MOHD Sallehuddin merasmikan kios susu Milk Bar yang mengedarkan susu segar Farm Fresh di cawang KL Sentral, baru-baru ini.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Sejarah MYFARMFRESH iaitu syarikat pengedar susu segar Farm Fresh keluaran The Holstein Milk Company Sdn Bhd bermula dengan jualan produk tenusu itu di pasar tani, sekolah dan masjid sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada penghujung 2015.

Selepas hampir dua tahun ia terus berkembang dan syarikat berkenaan boleh berbangga apabila memiliki dua cawangan kios susu segar dinamakan Milk Bar di Anggerik Mall, Shah Alam dan KL Sentral, Kuala Lumpur.

Diasaskan oleh Murtadza Zaim Mohd Zain yang juga Pengarah Urusan MYFARMFRESH merangkap stokis Kuala Lumpur dan Selangor, syarikat itu berjaya melaksanakan sistem jualan berkonsepkan ejen setempat dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang itu.

Pengurus Operasinya, Ema Nuraqila Idris berkata, jualan berkonsepkan ejen setempat yang diketengahkan Murtadza Zaim awalnya dimulakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Menurutnya, kini 56 ejen setempat di Kuala Lumpur dan Selangor berjaya ‘dilahirkan’ Murtadza Zaim, malah hasil meningkatkan edaran susu menerusi konsep ejen setempat mereka berjaya mencapai sasaran jualan melebihi RM1 juta pada tahun lalu.

“Susulan kejayaan jualan konsep ejen setempat, kami mula menyasarkan peningkatan edaran susu segar Farm Fresh menerusi konsep ‘Grab and Go’ yang dilaksanakan menerusi kios susu segar.

“Konsep ini bagi memudahkan lagi pengguna mendapatkan produk Farm Fresh terutama di kawasan tumpuan umum seperti pusat belah-belah dan stesen pengangkutan awam.

“Tiga ejen setempat juga berjaya membuka kios menjual dan menyediakan perkhidmatan penghantaran susu segar iaitu masing-masing Milk Ministry di Putrajaya, Oh My Susu di Balakong serta Kedai Secawan Susu di Sungai Buloh,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Milk Bar di KL Sentral yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Sallehuddin berkata, idea MYFARMFRESH dan The Holstein Milk Company Sdn Bhd memperkenalkan sistem pasaran ejen setempat dilihat sebagai kaedah bijak dan menjadikan produk tenusu berkenaan dekat di hati masyarakat.

“Malah, kaedah pemasaran ejen setempat yang menjurus kepada penggunaan media sosial dan penghantaran secara terus kepada pengguna membolehkan manfaat produk disampaikan dengan lebih tepat.

“Ini secara tidak langsung menjadikan pengguna lebih memahami kelebihan produk di samping mewujudkan rantai perkhidmatan lebih baik yang tidak dimiliki mana-mana pengeluar susu lain di Malaysia,” katanya.

Katanya, kaedah berkenaan turut menjadikan jenama Farm Fresh sangat unik bukan saja kerana rasanya yang enak dan berkhasiat, malah kesungguhan pengeluar serta pengedar dalam mengetengahkan kepentingan dan kebaikan susu segar.

“Pihak kementerian sentiasa menyokong usaha golongan belia untuk membabitkan diri dalam usahawan. Program Agropreneur Muda dibangunkan bagi membantu dan menggalakkan pembabitan golongan belia dalam bidang keusahawanan berasaskan aktiviti pertanian.

“Ia merangkumi semua aktiviti dalam rangkaian nilai industri pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan,” katanya.

Beliau berkata, program dilaksanakan untuk golongan belia yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak kementerian bagi aktiviti projek mengikut sub sektor tertentu yang sudah digariskan.

“Kami menyasarkan seramai 3,000 usahawan diwujudkan menjelang akhir tahun ini dalam program berkenaan yang menerima geran berjumlah RM100 juta pada tahun ini untuk 3,000 usahawan.

“Selain bantuan kewangan, kementerian menerusi agensi atau syarikat peneraju yang dilantik berkaitan projek yang dijalankan turut menawarkan bantuan daripada segi khidmat nasihat teknikal dan latihan secara intensif serta sumbangan berbentuk barangan (In-kind contribution) mengikut jenis projek yang dicadangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 10:15 AM