewaan agama Islam, seperti yang dilakukan oleh Brother Tim (Abdul Raheem) yang akhirnya menjadi pendakwah Islam yang gigih.

Hal ini kerana dalam Islam kita berpegang teguh dengan sifat Allah Mukhalafatuhu Lil Hawadis yakni tidak sama Allah dengan segala yang baharu. Sifat ini berdalilkan daripada surah Asy-Syura ayat 11 yang bermaksud "Tiada sesuatu pun yang serupa dengan Allah." Oleh itu, Islam satu-satunya agama yang tidak menggambarkan Tuhan kerana dalam al-Quran dan hadis tiada satu pun ayat yang menggambarkan Allah. Oleh itu, sudah tentu Islam agama yang benar.

Terakhir, mereka mendakwa masalah kesengsaraan yang membuktikan tuhan itu tidak wujud. Sedangkan kita perlu sedar, Tuhan itu Maha Bijaksana mengatur segala-galanya berkaitan makhluk. Jika semua menjadi kaya raya, siapa yang hendak bekerja dan siapa yang hendak mengambil upah?

Oleh itu, Allah menjadikan sebahagian manusia kaya dan sebahagian lagi miskin. Bahkan terkadang ada beberapa jutawan berasal daripada keluarga miskin, kerana sejak kecil mereka dibentuk untuk kuat berusaha dan bergantung kepada Tuhan. Hakikatnya pelbagai lapisan masyarakat yang wujud itu sebenarnya membuktikan kewujudan Tuhan yang mengatur semuanya.

Penulis Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:30 AM