GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah

Perkembangan mutakhir kes Covid-19 di Malaysia kembali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak. Selepas kita melihat trend penurunan kes pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, namun di akhir-akhir ini kita dikejutkan semula dengan peningkatan bilangan kes harian secara mendadak. Pada 6 Oktober 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengisytiharkan negara kita  mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam statistik harian sejak PKP hingga PKP Pemulihan (PKPP) ini dilaksanakan iaitu sebanyak 691 kes positif. Tambahan pula dengan kadar keboleh jangkitan yang tinggi di beberapa negeri memberikan isyarat perjuangan negara dalam memutuskan rantaian penularan wabak ini masih belum selesai.

Merujuk kepada situasi semasa, meskipun segala usaha  dilaksanakan dan kerjasama yang diberikan sebelum ini adalah sangat baik namun ia masih lagi belum menunjukkan keadaan yang benar-benar stabil. Kita biasa membuat ungkapan  Kita Masih Belum Menang  dalam situasi begini. Ungkapan ini satu refleksi kepada situasi kita yang masih belum berjaya memutuskan rantaian Covid-19. Dalam syariat Islam, usaha untuk mencegah daripada kemudaratan wabak adalah suatu tuntutan ke atas setiap individu. Islam melarang manusia daripada bersikap lepas tangan, berdiam diri serta membiarkan diri terjerumus dalam kebinasaan.

Firman Allah Taala bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)."  (Surah Al-Baqarah: 195)

Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW  bersabda bermaksud: "Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain."  (Hadis  riwayat Ibn Majah: 2340)

Pada masa sama, prinsip serta kaedah syarak juga menyediakan garis panduan kepada umat Islam untuk memastikan sebarang unsur mudarat dan kerosakan terutama melalui wabak itu dapat dilenyapkan. Antaranya yang bermaksud: Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.

Kaedah itu kemudian diperincikan lagi dengan kaedah cabang di bawahnya bermaksud:  "Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain."

Ia memberi maksud setiap ancaman daripada musibah yang berlaku mestilah ditangani secara bersama. Dalam musim wabak yang melanda negara ini, sikap pentingkan diri sendiri dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak menjalani kuarantin, tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga kebersihan diri, bersalaman dan sebagainya berisiko menjadi punca kepada penyebaran wabak.

Kita Masih Belum Menang,  ungkapan ini tepat daripada sudut ia merujuk kepada usaha manusia dalam menangani wabak ini dan kelihatan dalam usaha ini kita masih belum mampu menanganinya ke peringkat sifar, maka kita masih belum menang. Usaha yang dilakukan ini selaras apa yang diperintahkan oleh ajaran Islam. Islam melarang manusia dari tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menangani sesuatu musibah, bahkan segala usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak adalah diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, ungkapan Kita Masih Belum Menang akan tersasar jika ia terputus dari perspektif akidah yang meletak setiap musibah adalah dari Allah SWT dan hanya Allah jua yang akan menghilangkannya. Oleh itu ungkapan ini perlu diletakkan dalam kerangka yang tepat agar ia selaras dengan akidah Islam.

Firman Allah Taala bermaksud: "Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-An'am: 17)

Ayat di atas ini memberikan maksud segala musibah yang berlaku ini hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa untuk menghilangkannya sama ada menguji hamba-Nya dengan lebih lama atau menghilangkannya dalam sekelip mata tanpa perlu kepada usaha manusia.

Pada masa sama, usaha juga diperintahkan oleh Allah SWT sebagai mana ditunjukkan dalam hadis  Rasulullah SAW  berhubung keperluan ketika berdepan dengan ancaman penyakit taun dan seumpamanya.

Antaranya Baginda SAW  bersabda bermaksud: "Apabila kamu mendengar berita mengenai penyakit taun di sesebuah tempat, maka janganlah kamu memasukinya dan sekiranya kamu berada di tempat yang berlakunya taun, maka janganlah pula kamu keluar daripadanya."  (Hadis  Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Sehubungan itu, kefahaman yang betul akan menatijahkan tindakan dan usaha yang menggabungkan usaha bersifat fizikal seperti penyediaan kelengkapan perubatan, pemberian bantuan, penguatkuasaan SOP dan sebagainya dengan usaha yang bersifat rohani yang dapat diterjemahkan dalam bentuk pematuhan syariat dan memperbanyakkan doa serta munajat kepada Allah SWT.

Oleh itu ungkapan Kita Masih Belum Menang  adalah ungkapan yang mempunyai makna yang perlu dicermati dan difahami dalam konteks akidah yang sahih yang akan menatijahkan tindakan dan usaha yang betul. Semoga negara kita bebas daripada wabak ini.  

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:39 AM